Rabu, 9 September 2009

PENIAGA BAZAAR RAMADHAN BKT SENTOSA RUGI?

BUKIT SENTOSA – Bazar Ramadan pada kebiasaannya menjadi sumber rezeki kepada peniaga, tetapi lain jadinya bagi peniaga di bazar Ramadan di sini kerana dilema dihadapi ekoran kerugian jualan pada setiap hari. Permit RM60 sudah dijelaskan, tetapi bila berniaga rugi, tutup pula langsung tidak dapat apa-apa. Itulah dilema peniaga Bazar Ramadan Bukit Sentosa sejak memulakan perniagaan pada 1 Ramadan lalu. Kini, sudah memasuki hari ke-19 umat Islam berpuasa namun masalahnya tetap sama. Bagi yang mampu bertahan, alhamdulillah. Tetapi bagi yang terlalu banyak persaingan kerana produk jualan yang sama terpaksa tutup kedai. Peniaga BBQ Kambing, Sheikh Mohd Khalid Shah Abdul Majid, 30, mengakui sepanjang dia berniaga tiada keuntungan diperoleh. Malah, dia terpaksa memberhentikan pekerjanya bagi mengelak kerugian yang lebih besar ditanggung. “Berniaga langsung tak untung, sampai sekarang pun masih tak balik modal. Rugilah! “Nasib baik perniagaan yang saya lakukan kurang persaingan dan sesekali ada pelanggan yang teringin merasa juadah berbuka dengan kambing golek, merekalah pelanggan saya,” katanya. Menurutnya, dia terpaksa memberhentikan dua pekerjanya daripada enam orang kepada empat sekarang. Tindakan itu perlu diambil bagi mengelakkan kerugian lebih besar dan mengelak dari menutup gerai kerana ia langsung tidak mendatangkan kebaikan.
Mohd Khalid berkata, ketiadaan pembeli disebabkan jumlah peniaga yang terlalu banyak berbanding tahun lalu. “Kalau tahun lepas, paling kurang pun saya akan dapat keuntungan mencecah RM1,000 sehari. “Tetapi sekarang, jumlah itu terlalu sukar untuk dicapai dan hanya sesekali dapat juga merasa pendapatan sehingga RM800 sehari,” katanya yang mengakui mengalami kemerosotan setiap hari berniaga di bazar berkenaan. Menurutnya, peniaga warga emas yang menjual kuih-muih bersebelahan gerainya terpaksa tutup dan hanya mampu bertahan dalam tempoh seminggu. Sementara itu, peniaga mi dan nasi goreng, Ishak Achil, 45, berkata, keadaan itu didorong oleh jumlah peniaga yang terlalu ramai ekoran pertambahan jumlah tapak gerai. Menurutnya, pertambahan dua kali ganda berlaku iaitu hanya 135 tapak disediakan pada tahun lalu dan kini sebanyak 345 tapak gerai tersedia. “Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) meluluskan terlalu banyak permohonan yang sepatutnya dihadkan. “MDHS juga perlu peka dalam memilih peniaga kerana di sini terlalu banyak peniaga luar yang mewujudkan persaingan tidak sihat,” katanya. Menurutnya, berbeza daripada tahun lalu hanya peniaga sekitar Bukit Sentosa atau Bukit Beruntung sahaja dibenarkan berniaga. Tetapi sebaliknya berlaku pada tahun ini, peniaga luar terlalu ramai dan ada yang datang dari Tanjung Malim, Perak, Sungai Buloh, Rawang dan Serendah. “Kami penduduk di sini dan bayar cukai di sini, mengapa orang luar pula beri hak berniaga sedangkan mereka bukan penduduk di sini. “Peniaga seperti ini sepatutnya ditapis dan dipantau bagi mengelakkan kami penduduk jati terus menanggung kerugian,” katanya. Ahli Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Bukit Sentosa, Baharum Manap, 50, pula berkata, pada kebiasaannya hanya kurang daripada 250 tapak gerai sahaja yang disediakan untuk peniaga bazar Ramadan dan jumlah sehingga melebihi 300 tapak adalah terlalu banyak. “Saya pernah buat aduan kepada MDHS mengenai perkara ini tetapi malangnya pihak tersebut hanya mempertahankan hak mereka dan mengenepikan suara golongan peniaga. “Kesannya, kami yang rasai dan terpaksalah tanggung kerugian daripada keadaan seperti ini,” katanya yang sudah lapan tahun berniaga. Baharum berkata, rata-rata peniaga merungut mengenai perkara ini dan mengalami tekanan ekoran kerugian yang dialami.
Menurutnya, kesan daripada tapak gerai yang terlalu banyak mendorong segelintir peniaga lompat memilih tapak yang lebih ramai dikunjungi pembeli.
Tindakan itu katanya terpaksa diambil bagi mengelak daripada kerugian lebih besar ditanggung.
“Jumlah peniaga yang terlalu ramai juga sebenarnya menyukarkan pelanggan memilih juadah. “Pelanggan hanya berjalan dari hujung ke hujung tanpa membeli apa-apa sebab tidak tahu pilihan makanan mereka dan akibatnya, kami yang rugi,” katanya. Baharum berkata, perkara itu juga disumbang oleh tindakan MDHS yang meminta peniaga membayar terlebih dahulu permit gerai sebelum pengundian tapak dilakukan. Menurutnya, ia berbeza daripada tahun lalu yang memberi peluang peniaga memilih tapak dan berniaga terlebih dahulu sebelum menjelaskan bayaran. “Saya bercakap kerana benar dan bukan sengaja mereka cerita. Ini bagi membela nasib kami peniaga di sini dan mengelak daripada pihak tertentu meraih keuntungan,” katanya. Justeru, beliau mahu pemantau dilakukan oleh MDHS bagi mengenal pasti peniaga luar dan hanya membenarkan peniaga tempatan berniaga di situ. Menurutnya, hanya berbaki beberapa hari saja lagi untuk peniaga meraih keuntungan dari perniagaan di bazar Ramadan. Untuk itu, perlunya tindakan segera diambil bagi mengelakkan peniaga terus mengalami kerugian.

Tiada ulasan: