Selasa, 24 Mac 2009

Rodziah Lawat OSCC HTAR

Monday, 23 March 2009
KLANG, 23 Mac – Kerajaan negeri akan terus mempromosi serta menambah baik Pusat Khidmat Krisis Sehenti atau One Stop Crisis Centre (OSCC) bagi membantu mangsa yang teraniaya terutamanya kaum wanita untuk mendapat maklumat serta perlindungan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata pelbagai langkah telah diambil kerajaan negeri termasuklah menyediakan peruntukan khas untuk mempromosi kewujudan OSCC di enam buah jabatan kecemasan di hospital kerajaan seluruh Selangor.
“Kerajaan negeri sekarang berusaha menggerakkan semula pusat ini memandangkan masih ramai rakyat negeri ini yang tidak mengetahui kewujudan serta perkhidmatan yang ditawarkan pusat ini,” katanya.
Tambahnya, OSCC diwujudkan dengan tujuan memberi sokongan emosi, kaunseling mahupun rawatan kepada mereka yang terlibat dalam masalah rumah tangga, gangguan seksual, rogol serta liwat.
Rodziah berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini pagi tadi.
Turut hadir Timbalan Pengarah Surgikal, Dr Zainab Ramli dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Dr Ahmad Tajuddin Mohammad Nor.
Mengulas mengenai lawatan beliau hari ini, Rodziah berkata ia sebagai permulaan untuk mendapatkan taklimat dan juga penjelasan berhubung peranan dan perkhidmatan OSCC yang disediakan di hospital tersebut.
“Lawatan ini merupakan lawatan permulaan dan kita menggunakan kesempatan ini untuk berbincang secara terus dengan jabatan kecemasan di hospital ini mengenai apakah bentuk kerjasama yang boleh kita jalinkan bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Dan lanjutan daripada lawatan ini, saya juga akan terus mengadakan lawatan ke hospital-hospital lain yang mempunyai OSCC,” katanya menambah, perjumpaan antara semua yang terlibat iaitu pihak hospital, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan turut diadakan dari masa ke semasa.
Menurutnya, sehingga kini semua hospital yang mempunyai OSCC di Selangor iaitu Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Kajang dan Hospital Selayang telah memberikan maklumbalas yang sangat baik.
Dalam perkembangan yang sama Rodziah berkata, seminar Katakan Tidak Kepada Keganasan Rumahtangga, Perundangan Wanita, Keluarga, Kanak-kanak & OSCC juga akan diadakan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) secara berperingkat mulai pertengahan April ini sehingga hujung tahun 2009. – MURIZA ABDUL HAMID

Tiada ulasan: