Selasa, 29 September 2009

Wargakota memenuhi bandar...

Warga kota sudah mula kembali ke bandar. Tentu banyak juga bekalan yang dibawa dari kampung yang boleh dijadikan 'simpanan makanan' kalau bajet untuk bulan ini tersasar. Kuih muih raya yang tak dipandang di Hari Raya sememangnya akan dicari 2, 3 minggu selepas raya.
Kepada mereka yang sudah mula bertugas, janganlah kenangan di Hari Raya menganggu tugas seharian. Terutama mereka yang bertugas dengan kerajaan. Tersilap berbelanja di musim raya, sudah tentunya akan menepuk dahi untuk menunggu gaji yang seterusnya.

200 ekar tanah di Hulu Selangor di berikan kpd Penternak..

SHAH ALAM,28 Sept - Kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan seluas 200 ekar di daerah Hulu Selangor untuk menempatkan semula ternakan Persatuan Penternak Ruminan Selangor yang terjejas Rabu lalu.
Ini diumumkan oleh Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
“Dan pihak Daerah Hulu Selangor telah mengenalpasti kawasan di Hulu Selangor dan saya minta supaya disegerakan dan ini jangka panjang. Jangka panjang kita akan letakkan, pindahkan penternak-penternak yang bermasalah ke tempat yang lebih sesuai,”katanya.
Yaakob menyifatkan tindakan kira-kira 80 ahli persatuan berkenaan membawa lebih 20 ekor lembu dan kambing untuk mendesak kerajaan negeri membantu mereka sebagai tidak tepat.
Beliau berkata bantuan telah diberikan dengan pantas apabila ternakan persatuan itu terperangkap dalam banjir kilat selepas empangan di Ulu Yam pecah.Difahamkan, empangan berkenaan pecah disebabkan pelanggaran sampah yang tertimbun hampir 100 meter tinggi di kawasan pelupusan sampah Sungai Kertas, Ulu Yam, bersebelahan empangan itu.
Puluhan ekor kambing dan lembu lemas manakala sebilangan lagi diselamatkan oleh anggota bomba, Rela, dan Jabatan Pertahanan Awam.
“Hari kedua dah ada, buktinya semua bantuan kecemasan, lembu-lembu cedera, rawatan telah diberi hari kedua dan makanan pun dihantar. Maknanya pihak jabatan haiwan walaupun beraya tapi ada juga yang turun. Dan dah dua kali hantar makanan dan esok hantar lagi untuk PKC, tak cukup”.
“Saya maklumkan pada hari kedua lagi Jabatan Veterinar Selangor telah pergi ke tempat tersebut untuk bantuan kecemasan dimana lembu-lembu yang cedera telah diberi rawatan dan lembu-lembu bermasalah di beri bantuan”,katanya.
Menurut beliau, pada hari berikutnya Jabatan Veterinar telah menghantar rumput kering untuk makanan dan yang kemudiannya ditambah dengan makanan dedak.
Yaakob berkata, kerajaan negeri juga telah mengenalpasti dua penternak yang mengalami kerugian teruk dalam kejadian itu dan akan membantu mereka membina kandang sementara sebelum dipindahkan ke kawasan baru.



Isnin, 28 September 2009

Kerajaan Negeri Laksanakan Konsep “First In First Out”

Kerajaan negeri akan melaksanakan konsep “first in first out” kepada setiap permohonan atau urusan yang dilakukan di pejabat tanah dan galian Selangor bagi mengelakan berlaku ketidak adilan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, konsep ini mampu mengelakkan diskriminasi atau pilih kasih kepada pemohon yang telah membuat permohonan lebih awal, bagaimanapun permohonan tersebut perlulah menepati keperluan dan diisi dengan lengkap.
“Saya ingin mengingatkan bahawa tujuan akhir kita telah beberapa kali bincang dengan pengarah tanah galian dan rakan-rakan pegawai daerah, bahawa kita nak memperkenalkan konsep apabila sudah stabil “first in first out” maknanya sesiapa yang buat permohonan awal akan diluluskan atau dibuat penelitian awal,
“ini bagi mengelakan satu keadaan yang memberikan peluang kepada orang yang hendak permohonan mereka diproses dengan lebih cepat melantasi mereka yang lama membuat permohonan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pentadbiran Tanah Negeri Selangor, di Dewan Annex, pagi tadi.
Selain itu, Tan Sri Khalid berkata, konsep ini mampu mengurangkan gejala rasuah dan salah guna kuasa pentadbiran dikalangan pegawai.
Tan Sri Khalid berkata perkara ini akan dipantau dan jika mereka tetap melakukan tindakan akan diambil dengan menghentikan permohonan selama setahun.
“Saya akan pantau kalau selalu habit dia, ini kali pertama dan kedua, tapi kali ketiga kita akan stop application untuk setahun, tapi bukan first time, bagi yang professional perlu menghantar permohonan dengan lengkap,” katanya.Dalam pada itu seminar Pentadbiran Tanah Negeri Selangor yang di anjurkan oleh Pejabat Tanah Kuala Langat bertujuan meningkatkan kecekapan dalam pentadbirang tanah di Selangor,
“Tujuan seminar ini ialah bukan sahaja menjemput pelbagai terlibat tetapi juga menjemput rakan2 di bidang professional termasuk arkitek serta pemaju-pemaju supaya dpt bersama- berbincang dapat meningkatkan pentadbiran tanah di Selangor dipertingkatkan,” katanya.
Seminar sehari ini turut menerangkan beberapa kajian yang dibuat oleh jawatankuasa task force tanah yang siap pada akhir tahun lepas akan digunakan untuk panduan kepada seminar ini.

Rabu, 16 September 2009

SERTAI FASA 2 SPIES KPD SEMUA PESERTA FASA 1 SPIES TERDAHULU

Semua peserta di dalam Fasa 1 SPIES yang lepas boleh mnyertai Fasa 2 SPIES kali ini di Kem Bumi Jati, Klang pada 3-4 Oktober dan 6-7 November akan datang.

Semua peserta akan dihubungi melalui surat pemberitahuan oleh konsultan masing-masing.

Semua pertanyaan bolehlah berhubung terus dengan koordinator PMI Shaiful di talian 0193291967.

Sekian dimaklumkan.

Selamat menyambut Eidul Fitri, maaf Zahir Batin.

Shaiful Anuar Sulaiman
http://www.sas-2008.blogspot.com/

Pelajar-pelajar bertadarus Al Quran di SMK Sg Choh, Batang Kali..

Rabu, 9 September 2009

PENIAGA BAZAAR RAMADHAN BKT SENTOSA RUGI?

BUKIT SENTOSA – Bazar Ramadan pada kebiasaannya menjadi sumber rezeki kepada peniaga, tetapi lain jadinya bagi peniaga di bazar Ramadan di sini kerana dilema dihadapi ekoran kerugian jualan pada setiap hari. Permit RM60 sudah dijelaskan, tetapi bila berniaga rugi, tutup pula langsung tidak dapat apa-apa. Itulah dilema peniaga Bazar Ramadan Bukit Sentosa sejak memulakan perniagaan pada 1 Ramadan lalu. Kini, sudah memasuki hari ke-19 umat Islam berpuasa namun masalahnya tetap sama. Bagi yang mampu bertahan, alhamdulillah. Tetapi bagi yang terlalu banyak persaingan kerana produk jualan yang sama terpaksa tutup kedai. Peniaga BBQ Kambing, Sheikh Mohd Khalid Shah Abdul Majid, 30, mengakui sepanjang dia berniaga tiada keuntungan diperoleh. Malah, dia terpaksa memberhentikan pekerjanya bagi mengelak kerugian yang lebih besar ditanggung. “Berniaga langsung tak untung, sampai sekarang pun masih tak balik modal. Rugilah! “Nasib baik perniagaan yang saya lakukan kurang persaingan dan sesekali ada pelanggan yang teringin merasa juadah berbuka dengan kambing golek, merekalah pelanggan saya,” katanya. Menurutnya, dia terpaksa memberhentikan dua pekerjanya daripada enam orang kepada empat sekarang. Tindakan itu perlu diambil bagi mengelakkan kerugian lebih besar dan mengelak dari menutup gerai kerana ia langsung tidak mendatangkan kebaikan.
Mohd Khalid berkata, ketiadaan pembeli disebabkan jumlah peniaga yang terlalu banyak berbanding tahun lalu. “Kalau tahun lepas, paling kurang pun saya akan dapat keuntungan mencecah RM1,000 sehari. “Tetapi sekarang, jumlah itu terlalu sukar untuk dicapai dan hanya sesekali dapat juga merasa pendapatan sehingga RM800 sehari,” katanya yang mengakui mengalami kemerosotan setiap hari berniaga di bazar berkenaan. Menurutnya, peniaga warga emas yang menjual kuih-muih bersebelahan gerainya terpaksa tutup dan hanya mampu bertahan dalam tempoh seminggu. Sementara itu, peniaga mi dan nasi goreng, Ishak Achil, 45, berkata, keadaan itu didorong oleh jumlah peniaga yang terlalu ramai ekoran pertambahan jumlah tapak gerai. Menurutnya, pertambahan dua kali ganda berlaku iaitu hanya 135 tapak disediakan pada tahun lalu dan kini sebanyak 345 tapak gerai tersedia. “Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) meluluskan terlalu banyak permohonan yang sepatutnya dihadkan. “MDHS juga perlu peka dalam memilih peniaga kerana di sini terlalu banyak peniaga luar yang mewujudkan persaingan tidak sihat,” katanya. Menurutnya, berbeza daripada tahun lalu hanya peniaga sekitar Bukit Sentosa atau Bukit Beruntung sahaja dibenarkan berniaga. Tetapi sebaliknya berlaku pada tahun ini, peniaga luar terlalu ramai dan ada yang datang dari Tanjung Malim, Perak, Sungai Buloh, Rawang dan Serendah. “Kami penduduk di sini dan bayar cukai di sini, mengapa orang luar pula beri hak berniaga sedangkan mereka bukan penduduk di sini. “Peniaga seperti ini sepatutnya ditapis dan dipantau bagi mengelakkan kami penduduk jati terus menanggung kerugian,” katanya. Ahli Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Bukit Sentosa, Baharum Manap, 50, pula berkata, pada kebiasaannya hanya kurang daripada 250 tapak gerai sahaja yang disediakan untuk peniaga bazar Ramadan dan jumlah sehingga melebihi 300 tapak adalah terlalu banyak. “Saya pernah buat aduan kepada MDHS mengenai perkara ini tetapi malangnya pihak tersebut hanya mempertahankan hak mereka dan mengenepikan suara golongan peniaga. “Kesannya, kami yang rasai dan terpaksalah tanggung kerugian daripada keadaan seperti ini,” katanya yang sudah lapan tahun berniaga. Baharum berkata, rata-rata peniaga merungut mengenai perkara ini dan mengalami tekanan ekoran kerugian yang dialami.
Menurutnya, kesan daripada tapak gerai yang terlalu banyak mendorong segelintir peniaga lompat memilih tapak yang lebih ramai dikunjungi pembeli.
Tindakan itu katanya terpaksa diambil bagi mengelak daripada kerugian lebih besar ditanggung.
“Jumlah peniaga yang terlalu ramai juga sebenarnya menyukarkan pelanggan memilih juadah. “Pelanggan hanya berjalan dari hujung ke hujung tanpa membeli apa-apa sebab tidak tahu pilihan makanan mereka dan akibatnya, kami yang rugi,” katanya. Baharum berkata, perkara itu juga disumbang oleh tindakan MDHS yang meminta peniaga membayar terlebih dahulu permit gerai sebelum pengundian tapak dilakukan. Menurutnya, ia berbeza daripada tahun lalu yang memberi peluang peniaga memilih tapak dan berniaga terlebih dahulu sebelum menjelaskan bayaran. “Saya bercakap kerana benar dan bukan sengaja mereka cerita. Ini bagi membela nasib kami peniaga di sini dan mengelak daripada pihak tertentu meraih keuntungan,” katanya. Justeru, beliau mahu pemantau dilakukan oleh MDHS bagi mengenal pasti peniaga luar dan hanya membenarkan peniaga tempatan berniaga di situ. Menurutnya, hanya berbaki beberapa hari saja lagi untuk peniaga meraih keuntungan dari perniagaan di bazar Ramadan. Untuk itu, perlunya tindakan segera diambil bagi mengelakkan peniaga terus mengalami kerugian.

Ahad, 6 September 2009

Bersedekah di bulan ramadhan....

Perkara yang sering diingati oleh umat Islam didalam bulan ramadhan ialah amalan sedekah dan zakat. Sebenarnya, zakat juga adalah sedekah; namun ia adalah sedekah yang wajib. Misalnya Allah SWT menyatakan: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah " (at-Taubah: 103), maka makna 'sedekah' di sini adalah zakat. Begitu juga apabila Allah SWT menyatakan: "Sesungguhnya sedekah itu adalah untuk fakir, miskin, amil, muallaf… " (at-Taubah: 60)... Wallahualam..

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA AJK CABANG HULU SELANGOR TAHUN LEPAS 2008...

Mari kita tengok video - dailog X-treme Seksyen 23

Sabtu, 5 September 2009

Sidang DUN Perak 2 September Sah

(TV Antara) - Tindakan Speaker DUN Perak V. Sivakumar bersama 24 ADUN Pakatan Rakyat mengadakan Sidang DUN pada 2 September lalu di Hotel Herittage adalah sah dari segi Perlembagaan.
Pakar Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata malahan usul yang dikemukakan pada Sidang berkenaan juga merupakan usul yang sah.
Beliau berkata, V. Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei lalu dalam cubaan rampasan kuasa Umno-BN.
“Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telang melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa. Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Datuk Ganesan bukannya Sivakumar.
“Apa yang diputuskan dalam Sindang DUN itu adalah sama statusnya dengan yang di bawah pokok hari itu sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah dan ia masih di bawah Sivakumar,” katanya.
Aziz yakin pihak setiausaha kerajaan negeri dan polis sedar bahawa sidang Dun Pakatan Rakyat itu adalah sah kerana pihak berkuasa kelihatan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
“Ini dikutuk oleh sebuah laman web penyokong Umno berasa tidak senang dengan tindakan yang dianggap lembut oleh pihak polis di Ipoh walaupun sebenarnya kalau diperhatikan sudah kasar apa yang diakukan oleh polis terhadap Nizar dan Nge Khoo Ham,” katanya.
Mengulas mengenai kemelut politik di Perak, Aziz berkata Umno-BN mengheret mahkamah dalam kancah politik negara bagi merealisasikan rampasan kuasa yang dilakukan di Perak.
Beliau berkata mahkamah tidak seharusnya mencampuri hal ehwal Dewan Negeri mahupun Dewan Negara, sejajar dengan konsep pemisahan kuasa legislatif-eksekutif-kehakiman.
“Kalau mahkamah telah melanggar Perlembagaan siapa lagi yang kita harapkan untuk jaga Perlembagaan kerana hakim-hakim harus menjunjung dan pertahankan Perlembagaan.
“Perlembagaan kata mahkamah tidak ada kuasa untuk campur atau kaji atau periksa prosiding Dewan, dia buat juga maknanya mahkamah telah melanggar Perlembagaan. Jadi sekarang dalam keadaan kelam-kabut dan keputusan mahkamah dipersoalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa menggantung Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya daripada menghadiri sidang Dewan Negeri berkenaan.
“Umno heret Istana untuk sahkan kedudukan ini satu tindakan yang tidak betul dan mengkompromikan kedudukan neutral dan atas politik istana,” katanya.
Katanya DUN Perak perlu dibubar demi kepentingan negeri berkenaan khususnya dari segi kestabilan politiknya.
“Siapa Istana untuk menentang ini, kita harus faham latar belakang mengapa kuasa budi bicara diberikan pada Sultan bukan kuasa mutlak, apa yang berlaku di Perak jelas keengganan Sultan membubarkan Dewan telah memalitkan Istana dengan politik. Ia jelas dan semua nampak ia tidak boleh dinafikan,” katanya.

Cadangan Pemindahan Kuil Hindu Di Seksyan 19 Di Bekukan

SHAH ALAM, 5, Ogos- Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan bahawa cadangan memindahkan Kuil Hindu di Seksyen 19, ke Seksyen 23 dibekukan sementara, ekoran bantahan keras daripada penduduk.
Khalid berkata, kontroversi yang tercetus daripada rancangan pemindahan kuil tersebut akan ditangguhkan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.
“Kerajaan negeri sangat prihatin tentang perkara ini, kita merasakan kita terpaksa melihat semula cadangan tersebut, saya telah meminta masyarakat di seksyen 23 supaya mereka tidak lagi membincangkan perkara ini kerajaan negeri akan melihat bagaimana usaha2 ini dapat diteruskan,” katanya.
Tan Sri Khalid berkata demikian kepada media di kediaman rasminya selepas Majlis Dialog bersama penduduk Seksyen 23 berhubung isu pemindahan kuil tersebut di Dewan Bankuet MBSA, pagi tadi.
Katanya, Kerajaan Negeri prihatin terhadap keinginan masyarakat India yang inginkan kuil itu dibina dan akan berusaha untuk mencari tapak alternatif yang sesuai.
“Kita akan berbincang dengan PKNS supaya dapat mengenalpasti satu lagi tempat yang sesuai yang boleh diterima oleh Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 dan boleh diterima oleh penduduk di persekitaran Seksyen tersebut,“ini akan kita lakukan seberapa segera sebab kita rasa masalah pemindahan kuil ini mesti diselesaikan kalau tidak ini boleh menjadi perkara-perkara yang menjadi isu antara penduduk,” katanya.
Beliau berkata, hasrat memindahkan kuil berkenaan akan diteruskan, tetapi ditangguhkan buat masa ini sambil berharap penduduk tidak menimbulkan ketegangan lagi.
Katanya, ekoran bantahan penduduk dalam sesi dialog pagi tadi, kerajaan negeri terpaksa menilai semula cadangan memindahkan kuil Sri Mariaman itu ke Sekyen 23.
“Kita faham, perkara yang melibatkan agama merupakan isu sensitif. Tetapi kita tidak akan menyapunya ke bawah permaidani (mengelak daripada menyelesaikannya),” katanya.
Sambil menegaskan beliau tidak kecewa dengan insiden ini, Tan Sri Khalid berkata, bantahan itu telah dijangka, berdasarkan tunjuk perasaan yang dibuat oleh penduduk setempat sebelum ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan insiden yang berlaku pagi tadi berpunca daripada salah faham ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat, sedangkan perkara itu masih di peringkat cadangan.
“Saya tengok daripada perbincangan yang telah diadakan tadi ada miss information, telah dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu, mereka yang datang sudah menganggap pembinaan telah dilakukan, ini memberi gambaran bahawa kita buat tanpa berbincang dengan penduduk, sekiranya mereka mendapat maklumat yang tepat ia tidak akan berlaku,” jelasnya.
Beliau turut menyeru media agar menyampaikan maklumat dengan tepat dan tidak mencetuskan perbalahan dan salah faham penduduk.
Bagaimanapun, Khalid meminta perkara itu tidak dipanjangkan kerana ia telah diselesaikan dengan mencari tapak lain sebagai alternatif.

Sultan Selangor berbuka di Masjid Serendah..

HULU SELANGOR, 4.Sep- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 400 orang anak yatim, fakir, miskin dan saudara baharu sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Nurul Iman, Serendah, Hulu Selangor, petang tadi.

Siri jelajah baginda ke seluruh negeri Selangor ini merupakan salah satu daripada program Ihya’ Ramadhan 2009 dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Antara objektif program ini adalah untuk mendekati seluruh rakyat Selangor dibawah pemerintahan baginda Sultan dan sumbangan tersebut sedikit sebanyak mampu membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan menjalani ibadah ramadhan kali ini.
Masing-masing menerima bantuan sebanyak RM100 setiap seorang manakala asnaf RM200 setiap seorang.
Rata-rata penerima melahirkan rasa gembira, bagi saudara baharu, Siti Zainon Abdullah yang merupakan kali pertama menerima sumbangan menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih diatas pemberian tersebut.
“ Saya dapat sumbangan dan berasa gembira dan berterima kasih kepada mereka, harapan saya semoga dapat bersama dia lagi pada tahun hadapan, ini merupakan kali pertama,” katanya.
Manakala bagi Rashid Iskandar berasal dari Kulu Kubu menerima sumbangan kali kedua daripada kerajaan Negeri dan berharap kerajaan negeri lebih banyak memberi perhatian kepada golongan miskin di kawasan Hulu Selangor.
“Perasaan gembira insyaallah ini kali kedua sebelum ni tahun 2007, bagi saya mudah-mudahan kerajaan negeri bagi sumbangan lagi kepada rakyat-rakyat semua,” katanya.
Saudara baharu, Mohd Ismail Abdullah yang baru memeluk Islam tahun lepas mengucapkan perasaan bersyukur diatas keperihatinan kerajaan dalam memberi sumbangan kepada golongan mualaf seperti mereka.
Berasa seronok, tidak pernah dapat sebelum ini, ini kali pertama, harapan kerajaan negeri bagi lagi sumbangan ini, saya tiada ibu bapa dan terpaksa tinggal di rumah kebajikan serendah.
Ibu Tunggal, Sarinah Abdullah berkata sumbangan ini adalah merupakan razeki kepada anak-anaknya dalam menempuh bulan ramadhan dan hari raya yang bakal tiba.
“Alhamdulilah kita dapat ini adalah untulk anak, ini kali kedua, saya ucapkan terima kasih kerana membantu orang yang susah macam akan ni dan ibu tunggal, sumbangan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Hampir 2000 orang warga Hulu Selangor membanjiri perkarangan masjid untuk berbuka dan bersolat terawih bersama Sultan.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud; Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Jumaat, 4 September 2009

ADUN BAGAN PINANG MENINGGAL.. ADUN BN LAH!

SEREMBAN 4 Sept. – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor berkata, beliau akan memaklumkan secepat mungkin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Razak yang mengesahkan kematian penyandang kerusi itu, Azman Mohd. Nor pada pukul 2.30 petang ini memberitahu, beliau hanya mendapat berita tersebut kira-kira pukul 3 petang ini.
"Saya akan memaklumkan kepada SPR secepat mungkin mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.
"Saya perlu semak dengan Unit Protokol dulu (pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri), kalau sempat saya maklum hari ini, jika tidak mungkin tunggu Isnin sebab esok dan Ahad cuti,” katanya.
Azman, 55, meninggal dunia kerana sakit jantung di Hospital Pakar Seremban di sini.
Antara yang menziarahi Allahyarham di hospital ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
DUN Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang adalah salah satu daripada dua kerusi yang dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) tahun lalu.
Dalam pilihan raya itu, Allahyarham Azman mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail (Pas) dengan majoriti 2,333 undi.

Pakatan Rakyat Tetap Kukuh Di Selangor

SHAH ALAM, 3 September - Wakil-wakil rakyat negeri Selangor Pakatan Rakyat tetap berdiri teguh menyokong kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Ini membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tetap kukuh dan usaha Barisan Nasional untuk menggoncang kerajaan negeri Selangor tidak akan berhasil.
Perkara ini dinyatakan oleh wakil rakyat dari Pakatan Rakyat iaitu ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafie, dan Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam dalam satu temubual ekslusif bersama TVSelangor di pejabat TVSelangor, hari ini.
Menurut Suhaimi, mereka akan berpegang teguh dengan akauntabiliti Tan Sri Khalid sebagai pemimpin yang berdedikasi dan mempunyai reputasi yang tinggi dalam pemerintahan.
“Saya berpegang teguh daripada segi profesionalisme, keputusan membuat sesuatu, ketelusan melaksanakan sesuatu, kita katakan akauntabiliti Tan Sri Khalid yang memang seorang yang mempunyai reputasi yang tinggi, dari segi pengurusan kerajaan negeri, saya nampak bagus, kalaupun ada, sedikit,” katanya.
Katanya, kerajaan BN hanya memainkan propaganda untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat dan apa yang pasti, mereka tetap dengan pendirian dan pegangan tinggi terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.
Sementara itu, S.Manikavasagam berkata, tidak akan timbul isu lompat parti dalam Pakatan Rakyat di Selangor.
Walaupun BN dilihat sangat berminat dengan Selangor, namun pendirian kuat wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat tetap kukuh sekaligus menghalang BN menguasai Selangor.
“Bukan nak lompat, tidak ada seorang pun yang akan lompatlah, kerana rakyat memilih kita, kita akan kekal, termasuk Adun Pelabuhan Klang yang saya jumpa baru-baru ini, saya rasa beliau tidak akan lompat, akan bersama dengan parti media yang mainkan,” katanya.
Menurut Suhaimi, pendekatan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di Selangor sekarang adalah berbeza dengan pemerintahan kerajaan BN yang lepas.
Segala isu dan masalah yang berbangkit akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan parti PKR dan kerajaan Selangor yang mana beberapa pandangan dan pendapat akan diambil untuk mengatasinya.
“Di mesyuarat tersebut, akan mengeluarkan pandangan dan memberikan idea-idea dan cara terbaik bagaimana kita merapatkan dan membantu rakan-rakan kita yang lain diperingkat kerajaan negeri.
“Dan diperingkat kerajaan Selangor dipengerusikan oleh Menteri Besar dan semua isu-isu yang agak sensitif diperbincangkan,” katanya.
Begitu juga bagi S.Manikavasagam, perbincangan dalaman akan dilakukan bagi mengelakkan sebarang salah faham dalam parti yang merangkumi parti PKR, Pas dan DAP.
“Isu-isu semua patut Menteri Besar panggil semua, termasuk adun, ahli parlimen, semua boleh selesai, semua remeh..takde masalah parti, tapi UMNO-Barisan dapat ada isu-isu memainkan isu ini dibesar-besarkan.
“Patut ada perbincangan dalaman sendiri, sepatutnya sering diadakan untuk memahami antara satu sama lain dalam tiga parti berkenaan,” katanya.

Rabu, 2 September 2009

ADUN PONTENG BERSYUKUR !!!

"Saya bersyukur kerana masih dapat meneruskan khidmat kepada rakyat dan pengundi di Kota Siputeh serta tidak dihukum dengan perkara yang bukan sengaja saya lakukan."
Itu reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan jawatannya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Pemerintah 'double standard': Rodziah Ismail


SHAH ALAM – Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail mempersoalkan 'double standard' yang diamalkan pemerintah kerana kelihatan hanya menggunakan ISA ke atas pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa menimbulkan isu perkauman seperti mana dilalui Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok tahun lepas.
Bagaimanapun katanya, tiada tindakan dikenakan ke atas pimpinan atau penyokong Barisan Nasional (BN) yang menjurus kepada ketegangan perkauman seperti mana disaksikan dalam perarakan kepala lembu di depan Bangunan SUK pada Jumaat lalu.
”Ini jelas bahawa ISA digunakan oleh pihak pemerintah hanya untuk memburukkan imej pimpinan PR. Untuk menghalalkan penggunaan ISA, pimpinan PR dikaitkan pula dengan isu ketegangan perkauman. ”Maka saya tetap berpegang kepada pendi-rian bahawa ISA harus dimansuhkan kerana ISA telah memberi kuasa yang terlalu besar kepada Menteri Dalam Negeri sehingga bertindak secara selektif serta menafikan hak perbicaraan dan hak untuk membela diri seseorang,” katanya.
Beliau berharap liputan mengenai isu peminda-han kuil dari Seksyen 19 ke Sekysen 23 ini tidak teralih daripada masalah pokok, iaitu isu perancangan komuniti yang bakal diselesaikan dalam pertemuan dengan penduduk Seksyen 23 pada 5 September nanti. Beliau juga bersedia untuk memberi penjelasan mengenai pendirian pemimpin PR berhubung isu ISA bagi mengelakkan kekeliruan.

