Selasa, 15 April 2014

PENCALONAN PEMILIHAN PIMPINAN NEGERI SELANGOR LANCAR

IMG_6577


(Oleh: Fiza Halim)
PETALING JAYA 13 APRIL: Penamaan calon bagi pemilihan KEADILAN peringkat cabang di negeri Selangor  hari ini berjalan lancar dengan proses penamaan dijalankan di hadapan Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya.
Tempoh penamaan calon bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang melibatkan sebanyak 22 cabang termasuk peringkat Wanita KEADILAN dan Ketua Angkatan Muda (AMK).
Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menyeru semua anggota parti menyuburkan prinsip demokrasi dalam pemilihan nanti supaya ia terus berjalan dengan baik dan teratur.
Katanya, anggota parti khususnya di negeri itu sewajarnya memilih mereka yang dapat meneruskan obor reformasi sebagai langkah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke -14 akan datang.
“Kita sedia maklum bahawa Selangor kubu terkuat KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
“Saya selaku Pengerusi Pimpinan Majlis Negeri akan mempertahankan Selangor di bawah pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat di Selangor,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Johari Abdul menyatakan hampir setengah juta anggota akan menentukan barisan baru pimpinan Keadilan dan pengundian akan dibuat secara berperingkat mengikut negeri sama seperti 2010.
Seramai 496,923 daripada sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi dalam pemilihan kali ini. Pengundian pemilihan KEADILAN peringkat Selangor akan bermula pada 11 Mei hadapan.
Negeri lain ialah Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 26 April, Sarawak (26 & 27 April), Johor dan Melaka (27 April), Kedah dan Perlis (3 Mei), Sabah  (3 dan 4 Mei), Perak dan Pulau Pinang (4 Mei) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (10 Mei).
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=60624