Rabu, 18 Mac 2009

PENDUDUK KG KANDANG LEMBU BERDEMO....17 MAC 2009 SELASA 10PG


SUNGAI CHOH – Pencerobohan tanah di kawasan penempatan penduduk Kampung Kandang Lembu, Bukit Teratai, dekat sini oleh pihak tidak bertanggungja-wab menimbulkan kemarahan kira-kira 30 orang penduduknya. Tindakan pihak terbabit disifatkan tidak bertanggungjawab kerana dengan sengaja bertindak menceroboh dan melakukan kerja menolak tanah tanpa sebarang notis serta rundingan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Koskan, GA Perumal, 51, berkata, penduduk di kawasan itu hanya menyedari perkara itu setelah melihat beberapa jentolak melakukan kerja sehingga memasuki kawasan penempatan mereka. “Tindakan pihak ini seolah-olah sengaja mengetepikan hak kami. Walaupun status tanah itu belum diketahui dengan jelas, tapi kami sebagai penduduk yang mendiami kawasan ini sejak 50 tahun lalu mempunyai hak ke atas kawasan ini. “Sebab itu, sejak dahulu lagi kami bangkitkan tuntutan bagi mendapatkan geran sebagai pemilik mutlak kawasan ini,” katanya. Namun kata beliau, disebabkan beberapa faktor, sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang keputusan yang memihak kepada mereka. Perumal berkata, dahulunya kawasan itu didiami ramai penduduk, namun disebabkan keadaan tertentu menyebabkan ramai daripada mereka berpindah ke kawasan lain. Menurutnya, kawasan itu amat terpencil dan sehingga kini masih tidak mempunyai kemudahan asas sempurna termasuk bekalan elektrik, air dan jalan perhubungan. Beliau berkata, kawasan penempatan penduduk hanya dihubungkan dengan sebatang jambatan gantung yang kian uzur dan hanya boleh dilalui pejalan kaki dan motosikal. Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui, S Mahaletchumy, 40, berkata, masalah mereka tidak pernah dipandang atau dibela sesiapa pun termasuk pemimpin kaum sendiri. Menurutnya, dia pernah lebih 10 kali mengajukan permasalahan mereka kepada bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan, namun sehingga tampuk kepimpinan berubah, masih tiada pembelaan diberikan. “Kawasan kami sering dilanda banjir dan banyak kerosakan yang kami alami sejak berpuluh tahun lamanya. Tetapi sampai sekarang tidak ada siapa yang datang membantu. “Kini, hak penempatan kami pula mahu dirampas tanpa sebarang pemberitahuan dan perbincangan, dengan sewenang-wenang ada pihak datang memusnahkan kediaman dan tanaman kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, S Vasaki, 62, berkata, beliau mula menetap di kawasan itu sejak berusia 11 tahun tetapi tindakan pencerobohan tidak berlaku. “Segala titik peluh saya sudah dimusnahkan. Kelapa yang saya tanam sejak kecil dimusnahkan begitu sahaja tanpa sebarang perbincangan atau pemberian pampasan. “Jadi, kami bangkit mempertahankan hak bagi menebus kembali penempatan yang sekian lama kami diami,” katanya.
@media pkrhsgr/sas

Tiada ulasan: