Selasa, 24 Mac 2009

Majlis Makan Malam Babitkan Peruntukan Ratusan Ribu Tarik Perhatian Selcat

SHAH ALAM, 23 Mac – Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) hari ini mengadakan pendengaran awam terbuka yang pertamanya.
Selcat yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Teng Chang Khim memulakan sesi pendengaran berhubung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Balkis) bermula jam 10.10 pagi tadi.
Selain Teng, lima anggota jawatankuasa itu terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali, Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha, Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib, Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak, Adun Dusun Tua, Ismail Sani dan Adun Bukit Gasing, Edward Lee.
Dalam sesi pendengaran pagi tadi, Selcat diberitahu yang sebanyak RM450,000 disumbangkan kerajaan negeri melalui pemberian terus (direct grant) kepada Balkis untuk tujuan penganjuran bersama Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat SeMalaysia 2007.
Saksi pertama yang memberi keterangan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Ramli Mahmud.
Sumbangan itu adalah bagi membiayai tiga majlis makan malam program yang turut dihoskan kerajaan negeri iaitu makan malam majlis perasmian pada 2 Ogos 2007, majlis santapan bersama DYMM Sultan Selangor pada 3 Ogos 2007 dan majlis makan malam perdana pada 4 Ogos 2007.
Makan malam pertama dan kedua berlangsung di Sunway Resort Hotel & Spa manakala yang ketiga berlangsung di Sunway Lagoon Theme Park.
Menurut Ramli, sumbangan yang diberikan kepada Balkis oleh kerajaan negeri itu bukan berbentuk geran tahunan sebaliknya diberikan secara one -off iaitu sekali sahaja berdasarkan permohonan sesuatu organisasi.
Katanya, geran tahunan pula hanya diluluskan oleh kerajaan negeri kepada organisasi-organisasi yang diiktiraf dan disediakan peruntukan tahunan seperti geran kepada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah, Yayasan Seni Selangor, Maksak Selangor, Puspanita selangor dan lain-lain.
Ketika ditanya Teng sama ada Balkis dianggap sebagai satu badan yang berkaitan dengan kerajaan negeri kerana diberikan satu geran yang cukup besar, Ramli berkata sumbangan yang diberikan kepada Balkis itu berbentuk one-off dan tidak menggunakan peruntukan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Kita mendapatkan keputusan daripada Perbendaharaan dan Pegawai Kewangan Negeri meluluskan, ini additional (peruntukan tambahan) daripada kerajaan negeri bukan peruntukan yang diberikan kepada saya untuk diagihkan kepada mana-mana badan yang saya fikirkan layak,” katanya.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco dan kerajaan negeri bersetuju menjadi hos kepada tiga jamuan berkenaan.
“Ini perbelanjaan luar bajet, jadi kita terpaksa dapatkan peruntukan daripada Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.
Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Mohd Nordin Darhan yang dipanggil sebagai saksi kedua berkata syarikat itu hanya memberi sumbangan dua kali kepada Balkis di antara tahun 2004 hingga 2008.
Jumlah keseluruhan sumbangan berkenaan ialah sebanyak RM46,100 iaitu sumbangan untuk sewa khemah sempena majlis perasmian Kompleks Wawasan Balkis pada 15 Januari 2006 (RM43,600) dan sumbangan hamper buah-buahan pada 19 April 2006 (RM2,470).
Menurut Nordin, pemberian sumbangan hamper buah-buahan seperti yang dimohon Balkis itu antara sebahagian cara mempromosi Selangor Fruit Valley. - NOOR ALLIA KASSIM

Tiada ulasan: