Isnin, 16 Mac 2009

PANAS DILANCARKAN OLEH PRESIDEN MTUC SYED SHAHIR

SERENDAH – Pertubuhan Anak-anak Serendah (Panas) diharap dapat menghimpun dan melahirkan ahli yang intelektual dari kalangan masyarakat pelbagai lapisan dan peringkat. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, Panas yang terdiri daripada dalam kalangan Melayu dan Islam berupaya membentuk generasi yang bukan sahaja intelek malah mampu membawa perubahan ke arah pembangunan bangsa dan negara. “Kita mengharapkan dengan tertubuhnya satu lagi pertubuhan yang didukung oleh bangsa Melayu dan Islam, kita percaya akan lahirnya generasi yang cintakan budaya Melayu dan cara Islam. “Kita juga mengharapkan jawatankuasa Panas dapat mendidik anak-anak atau ahli yang cintakan keamanan dan sentiasa memelihara keindahan alam sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian dan Pelancaran Panas di Kompleks Sukan dan Komuniti Serendah di sini, semalam. Hadir sama, Orang Besar Daerah yang juga Penaung Panas, Datuk Aman Shah Mohd Shahar; Pengerusi Panas, Noor Mohamad Jan Mohamad serta barisan ahli jawatankuasa Panas dan Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran, Radziah Md Isa. Turut hadir, Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Hulu Selangor, Mohd Nashruddin Abd Aziz; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Serendah Hasnor Puteh, beberapa wakil Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan jawatankuasa Masjid Nurul Iman Serendah. Syed Shahir berkata, ahli dan jawatankuasa Panas wajar mengetahui dengan jelas peranan dan tanggungjawab pertubuhan itu. “Dengan matlamat menyatupadukan bangsa Melayu di Serendah ini melalui kepelbagaian aktiviti berunsur keagamaan, kebajikan dan riadah, ahli diharap mampu menggalas dan melaksanakan matlamat itu dengan sempurna. “Ahli juga diharap dapat memainkan peranan dalam menyumbang idea untuk memantapkan serta memajukan ekonomi orang Melayu,” katanya. Sementara itu, Noor Mohamad berkata, Panas ditubuhkan kerana melihat generasi atau anak-anak Serendah masih ketinggalan dari aspek pembangunan dan keintelektualan. Malah, wujudnya perbezaan fahaman politik dalam kalangan Melayu mengundang kepada timbulnya permasalahan baru. “Jadi, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Panas akan memainkan peranan menyatupadukan bangsa Melayu di kawasan ini dalam satu pertubuhan bebas. “Kita juga akan merangka pelbagai program bersesuaian untuk setiap ahli agar matlamat penubuhan Panas tercapai,” katanya. Menurutnya, walaupun Panas baru berusia tiga bulan, namun sudah mempunyai lebih 200 ahli berdaftar dan Panas menyasarkan akan menerima sehingga 500 ahli untuk tahun ini. Beliau berharap dengan moto Panas iaitu ‘Kebajikan untuk semua’, pertubuhan itu akan membantu anak-anak Serendah ke arah lebih membangun dan berjaya.

Tiada ulasan: