Isnin, 30 Mac 2009

SINAR HARIAN - 30 MAC 2009 ISNIN

BUKIT SENTOSA - Seramai 69 penama berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) menerima faedah kedua skim itu dalam satu majlis penyampaian di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, di sini. Penyerahan faedah berjumlah RM103,000 itu disempurnakan Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat DUN berkenaan, Mohd Nashruddin Abd Aziz bagi mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail. Nashruddin ketika ditemui berkata, menjadi tanggungjawab pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk menyerahkan faedah kedua itu kepada semua penama yang berdaftar di bawah skim berkenaan. “Ini adalah tanggungjawab kami dalam memastikan mereka yang berdaftar di bawah skim ini menerima jumlah keseluruhan bantuan yang disediakan. “Ia sekali gus membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan PR dalam melaksana serta menyempurnakan segala janji yang diberikan kepada rakyat pada pilihan raya lalu,” katanya. Penyerahan faedah kedua berjumlah RM1,500 itu adalah baki bantuan keseluruhan yang berjumlah RM2,500 seperti diperuntukkan di bawah SMUE.
Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Se1angor, Mohd Jusni; Ketua Pegawai Eksekutif Rantai Mesra Sdn Bhd pengelola SMUE, Mohd Syukor Tahir; wakil Penyelaras DUN Hulu Bernam, Mohd Yusof Yaakob dan wakil Penyelaras DUN Kuala Kubu Bharu, Nor Azizan Nordin. Nashruddin berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung keluarga waris yang meninggal dunia seterusnya membolehkan mereka meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Beliau berkata, bantuan itu juga dilihat pendekatan terbaik diambil kerajaan PR dalam usaha merealisasikan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), di mana seluruh masyarakat berpeluang menikmati hasil kekayaan negeri untuk manfaat bersama. Menurutnya, bantuan tersebut diserahkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik selagi memenuhi syarat yang ditetapkan. “Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi menyokong dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha membantu masyarakat yang berhak walaupun mendapat tentangan hebat daripada segelintir individu,” kata Nashruddin.
Sementara itu, Mohd Syukor dalam ucapannya menjelaskan mengenai pentingnya sebaran maklumat kepada ahli keluarga dan jiran bagi membolehkan mereka mendaftarkan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas atau ahli keluarga kurang upaya (OKU) untuk menyertai skim itu. “Manfaatnya adalah baik yang mana bertujuan bagi membantu meringankan bebanan ahli keluarga ketika menguruskan pengebumian, melunaskan hutang si mati atau digunakan untuk tujuan majlis kenduri doa selamat. “Selain itu, program yang diadakan di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat DUN di sini juga bertujuan untuk memperkenalkan pejabat ini kepada masyarakat bagi memudahkan mereka berurusan atau membuat pendaftaran,” katanya.

Tiada ulasan: