Jumaat, 27 Mac 2009

Selangor Sertai Kempen ‘Earth Hour’



SHAH ALAM, 25 Mac - Kempen sedunia ‘Earth Hour’ yang mahu pemanasan global dikurangkan mendapat sokongan kerajaan negeri, menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar hari ini.
Beliau yang turut memangku bersama portfolio Alam Sekitar berkata semua anak syarikat kerajaan negeri termasuk bangunan-bangunan kerajaan serta pusat membeli-belah akan turut menyertai kempen berkenaan.
“Marilah kita semua menutup lampu selama satu jam sebagai tanda sokongan, ini juga adalah merupakan tanda sokongan jutaan penduduk dunia untuk menyelamatkan bumi daripada pemanasan global untuk kesihatan generasi akan datang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco petang tadi.
Beliau berkata dalam masa sama kerajaan negeri akan melakukan satu perubahan yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan pemanasan global seperti penggunaan elektrik secara berhemah, berjalan kaki atau berbasikal bagi menggantikan kenderaan, menggalakkan penggunaan kenderaan awam selain memelihara serta memulihara alam sekitar.
Katanya, kerajaan negeri berharap rakyat Selangor akan mencipta sejarah sebagai rakyat paling ramai yang menyertai kempen memadamkan lampu selama sejam pada 28 Mac (Sabtu) ini bermula pukul 8.30 malam sehingga 9.30 malam. -

Tiada ulasan: