Khamis, 19 Mac 2009

Pegawai Daerah perjelas isu tanah diceroboh


KUALA KUBU BHARU – Bantahan disuarakan kira-kira 30 penduduk Kampung Kandang Lembu berikutan tindakan pihak tertentu yang didakwa sengaja menceroboh penempatan mereka kelmarin, mendapat reaksi Pegawai Daerah, Nor Hisham Dahlan. Nor Hisham berkata, tidak wujud isu pencerobohan seperti didakwa penduduk kerana kawasan itu sudah menjadi hak milik individu. “Lawatan dan siasatanyang dijalankan pada 2 Februari lalu bersama Penolong Pegawai Daerah (Penguatkuasaan), Penolong Pegawai Tanah Kanan (Penguatkuasaan) dan Penghulu Mukim Serendah bagi mengenal pasti kawasan dan status tanah. “Hasil siasatan mendapati keseluruhan kawasan itu berkeluasan 17 ekar dan Kampung Kandang Lembu hanya seluas lebih kurang tiga ekar sahaja. “Dan kesemua kawasan itu sudah dimiliki individu berdasarkan pendaftaran yang dilakukan di bawah Hak Milik Daftar (HSD) pada 2003,” katanya. Menurutnya, permohonan pemilikan ke atas tanah itu dikemukakan sejak 1997 lagi dan diluluskan bekas Pegawai Daerah ketika itu, Datuk Ab Hakim Borhan pada 2003. Nor Hisham berkata, siasatan juga mendapati Kampung Kandang Lembu terdiri dari rumah-rumah pekerja ladang yang telah didiami hampir 50 tahun. Menurut beliau, ketika ini terdapat lima keluarga sahaja yang menduduki kawasan tersebut dan empat daripadanya merupakan keluarga berbangsa India manakala sebuah keluarga lagi berbangsa Cina. “Setelah dilakukan semakan juga mendapati sebahagian rumah di kampung terbabit termasuk dalam kawasan tanah hak milik individu dan sebahagian lagi termasuk dalam simpanan Sungai Serendah. “Rumah di kawasan itu juga kebanyakannya sudah usang dan tidak boleh didiami, malah penempatan penduduk di situ juga berstatus setinggan di atas tanah hak milik persendirian dan perlu diselesaikan segera,” katanya. Beliau juga pernah mencadangkan kepada wakil penduduk supaya menyarankan mereka mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Tasik Teratai, di Serendah. Kampung Kandang Lembu terletak di bahagian Selatan Taman Bukit Teratai iaitu kira-kira 300 meter dari Jalan Raya Serendah–Bukit Beruntung dan kawasan penempatan itu berhampiran dengan kawasan perindustrian Anugerah Suria dan kilang Perodua Sungai Choh.

Tiada ulasan: