Selasa, 17 Mac 2009

3 Adun ditugas menjaga kepentingan belia dan sukan

SHAH ALAM, 17 Mac - Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua komponen belia Selangor bekerjasama walaupun tidak mendapat pengiktirafan kerajaan persekutuan.
Menurut beliau kerajaan negeri boleh menyalurkan bantuan kewangan dalam menjalankan aktiviti pembangunan belia di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM6 juta setahun untuk pembangunan sukan dan belia.
“Tetapi oleh kerana Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan tidak mengiktiraf belia di Selangor, kita telah menjalankan satu usaha penyusunan semula harta dan kemudahan milik kita di bawah Menteri Besar Incorporated (MB Inc),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) sama ada gabungan belia di bawah Majlis Belia Selangor akan digerakkan untuk membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan program pembangunan belia.
Abdul Khalid berkata beliau akan meminta tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk berjumpa dengan kumpulan belia.
Ketiga-tiga Adun berkenaan ialah Adun Batu Caves, Amirudin Shari, Adun Teratai, Janice Lee dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.
Terdahulu, ketika menjawab pertanyaan Dato’ Marsum Paing (BN-Dengkil) mengenai keberkesanan program latihan kemahiran belia, Abdul Khalid berkata ia masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Katanya, kerajaan negeri akan meletakkan wakil belia di setiap kawasan dewan undangan negeri (Dun) bagi membolehkan mereka memberi galakan kepada golongan belia menyertai latihan yang disediakan kerajaan negeri.
Menurut Abdul Khalid, seramai 425 peserta menyertai empat siri program latihan kemahiran belia yang dilaksanakan kerajaan negeri pada 2008.
“Melalui program tersebut, seramai 132 peserta berjaya melanjutkan pelajaran, 131 orang telah mendapat pekerjaan dan seramai 84 orang memilih untuk menjadi usahawan,” katanya.
Kesemua mereka telah menjalani program yang tenaga pengajarnya terdiri daripada pensyarah di Universiti Industri Selangor (Unisel), Inspens Kolej, Institut Kemahiran Yayasan serta agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Agro Bank dan Tekun Nasional. - NOOR ALLIA KASSIM

Tiada ulasan: