Selasa, 24 Mac 2009

Status perhentian Rawang terus timbul persoalan

RAWANG – Kelewatan pembukaan dan operasi Perhentian Bas dan Teksi Rawang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna dan peniaga sekitar. Kebanyakan mereka melahirkan rasa kecewa dan sangsi mengenai status hentian bas itu walaupun difahamkan ia siap sepenuhnya Disember lalu.
Seorang peniaga, Zuhaimi Mohd Said, 40, berkata, beliau kecewa kerana hentian itu masih tidak dibuka sehingga menjejaskan perniagaannya kerana ketiadaan pengunjung. “Kami peniaga di sini menyewa lot kedai kerana tahu adanya peluang meraih pendapatan lebih sekiranya hentian bas ini dibuka. “Tetapi, peluang itu seakan tersekat kerana sehingga kini tidak nampak tanda-tanda bahawa hentian ini akan dibuka walaupun kelihatan sudah siap sepenuhnya,” katanya. Menurutnya, perkara yang menimbulkan tanda tanya adalah bilakah ia akan dibuka dan memulakan operasi dan benarkah wujud isu dalaman mengenainya sehingga tidak ada sebarang makluman atau pemberitahuan dibuat. Bagi mendesak pihak bertanggungjawab menjelaskan mengenai status hentian bas itu, beliau bersama peniaga sekitar bertindak mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Zainal Abidin Azim.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Kamarul Edimuhizad Ahmad Nazari, 37, menggesa pihak berkenaan supaya segera membuka hentian itu memandangkan ia sudah siap sepenuhnya. Beliau yang mula berniaga di kawasan itu sejak Januari 2008 mengakui perniagaannya kian terjejas kerana ketiadaan pelanggan selain wujudnya peniaga haram. “Saya mengambil tapak berniaga di kawasan ini kerana dimaklumkan hentian bas ini akan siap pada Jun tahun lalu, tetapi operasinya masih belum dimulakan kerana mungkin belum siap sepenuhnya. “Kemudian sekali lagi saya dimaklumkan ia akan dibuka pada September, tetapi perkara sama terjadi. ”Bermula dari tarikh itu kami hanya mendengar makluman serupa kononnya pada Disember dan awal Mac 2009, tapi sehingga kini ia masih tidak dibuka,” katanya yang nyata terkilan dengan perkara itu. Beliau turut mendakwa wujudnya peniaga haram di kawasan itu kerana ketiadaan aktiviti pemantauan oleh pihak berkuasa.
Seorang peniaga restoran, Kamariah Abdullah, 49, pula berkata, pendapatannya kini hanya bergantung kepada pelanggan daripada pasaraya berhampiran kerana ketiadaan pengunjung luar. Dia juga mengakui menghadapi kesukaran membayar sewa kepada pemilik kedai berikutan hasil yang sedikit. Menurutnya situasi itu turut dialami peniaga sekitar yang merungut kerana ketiadaan pembeli hanya disebabkan kelewatan pembukaan hentian bas terbabit. Tinjauan Sinar Harian ke kawasan itu mendapati hentian bas berkenaan siap sepenuhnya walaupun terdapat beberapa keretakan pada dinding bangunan.

Tiada ulasan: