Selasa, 31 Mac 2009

MATI SELEPAS DI SELAMATKAN... ALFATIHAH


HULU BERNAM: Rasa sedih menyelubungi anggota polis dan bomba apabila usaha menyelamatkan seorang wanita yang tersepit dalam kereta hampir 30 minit gagal sejurus mangsa menghembus nafas terakhir sebaik dia dipapah menaiki alat pengusung ke dalam ambulans. Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, mangsa, Rakiah Asari Hassan Basri, 46, yang juga kakitangan Jabatan Pelajaran Perak, maut selepas kereta dinaiki bersama suaminya, Zainal Hamzah, 49, dirempuh sebuah van sebaik melanggar belakang kereta lain sebelumnya.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, pasangan suami isteri itu dikatakan sedang menaiki kereta Proton Saga dari rumah mereka di Taman Indah Tapah Road. Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata, sebaik sampai di Kilometer 405.7 sebelum susur keluar Tanjung Malim, kenderaan dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba merempuh belakang sebuah kereta Mercedes Benz yang dinaiki dua individu.

KABINET Badawi dicadang meletak jawatan sebagai langkah perubahan.

Kabinet Abdullah perlu letak jawatan, cadang Senator Akhbar Ali
KUALA LUMPUR: Seluruh barisan kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad
Senator Datuk Akbar Ali berkata ini bagi membolehkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri memilih barisan kabinetnya sendiri.
"Kalau boleh saya sarankan seluruh kabinet Pak Lah letak jawatan bagi membolehkan Datuk Seri Najib melantik pasukan kabinet baru dengan 100 peratus kebebasan.
"Bukan kerana tanda hilang keyakinan kepada Perdana Menteri tetapi sebagai satu perubahan kepada kabinet baru," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang diPertuan Agong pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau juga berharap kabinet yang bakal dibentuk Najib akan dapat mengubat penyakit yang dihadapi rakyat iaitu hilang keyakinan yang kini menjadi "virus pembunuh".
"Oleh itu kita setuju dengan empat kriteria yang digariskan Datuk Seri Najib berhubung barisan kabinet iaitu setia, integriti, cekap dan berdedikasi. Lihat nanti bagaimana Najib dapat menggembeleng semua kebijaksanaan (beliau dan barisan kabinet baru)," katanya.
Beliau berharap dengan pelantikan Najib, sesuatu yang lebih baik dan suntikan baru akan berlaku kepada negara.
"Ramai di antara kita telahpun merasa harapan tinggi seolaholah ada rasa keramat yang baru, ada aura tersendiri. Saya jangka berlaku suntikan baru. Rakyat taruh harapan kepada Najib kerana beliau diyakini merupakan seorang pemimpin berwibawa," katanya.
Sementara itu, Senator Ahamat @ Ahamad Yusop pula mengharapkan barisan kepimpinan baru negara bersikap lebih kreatif dalam mentadbir negara dan menyelesaikan segala isu termasuk kegawatan ekonomi dan krisis kewangan.
"Tahun 2009 merupakan tahun yang amat genting lagi getir lantaran krisis ekonomi dunia yang melanda negara. Justeru, saya tuntut para pemimpin negara lebih berhemah agar negara tidak terjerumus ke lembah kehancuran," katanya.
Senator Tan Sri Mohamed Jins Shamsudin pula menyatakan sokongan penuh beliau kepada Najib yang bakal mengemudi negara.
"Saya memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Najib yang akan menjadi Perdana Menteri keenam. Ini semua akan berlaku dalam masa terdekat," katanya.Persidangan Dewan disambung esok.
BERNAMA

Isnin, 30 Mac 2009

SINAR HARIAN - 30 MAC 2009 ISNIN

BUKIT SENTOSA - Seramai 69 penama berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) menerima faedah kedua skim itu dalam satu majlis penyampaian di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, di sini. Penyerahan faedah berjumlah RM103,000 itu disempurnakan Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat DUN berkenaan, Mohd Nashruddin Abd Aziz bagi mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail. Nashruddin ketika ditemui berkata, menjadi tanggungjawab pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk menyerahkan faedah kedua itu kepada semua penama yang berdaftar di bawah skim berkenaan. “Ini adalah tanggungjawab kami dalam memastikan mereka yang berdaftar di bawah skim ini menerima jumlah keseluruhan bantuan yang disediakan. “Ia sekali gus membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan PR dalam melaksana serta menyempurnakan segala janji yang diberikan kepada rakyat pada pilihan raya lalu,” katanya. Penyerahan faedah kedua berjumlah RM1,500 itu adalah baki bantuan keseluruhan yang berjumlah RM2,500 seperti diperuntukkan di bawah SMUE.
Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Se1angor, Mohd Jusni; Ketua Pegawai Eksekutif Rantai Mesra Sdn Bhd pengelola SMUE, Mohd Syukor Tahir; wakil Penyelaras DUN Hulu Bernam, Mohd Yusof Yaakob dan wakil Penyelaras DUN Kuala Kubu Bharu, Nor Azizan Nordin. Nashruddin berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung keluarga waris yang meninggal dunia seterusnya membolehkan mereka meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Beliau berkata, bantuan itu juga dilihat pendekatan terbaik diambil kerajaan PR dalam usaha merealisasikan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), di mana seluruh masyarakat berpeluang menikmati hasil kekayaan negeri untuk manfaat bersama. Menurutnya, bantuan tersebut diserahkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik selagi memenuhi syarat yang ditetapkan. “Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi menyokong dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha membantu masyarakat yang berhak walaupun mendapat tentangan hebat daripada segelintir individu,” kata Nashruddin.
Sementara itu, Mohd Syukor dalam ucapannya menjelaskan mengenai pentingnya sebaran maklumat kepada ahli keluarga dan jiran bagi membolehkan mereka mendaftarkan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas atau ahli keluarga kurang upaya (OKU) untuk menyertai skim itu. “Manfaatnya adalah baik yang mana bertujuan bagi membantu meringankan bebanan ahli keluarga ketika menguruskan pengebumian, melunaskan hutang si mati atau digunakan untuk tujuan majlis kenduri doa selamat. “Selain itu, program yang diadakan di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat DUN di sini juga bertujuan untuk memperkenalkan pejabat ini kepada masyarakat bagi memudahkan mereka berurusan atau membuat pendaftaran,” katanya.

Sabtu, 28 Mac 2009

Program: Majlis Penyerahan Faedah Kedua Skim Mesra Usia Emas Daerah Hulu Selangor - 28 Mac 2009 (9.30 pagi)





Seramai 69 penama ber­daftar menerima sejumlah RM103,00 pada Majlis Penyerahan Faedah Kedua Skim Mesra Usia Emas (MUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali sekali gus bukti keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga waris.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Nashruddin Abd Aziz berkata, penyerahan faedah ini adalah menjadi tanggung­jawab PR dalam membantu merakyatkan ekonomi Sela­ngor dan menjadi contoh pen­dekatan kerajaan negeri membantu rakyat tanpa me­ngira bangsa dan fahaman politik."Kerjasama semua rak­yat perlu ada bagi me­nyokong dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha membantu masyarakat yang berhak walaupun mendapat tentangan hebat dari se­gelintir individu."Tugas kami sebagai pe­mimpin adalah untuk mem­bantu rakyat setelah di­lantik rakyat yang mahukan perubahan," katanya ketika hadir mewakili Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wa­nita, Sains, Teknologi dan Inovasi bagi merasmikan program berkenaan.Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Se1angor, Mohd Jusni; Ketua Pegawai Ekskutif Rantai Mesra Sdn Bhd yang mengelolakan SMUE, Mohd Syukor Tahir, wakil Penyelaras DUN Kawasan Hulu Bernam, Mohd Yusof Yaakob dan wakil Penyelaras DUN Kuala Kubu Bharu, Nor Azizan Nordin.
Mohd Syukor Tahir didalam ucapannya menyebut tentang pentingnya sebaran maklu­mat kepada ahli keluarga dan jiran tetangga bagi memboleh mereka mendaftarkan war­ga emas yang berusia 60 ta­hun ke atas atau ahli ke­luarga kurang upaya (OKU) menyertai skim ini. Skim ini juga akan meliputi Wilayah Persekutuan di dalam jangkamasa terdekat ini."Manfaatnya adalah baik bagi membantu meringan­kan bebanan ahli keluarga ketika prosedur pengebumian, melunaskan butang si mati atau kenduri dan bukannya digunakan untuk kepentingan peribadi."Selain itu, program yang diadakan di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat DUN di sini juga bertujuan untuk memperkenalkan pejabat ini kepada semua masyara­kat setempat bagi me­mudahkan mereka ber­urusan atau membuat pendaftaran,"katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas Dun Batang Kali yang ditemui di majlis tersebut, Shaiful Anuar Sulaiman di berkata, pelbagai program yang dijalankan kerajaan negeri ini bukan hanya ter­tumpu kepada golongan tertentu sahaja bahkan ia terbuka kepada semua yang layak di dalam daerah ini."Perkhidmatan terbaik disediakan kepada rakyat yang kini mahukan per­ubahan bukan sahaja dari segi material bahkan pem­bangunan modal insan ke­rana acuan kerohanian dan fizikal amat penting bagi membentuk masyarakat yang maju serta berjaya."Saya amat berharap maklumat pelaksanaan program merakyatkan eko­nomi Selangor ini sampai ke peringkat akar umbi bagi memudahkan mereka me­nerlma bantuan yang ada," katanya lagi.

Jumaat, 27 Mac 2009

Selangor Sertai Kempen ‘Earth Hour’



SHAH ALAM, 25 Mac - Kempen sedunia ‘Earth Hour’ yang mahu pemanasan global dikurangkan mendapat sokongan kerajaan negeri, menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar hari ini.
Beliau yang turut memangku bersama portfolio Alam Sekitar berkata semua anak syarikat kerajaan negeri termasuk bangunan-bangunan kerajaan serta pusat membeli-belah akan turut menyertai kempen berkenaan.
“Marilah kita semua menutup lampu selama satu jam sebagai tanda sokongan, ini juga adalah merupakan tanda sokongan jutaan penduduk dunia untuk menyelamatkan bumi daripada pemanasan global untuk kesihatan generasi akan datang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco petang tadi.
Beliau berkata dalam masa sama kerajaan negeri akan melakukan satu perubahan yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan pemanasan global seperti penggunaan elektrik secara berhemah, berjalan kaki atau berbasikal bagi menggantikan kenderaan, menggalakkan penggunaan kenderaan awam selain memelihara serta memulihara alam sekitar.
Katanya, kerajaan negeri berharap rakyat Selangor akan mencipta sejarah sebagai rakyat paling ramai yang menyertai kempen memadamkan lampu selama sejam pada 28 Mac (Sabtu) ini bermula pukul 8.30 malam sehingga 9.30 malam. -

Gempa bumi 3.0 skala Richter di Jerantut

27/03/2009 11:11am
KUALA LUMPUR 27 Mac — Gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku di Jerantut, Pahang pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini berkata, gempa yang berlaku pada 9.46 pagi itu berpusat di latitud 3.8 utara dan longitud 102.4 timur.
Pusat gempa terletak 65 kilometer dari timur laut Bentong dan gegaran lemah dirasai di sekitar daerah Jerantut. - Bernama

WACANA EKONOMI UMMAH - 28 MAC 2009 SABTU UNISEL


Selasa, 24 Mac 2009

e-tender dilancar untuk kemudahan kontraktor

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Kerja Raya melancarkan sistem pengurusan tender secara elektronik atau e-tender bertujuan memudahkan kontraktor membeli borang tender tanpa perlu beratur panjang.
Menterinya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, melalui e-tender, keseluruhan proses pemerolehan tender daripada pengiklanan hingga penilaian dilakukan secara automatik menggunakan dua kaedah iaitu secara dalam talian atau CD ROM.
Beliau berkata, pelaksanaan pengurusan tender secara elektronik mampu mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian maklumat serta memastikan proses pemerolehan tender dijalankan dengan lebih telus dan berintegriti.
"Kini terpulang kepada kontraktor untuk memilih menggunakan online yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di http://www.etender.com.my atau pun CD ROM.
"Dengan kaedah ini, para kontraktor tidak perlu lagi mendapatkan maklumat mengenai tender dan menghantar permohonan tender kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) seperti sebelum ini, hanya perlu melayari laman web yang disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil penglibatan kontraktor kelas F Wilayah Persekutuan dan pelancaran sistem pengurusan e-tender di sini hari ini.
Mohd. Zin menjelaskan, setakat ini tiga projek telah ditender menggunakan sistem tersebut secara dalam talian, manakala CD ROM pula lebih 500 projek.
Katanya, sistem e-tender itu dilaksanakan sejak 2001 iaitu menerusi fasa pertama dan kedua, namun reaksi yang diterima daripada pihak kontraktor tidak memuaskan.
Sehubungan itu, jelas beliau, kementerian sekali lagi memperbaharui sistem berkenaan dengan mewujudkan fasa ketiga dan keempat dalam usaha menghapuskan sistem permohonan melalui borang.
Menurut beliau, pada fasa ketiga ini, para kontraktor boleh terus melihat senarai kuantiti serta dibenarkan untuk terus memasukkan harga secara luar talian di JKR.
Bagi fasa keempat, katanya, ia membabitkan proses pembukaan dan penilaian tender, kedua-dua fasa ini berbeza dengan fasa pertama dan kedua iaitu hanya membuka proses pengiklanan dan penjualan serta pembelian.
"Diharap dengan pembaharuan sistem e-tender ini, ia akan lebih telus sekali gus membangunkan sistem pembinaan pemerolehan simpanan kebangsaan (CPR).
"Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kos penggunaan kertas dalam penyediaan dokumen tender untuk kontraktor dan mengurangkan harga dokumen tender yang dijual," katanya.
Sementara itu, Mohd. Zin memberitahu, sehingga Februari lalu, sebanyak 4,373 kontraktor kelas F daripada 17,000 yang aktif telah mendapat tawaran projek daripada kontraktor utama yang melibatkan nilai RM860 juta.
Beliau menjelaskan, semua kontraktor yang ditawarkan itu telah melalui proses pelaksanaan kementerian di bawah pekeliling dan arahan pentadbiran, iaitu setiap kontrak yang berharga RM10 juta, 10 peratus daripadanya perlu diagihkan kepada kontraktor kelas F.

Rodziah Harap Setiap Dun Tubuh Pusat Komuniti Wanita

KLANG, 21 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berharap lebih banyak pusat komuniti wanita dapat ditubuhkan di negeri ini.
Beliau berkata pusat komuniti itu nanti bukan sahaja berperanan meningkatkan kemahiran golongan wanita, bahkan mendedahkan mereka dengan hak wanita dari sudut perundangan.
Menurut Rodziah, setakat ini beberapa kawasan dewan undangan negeri (Dun) telah menyatakan minat untuk menubuhkan pusat komuniti untuk wanita.
Antaranya Taman Medan, Batu Tiga, Selat Klang, Hulu Klang dan Rawang.
“Hasrat saya ialah supaya ia bukan sekadar tempat berkumpul untuk meningkatkan pelbagai kemahiran tetapi kita mahu mendedahkan tentang hak-hak di sudut perundangan, sebab kita tahu bahawa wanita ni kadang-kadang perlu bantu-membantu, sokong-menyokong di antara satu sama lain dan akhirnya mereka boleh berdikari,” katanya selepas merasmikan Kursus Usahawan Cendawan Wanita di Dewan Serbaguna, Lorong Hamdan, Off Jalan Khamis, Meru dekat sini pagi tadi.
Rodziah berharap pusat komuniti seumpama itu dapat ditubuhkan di setiap kawasan Dun dengan pelbagai pengisian program untuk wanita.
Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengadakan beberapa kursus untuk wanita termasuk golongan ibu tunggal bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka.
Katanya sejak sebulan lepas, empat kursus telah diperkenalkan iaitu kursus jahitan manik, bakeri, cendawan dan pendidikan anak-anak.
Terdahulu ketika berucap merasmikan kursus itu, Rodziah berkata usahawan wanita perlu bijak memanfaatkan peluang perniagaan berasaskan cendawan yang boleh memberi pulangan yang lumayan.
Katanya, mereka perlu menghindar sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ sebaliknya berusaha untuk menjadikan perniagaan itu sebagai sumber pendapatan yang berterusan.
“Saya berharap kursus seperti ini dapat membuka minda kita dan jangan sesekali kita tinggalkan apa yang kita sudah belajar,” katanya.

Status perhentian Rawang terus timbul persoalan

RAWANG – Kelewatan pembukaan dan operasi Perhentian Bas dan Teksi Rawang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna dan peniaga sekitar. Kebanyakan mereka melahirkan rasa kecewa dan sangsi mengenai status hentian bas itu walaupun difahamkan ia siap sepenuhnya Disember lalu.
Seorang peniaga, Zuhaimi Mohd Said, 40, berkata, beliau kecewa kerana hentian itu masih tidak dibuka sehingga menjejaskan perniagaannya kerana ketiadaan pengunjung. “Kami peniaga di sini menyewa lot kedai kerana tahu adanya peluang meraih pendapatan lebih sekiranya hentian bas ini dibuka. “Tetapi, peluang itu seakan tersekat kerana sehingga kini tidak nampak tanda-tanda bahawa hentian ini akan dibuka walaupun kelihatan sudah siap sepenuhnya,” katanya. Menurutnya, perkara yang menimbulkan tanda tanya adalah bilakah ia akan dibuka dan memulakan operasi dan benarkah wujud isu dalaman mengenainya sehingga tidak ada sebarang makluman atau pemberitahuan dibuat. Bagi mendesak pihak bertanggungjawab menjelaskan mengenai status hentian bas itu, beliau bersama peniaga sekitar bertindak mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Azim.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Kamarul Edimuhizad Ahmad Nazari, 37, menggesa pihak berkenaan supaya segera membuka hentian itu memandangkan ia sudah siap sepenuhnya. Beliau yang mula berniaga di kawasan itu sejak Januari 2008 mengakui perniagaannya kian terjejas kerana ketiadaan pelanggan selain wujudnya peniaga haram. “Saya mengambil tapak berniaga di kawasan ini kerana dimaklumkan hentian bas ini akan siap pada Jun tahun lalu, tetapi operasinya masih belum dimulakan kerana mungkin belum siap sepenuhnya. “Kemudian sekali lagi saya dimaklumkan ia akan dibuka pada September, tetapi perkara sama terjadi. ”Bermula dari tarikh itu kami hanya mendengar makluman serupa kononnya pada Disember dan awal Mac 2009, tapi sehingga kini ia masih tidak dibuka,” katanya yang nyata terkilan dengan perkara itu. Beliau turut mendakwa wujudnya peniaga haram di kawasan itu kerana ketiadaan aktiviti pemantauan oleh pihak berkuasa.
Seorang peniaga restoran, Kamariah Abdullah, 49, pula berkata, pendapatannya kini hanya bergantung kepada pelanggan daripada pasaraya berhampiran kerana ketiadaan pengunjung luar. Dia juga mengakui menghadapi kesukaran membayar sewa kepada pemilik kedai berikutan hasil yang sedikit. Menurutnya situasi itu turut dialami peniaga sekitar yang merungut kerana ketiadaan pembeli hanya disebabkan kelewatan pembukaan hentian bas terbabit. Tinjauan Sinar Harian ke kawasan itu mendapati hentian bas berkenaan siap sepenuhnya walaupun terdapat beberapa keretakan pada dinding bangunan.