SPR putuskan tidak ada kekosongan di Kota Seputeh

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memutuskan tidak ada kekosongan di Dun Kota Seputeh, Kedah walaupun Speaker Dun Kedah memohon pilihan raya diadakan di kawasan itu.
"SPR juga memutuskan bahawa kerusi Adun Kota Siputeh masih disandang oleh Datuk Abu Hassan Sarif yang beliau menangi dalam pilihan raya umum ke-12 yang lepas," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi.
Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail, menghantar surat kepada SPR memaklumkan kekosongan di kerusi itu berikutan kegagalan Adunnya, Dato' Abu Hassan Sharif menghadiri dua kali sidang Dun secara berturut-turut.
Mengikut peraturan dalam Dun Kedah, mana-mana Adun yang gagal menghadiri sidang Dun dua sessi berturut-turut tanpa kebenaran dari Speaker akan hilang kerusinya.
Dalam ulasan spontannya, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, keputusan ini membayangkan sikap sebenar badan yang dikatakan bebas itu.
"Peraturan ini bukannya baru dan dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tetapi peraturan yang telah sedia ada. Nampaknya SPR lebih senang menafikan peraturan ini," kata Salahudin kepada Harakahdaily.
Bagaimanapun, Salahudin tidak terkejut dengan keputusan ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin telah membayangkan tindakan yang perlu diambil oleh SPR sebelum ini.
Abu Hasan Sarif tidak pernah memaklumkan kepada Speaker DUN atau pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tentang ketidakhadiran beliau ke sidang DUN yang diadakan 9 Ogos lalu.
Abu Hassan sendiri tidak hadir pada Sidang Dewan pada 19 April sebelum itu bermakna dia tidak hadir dua kali bertutut-turut.
Menurut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir ke mesyuarat dewan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, maka kerusinya hendaklah dikosongkan.
Abdul Isa, Abu Hassan hanya memaklumkan perkara demikian kepada Ketua Pembangkang, Dato' Seri Mahdzir Khalid melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Menurut Pengerusi SPR, pihaknya telah meminta nasihat dari Jabatan Peguam Negara sebelum membuat keputusan dalam mesyuarat mereka hari ini.
SPR memutuskan bahawa berdasarkan kepada takrif perkataan consecutive meetings, Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah dan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah bukanlah consecutive meetings dalam erti kata Perkara 51.
Sehubungan itu, adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa Abu Hassan tidak hadir dalam dua mesyuarat berturut-turut.
Abdul Aziz berkata, SPR berpendapat "ini adalah kerana mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN berkenaan bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan."
"Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut bagi dua penggal yang berbeza. Tempoh masa antara penggal persidangan pertama dan penggal persidangan kedua ialah selama tiga bulan 20 hari," katanya.
Kata Abdul Aziz lagi, setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, ia memutuskan bahawa mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan dalam erti kata Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman.
Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut untuk dua penggal yang berbeza, jelas beliau.
"Surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh diterima oleh SPR sebagai penjelasan mengenai ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat Dewan pada 9 Ogos 2009.
"SPR juga mendapati bahawa kegagalan ADUN Kota Siputeh itu menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal (selewat-lewatnya pada 9 Ogos 2009) tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal.
"SPR berpendapat bahawa sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan. SPR memutuskan bahawa tiada berlaku apa-apa kekosongan pada kerusi Kota Siputeh," katanya.
Sementara itu, Speaker DUN, Abdul Isa akan membuat kenyataan esok mengenainya selepas meneliti alasan yang diberikan oleh SPR.