Majlis Makan Malam Babitkan Peruntukan Ratusan Ribu Tarik Perhatian Selcat

SHAH ALAM, 23 Mac – Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) hari ini mengadakan pendengaran awam terbuka yang pertamanya.
Selcat yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Teng Chang Khim memulakan sesi pendengaran berhubung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Balkis) bermula jam 10.10 pagi tadi.
Selain Teng, lima anggota jawatankuasa itu terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali, Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha, Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib, Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak, Adun Dusun Tua, Ismail Sani dan Adun Bukit Gasing, Edward Lee.
Dalam sesi pendengaran pagi tadi, Selcat diberitahu yang sebanyak RM450,000 disumbangkan kerajaan negeri melalui pemberian terus (direct grant) kepada Balkis untuk tujuan penganjuran bersama Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat SeMalaysia 2007.
Saksi pertama yang memberi keterangan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Ramli Mahmud.
Sumbangan itu adalah bagi membiayai tiga majlis makan malam program yang turut dihoskan kerajaan negeri iaitu makan malam majlis perasmian pada 2 Ogos 2007, majlis santapan bersama DYMM Sultan Selangor pada 3 Ogos 2007 dan majlis makan malam perdana pada 4 Ogos 2007.
Makan malam pertama dan kedua berlangsung di Sunway Resort Hotel & Spa manakala yang ketiga berlangsung di Sunway Lagoon Theme Park.
Menurut Ramli, sumbangan yang diberikan kepada Balkis oleh kerajaan negeri itu bukan berbentuk geran tahunan sebaliknya diberikan secara one -off iaitu sekali sahaja berdasarkan permohonan sesuatu organisasi.
Katanya, geran tahunan pula hanya diluluskan oleh kerajaan negeri kepada organisasi-organisasi yang diiktiraf dan disediakan peruntukan tahunan seperti geran kepada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah, Yayasan Seni Selangor, Maksak Selangor, Puspanita selangor dan lain-lain.
Ketika ditanya Teng sama ada Balkis dianggap sebagai satu badan yang berkaitan dengan kerajaan negeri kerana diberikan satu geran yang cukup besar, Ramli berkata sumbangan yang diberikan kepada Balkis itu berbentuk one-off dan tidak menggunakan peruntukan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Kita mendapatkan keputusan daripada Perbendaharaan dan Pegawai Kewangan Negeri meluluskan, ini additional (peruntukan tambahan) daripada kerajaan negeri bukan peruntukan yang diberikan kepada saya untuk diagihkan kepada mana-mana badan yang saya fikirkan layak,” katanya.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco dan kerajaan negeri bersetuju menjadi hos kepada tiga jamuan berkenaan.
“Ini perbelanjaan luar bajet, jadi kita terpaksa dapatkan peruntukan daripada Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.
Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Mohd Nordin Darhan yang dipanggil sebagai saksi kedua berkata syarikat itu hanya memberi sumbangan dua kali kepada Balkis di antara tahun 2004 hingga 2008.
Jumlah keseluruhan sumbangan berkenaan ialah sebanyak RM46,100 iaitu sumbangan untuk sewa khemah sempena majlis perasmian Kompleks Wawasan Balkis pada 15 Januari 2006 (RM43,600) dan sumbangan hamper buah-buahan pada 19 April 2006 (RM2,470).
Menurut Nordin, pemberian sumbangan hamper buah-buahan seperti yang dimohon Balkis itu antara sebahagian cara mempromosi Selangor Fruit Valley. - NOOR ALLIA KASSIM

Rodziah Lawat OSCC HTAR

Monday, 23 March 2009
KLANG, 23 Mac – Kerajaan negeri akan terus mempromosi serta menambah baik Pusat Khidmat Krisis Sehenti atau One Stop Crisis Centre (OSCC) bagi membantu mangsa yang teraniaya terutamanya kaum wanita untuk mendapat maklumat serta perlindungan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata pelbagai langkah telah diambil kerajaan negeri termasuklah menyediakan peruntukan khas untuk mempromosi kewujudan OSCC di enam buah jabatan kecemasan di hospital kerajaan seluruh Selangor.
“Kerajaan negeri sekarang berusaha menggerakkan semula pusat ini memandangkan masih ramai rakyat negeri ini yang tidak mengetahui kewujudan serta perkhidmatan yang ditawarkan pusat ini,” katanya.
Tambahnya, OSCC diwujudkan dengan tujuan memberi sokongan emosi, kaunseling mahupun rawatan kepada mereka yang terlibat dalam masalah rumah tangga, gangguan seksual, rogol serta liwat.
Rodziah berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini pagi tadi.
Turut hadir Timbalan Pengarah Surgikal, Dr Zainab Ramli dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Dr Ahmad Tajuddin Mohammad Nor.
Mengulas mengenai lawatan beliau hari ini, Rodziah berkata ia sebagai permulaan untuk mendapatkan taklimat dan juga penjelasan berhubung peranan dan perkhidmatan OSCC yang disediakan di hospital tersebut.
“Lawatan ini merupakan lawatan permulaan dan kita menggunakan kesempatan ini untuk berbincang secara terus dengan jabatan kecemasan di hospital ini mengenai apakah bentuk kerjasama yang boleh kita jalinkan bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Dan lanjutan daripada lawatan ini, saya juga akan terus mengadakan lawatan ke hospital-hospital lain yang mempunyai OSCC,” katanya menambah, perjumpaan antara semua yang terlibat iaitu pihak hospital, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan turut diadakan dari masa ke semasa.
Menurutnya, sehingga kini semua hospital yang mempunyai OSCC di Selangor iaitu Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Kajang dan Hospital Selayang telah memberikan maklumbalas yang sangat baik.
Dalam perkembangan yang sama Rodziah berkata, seminar Katakan Tidak Kepada Keganasan Rumahtangga, Perundangan Wanita, Keluarga, Kanak-kanak & OSCC juga akan diadakan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) secara berperingkat mulai pertengahan April ini sehingga hujung tahun 2009. – MURIZA ABDUL HAMID

Khamis, 19 Mac 2009

Pegawai Daerah perjelas isu tanah diceroboh


KUALA KUBU BHARU – Bantahan disuarakan kira-kira 30 penduduk Kampung Kandang Lembu berikutan tindakan pihak tertentu yang didakwa sengaja menceroboh penempatan mereka kelmarin, mendapat reaksi Pegawai Daerah, Nor Hisham Dahlan. Nor Hisham berkata, tidak wujud isu pencerobohan seperti didakwa penduduk kerana kawasan itu sudah menjadi hak milik individu. “Lawatan dan siasatanyang dijalankan pada 2 Februari lalu bersama Penolong Pegawai Daerah (Penguatkuasaan), Penolong Pegawai Tanah Kanan (Penguatkuasaan) dan Penghulu Mukim Serendah bagi mengenal pasti kawasan dan status tanah. “Hasil siasatan mendapati keseluruhan kawasan itu berkeluasan 17 ekar dan Kampung Kandang Lembu hanya seluas lebih kurang tiga ekar sahaja. “Dan kesemua kawasan itu sudah dimiliki individu berdasarkan pendaftaran yang dilakukan di bawah Hak Milik Daftar (HSD) pada 2003,” katanya. Menurutnya, permohonan pemilikan ke atas tanah itu dikemukakan sejak 1997 lagi dan diluluskan bekas Pegawai Daerah ketika itu, Datuk Ab Hakim Borhan pada 2003. Nor Hisham berkata, siasatan juga mendapati Kampung Kandang Lembu terdiri dari rumah-rumah pekerja ladang yang telah didiami hampir 50 tahun. Menurut beliau, ketika ini terdapat lima keluarga sahaja yang menduduki kawasan tersebut dan empat daripadanya merupakan keluarga berbangsa India manakala sebuah keluarga lagi berbangsa Cina. “Setelah dilakukan semakan juga mendapati sebahagian rumah di kampung terbabit termasuk dalam kawasan tanah hak milik individu dan sebahagian lagi termasuk dalam simpanan Sungai Serendah. “Rumah di kawasan itu juga kebanyakannya sudah usang dan tidak boleh didiami, malah penempatan penduduk di situ juga berstatus setinggan di atas tanah hak milik persendirian dan perlu diselesaikan segera,” katanya. Beliau juga pernah mencadangkan kepada wakil penduduk supaya menyarankan mereka mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Tasik Teratai, di Serendah. Kampung Kandang Lembu terletak di bahagian Selatan Taman Bukit Teratai iaitu kira-kira 300 meter dari Jalan Raya Serendah–Bukit Beruntung dan kawasan penempatan itu berhampiran dengan kawasan perindustrian Anugerah Suria dan kilang Perodua Sungai Choh.

Beri kuasa semua guru rampas telefon


KUALA LUMPUR 18 Mac - Kementerian Pelajaran disaran memberi kuasa kepada guru untuk merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah dan bukan hanya kepada guru disiplin sahaja.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, langkah itu penting bagi memastikan usaha membendung gejala disiplin pelajar dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
"Sebuah sekolah kadang- kadang mempunyai seorang guru disiplin sahaja, mereka sukar memantau pelajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru-guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon pula meminta Kementerian Pelajaran memberi kuasa kepada semua guru untuk merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah.
Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihak sekolah khasnya guru disiplin akan diberi kuasa penuh untuk merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah.
"Jika guru kelas juga diberi kuasa untuk merampas telefon bimbit pelajar, saya percaya usaha untuk membanteras gejala tersebut tidak perlu mengambil masa yang lama," katanya.
Menurut Ruslan, pihaknya mendapati ada pelajar tidak jujur ketika menduduki peperiksaan apabila mereka merujuk nota dan formula subjek tertentu yang disimpan dalam telefon bimbit.
"Selain itu, kes gangsterisme boleh berlaku disebabkan penggunaan telefon bimbit di sekolah kerana timbulnya perasaan iri hati sesama pelajar," katanya.
Tambah Ruslan, pihak sekolah perlu memastikan kemudahan telefon awam yang disediakan dapat berfungsi dengan baik supaya ia boleh digunakan apabila berlaku hal kecemasan.
"Malah, papan tanda amaran yang melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu diwujudkan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar," katanya.
Menurut beliau, Surat Pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung peraturan sekolah perlu dipanjangkan kepada ibu bapa agar mereka dapat memantau anak-anak daripada melanggar peraturan tersebut.

Apa itu Penyakit Chikungunya?

1. Apa itu Penyakit Chikungunya?
Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina. Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.
2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.
3. Adakah ia berjangkit?Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.
5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?· Demam panas mengejut· Sakit teruk pada sendi· Ruam pada badan· Sakit kepala Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.
6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.
7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.
8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.
9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya· Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.· Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.· Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.
10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

阿都阿兹士(右)说,今年首两个月,沙登犯罪率与去年11至12月相比已有所减少。右二起为欧阳捍华、其助理赵明福及张念群等。(图:光明日报)

Rabu, 18 Mac 2009

PENDUDUK KG KANDANG LEMBU BERDEMO....17 MAC 2009 SELASA 10PG


SUNGAI CHOH – Pencerobohan tanah di kawasan penempatan penduduk Kampung Kandang Lembu, Bukit Teratai, dekat sini oleh pihak tidak bertanggungja-wab menimbulkan kemarahan kira-kira 30 orang penduduknya. Tindakan pihak terbabit disifatkan tidak bertanggungjawab kerana dengan sengaja bertindak menceroboh dan melakukan kerja menolak tanah tanpa sebarang notis serta rundingan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Koskan, GA Perumal, 51, berkata, penduduk di kawasan itu hanya menyedari perkara itu setelah melihat beberapa jentolak melakukan kerja sehingga memasuki kawasan penempatan mereka. “Tindakan pihak ini seolah-olah sengaja mengetepikan hak kami. Walaupun status tanah itu belum diketahui dengan jelas, tapi kami sebagai penduduk yang mendiami kawasan ini sejak 50 tahun lalu mempunyai hak ke atas kawasan ini. “Sebab itu, sejak dahulu lagi kami bangkitkan tuntutan bagi mendapatkan geran sebagai pemilik mutlak kawasan ini,” katanya. Namun kata beliau, disebabkan beberapa faktor, sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang keputusan yang memihak kepada mereka. Perumal berkata, dahulunya kawasan itu didiami ramai penduduk, namun disebabkan keadaan tertentu menyebabkan ramai daripada mereka berpindah ke kawasan lain. Menurutnya, kawasan itu amat terpencil dan sehingga kini masih tidak mempunyai kemudahan asas sempurna termasuk bekalan elektrik, air dan jalan perhubungan. Beliau berkata, kawasan penempatan penduduk hanya dihubungkan dengan sebatang jambatan gantung yang kian uzur dan hanya boleh dilalui pejalan kaki dan motosikal. Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, S Mahaletchumy, 40, berkata, masalah mereka tidak pernah dipandang atau dibela sesiapa pun termasuk pemimpin kaum sendiri. Menurutnya, dia pernah lebih 10 kali mengajukan permasalahan mereka kepada bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan, namun sehingga tampuk kepimpinan berubah, masih tiada pembelaan diberikan. “Kawasan kami sering dilanda banjir dan banyak kerosakan yang kami alami sejak berpuluh tahun lamanya. Tetapi sampai sekarang tidak ada siapa yang datang membantu. “Kini, hak penempatan kami pula mahu dirampas tanpa sebarang pemberitahuan dan perbincangan, dengan sewenang-wenang ada pihak datang memusnahkan kediaman dan tanaman kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, S Vasaki, 62, berkata, beliau mula menetap di kawasan itu sejak berusia 11 tahun tetapi tindakan pencerobohan tidak berlaku. “Segala titik peluh saya sudah dimusnahkan. Kelapa yang saya tanam sejak kecil dimusnahkan begitu sahaja tanpa sebarang perbincangan atau pemberian pampasan. “Jadi, kami bangkit mempertahankan hak bagi menebus kembali penempatan yang sekian lama kami diami,” katanya.
@media pkrhsgr/sas

Selasa, 17 Mac 2009

3 Adun ditugas menjaga kepentingan belia dan sukan

SHAH ALAM, 17 Mac - Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua komponen belia Selangor bekerjasama walaupun tidak mendapat pengiktirafan kerajaan persekutuan.
Menurut beliau kerajaan negeri boleh menyalurkan bantuan kewangan dalam menjalankan aktiviti pembangunan belia di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM6 juta setahun untuk pembangunan sukan dan belia.
“Tetapi oleh kerana Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan tidak mengiktiraf belia di Selangor, kita telah menjalankan satu usaha penyusunan semula harta dan kemudahan milik kita di bawah Menteri Besar Incorporated (MB Inc),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) sama ada gabungan belia di bawah Majlis Belia Selangor akan digerakkan untuk membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan program pembangunan belia.
Abdul Khalid berkata beliau akan meminta tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk berjumpa dengan kumpulan belia.
Ketiga-tiga Adun berkenaan ialah Adun Batu Caves, Amirudin Shari, Adun Teratai, Janice Lee dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.
Terdahulu, ketika menjawab pertanyaan Dato’ Marsum Paing (BN-Dengkil) mengenai keberkesanan program latihan kemahiran belia, Abdul Khalid berkata ia masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Katanya, kerajaan negeri akan meletakkan wakil belia di setiap kawasan dewan undangan negeri (Dun) bagi membolehkan mereka memberi galakan kepada golongan belia menyertai latihan yang disediakan kerajaan negeri.
Menurut Abdul Khalid, seramai 425 peserta menyertai empat siri program latihan kemahiran belia yang dilaksanakan kerajaan negeri pada 2008.
“Melalui program tersebut, seramai 132 peserta berjaya melanjutkan pelajaran, 131 orang telah mendapat pekerjaan dan seramai 84 orang memilih untuk menjadi usahawan,” katanya.
Kesemua mereka telah menjalani program yang tenaga pengajarnya terdiri daripada pensyarah di Universiti Industri Selangor (Unisel), Inspens Kolej, Institut Kemahiran Yayasan serta agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Agro Bank dan Tekun Nasional. - NOOR ALLIA KASSIM

Isnin, 16 Mac 2009

PANAS DILANCARKAN OLEH PRESIDEN MTUC SYED SHAHIR

SERENDAH – Pertubuhan Anak-anak Serendah (Panas) diharap dapat menghimpun dan melahirkan ahli yang intelektual dari kalangan masyarakat pelbagai lapisan dan peringkat. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, Panas yang terdiri daripada dalam kalangan Melayu dan Islam berupaya membentuk generasi yang bukan sahaja intelek malah mampu membawa perubahan ke arah pembangunan bangsa dan negara. “Kita mengharapkan dengan tertubuhnya satu lagi pertubuhan yang didukung oleh bangsa Melayu dan Islam, kita percaya akan lahirnya generasi yang cintakan budaya Melayu dan cara Islam. “Kita juga mengharapkan jawatankuasa Panas dapat mendidik anak-anak atau ahli yang cintakan keamanan dan sentiasa memelihara keindahan alam sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian dan Pelancaran Panas di Kompleks Sukan dan Komuniti Serendah di sini, semalam. Hadir sama, Orang Besar Daerah yang juga Penaung Panas, Datuk Aman Shah Mohd Shahar; Pengerusi Panas, Noor Mohamad Jan Mohamad serta barisan ahli jawatankuasa Panas dan Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran, Radziah Md Isa. Turut hadir, Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Hulu Selangor, Mohd Nashruddin Abd Aziz; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Serendah Hasnor Puteh, beberapa wakil Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan jawatankuasa Masjid Nurul Iman Serendah. Syed Shahir berkata, ahli dan jawatankuasa Panas wajar mengetahui dengan jelas peranan dan tanggungjawab pertubuhan itu. “Dengan matlamat menyatupadukan bangsa Melayu di Serendah ini melalui kepelbagaian aktiviti berunsur keagamaan, kebajikan dan riadah, ahli diharap mampu menggalas dan melaksanakan matlamat itu dengan sempurna. “Ahli juga diharap dapat memainkan peranan dalam menyumbang idea untuk memantapkan serta memajukan ekonomi orang Melayu,” katanya. Sementara itu, Noor Mohamad berkata, Panas ditubuhkan kerana melihat generasi atau anak-anak Serendah masih ketinggalan dari aspek pembangunan dan keintelektualan. Malah, wujudnya perbezaan fahaman politik dalam kalangan Melayu mengundang kepada timbulnya permasalahan baru. “Jadi, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Panas akan memainkan peranan menyatupadukan bangsa Melayu di kawasan ini dalam satu pertubuhan bebas. “Kita juga akan merangka pelbagai program bersesuaian untuk setiap ahli agar matlamat penubuhan Panas tercapai,” katanya. Menurutnya, walaupun Panas baru berusia tiga bulan, namun sudah mempunyai lebih 200 ahli berdaftar dan Panas menyasarkan akan menerima sehingga 500 ahli untuk tahun ini. Beliau berharap dengan moto Panas iaitu ‘Kebajikan untuk semua’, pertubuhan itu akan membantu anak-anak Serendah ke arah lebih membangun dan berjaya.

PELANCARAN PERSATUAN ANAK-ANAK SERENDAH - 15 MAC 2009 AHAD OLEH SYED SHAHIR, PRESIDEN MTUC









Penduduk Teratai dan lain di Bkt Sentosa akan mendapat bumbung baru menjelang Mei tahun ini

Dari ucapan YB Iskandar Samad di DUN Selangor 16 Mac 2009
KEROSAKAN DAN TANGGUNG JAWAB SIAPA?
Kerosakan-kerosakan dan kerja-kerja baikpulih bangunan bertingkat adalah tanggung jawab pembeli dan pemaju setelah JMB ditubuhkan atau pembeli setelah MC ditubuhkan.Ianya akan dibiayai oleh satu dana yang dinamakan “sinking fund” yang dipungut secara bulanan dari penduduk dan pembeli.Masalahnya timbul bagi rumah kos rendah di mana “sinking fund” ini tidak mencukupi kerana ramai yang tidak membayar yuran penyenggaraan.
Satu penyelesaian akan diusahakan seperti di mana kerajaan negeri mendahulukan bayaran untuk membaik pulih tetapi penduduk membayarnya secara berjadual.Satu contoh di mana penduduk rumah kos rendah tidak mampu memperbaiki kerosakan-kerosakan adalah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.
Kajian untuk mengenalpasti punca kerosakan dan cara-cara membaiki pulih kerosakan bagi 54 blok rumah telah selesaikan dilakukan dengan kos lebih RM26,000.Tindakan seterusnya adalah melantik perunding-perunding agar tender dapat dikeluarkan untuk kerja-kerja membaik pulih.Sasaran untuk memulakan kerja adalah pada pertengahan bulan Mei.
Bajet kerajaan negeri untuk kerja-keja ini adalah RM7 juta.
Kerajaan negeri berharap ini dapat menyelesaikan masalah yang sering dibangkitkan.

GAMBAR SAMBUTAN SETAHUN KERAJAAN SELANGOR DI KKB 14 MAC 2009 SABTU





GAMBAR SAMBUTAN SETAHUN KERAJAAN SELANGOR DI KKB 14 MAC 2009 SABTU






GAMBAR SAMBUTAN SETAHUN KERAJAAN SELANGOR DI KKB 14 MAC 2009 SABTU










GAMBAR SAMBUTAN SETAHUN KERAJAAN SELANGOR DI KKB 14 MAC 2009 SABTU - MAKAN NASI BUNGKUS..BERSAMA RAKYAT









GAMBAR SAMBUTAN SETAHUN KERAJAAN SELANGOR DI KKB 14 MAC 2009 SABTU - LAWATAN GERAI PAMERAN










GAMBAR SAMBUTAN SETAHUN KERAJAAN SELANGOR DI KKB 14 MAC 2009 SABTU -PERASMIAN MAJLIS








GAMBAR SAMBUTAN SETAHUN KERAJAAN SELANGOR DI KKB 14 MAC 2009 SABTU -KARNIVAL SUKAN RAKYAT