Selasa, 24 Mac 2009

e-tender dilancar untuk kemudahan kontraktor

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Kerja Raya melancarkan sistem pengurusan tender secara elektronik atau e-tender bertujuan memudahkan kontraktor membeli borang tender tanpa perlu beratur panjang.
Menterinya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, melalui e-tender, keseluruhan proses pemerolehan tender daripada pengiklanan hingga penilaian dilakukan secara automatik menggunakan dua kaedah iaitu secara dalam talian atau CD ROM.
Beliau berkata, pelaksanaan pengurusan tender secara elektronik mampu mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian maklumat serta memastikan proses pemerolehan tender dijalankan dengan lebih telus dan berintegriti.
"Kini terpulang kepada kontraktor untuk memilih menggunakan online yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di http://www.etender.com.my atau pun CD ROM.
"Dengan kaedah ini, para kontraktor tidak perlu lagi mendapatkan maklumat mengenai tender dan menghantar permohonan tender kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) seperti sebelum ini, hanya perlu melayari laman web yang disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil penglibatan kontraktor kelas F Wilayah Persekutuan dan pelancaran sistem pengurusan e-tender di sini hari ini.
Mohd. Zin menjelaskan, setakat ini tiga projek telah ditender menggunakan sistem tersebut secara dalam talian, manakala CD ROM pula lebih 500 projek.
Katanya, sistem e-tender itu dilaksanakan sejak 2001 iaitu menerusi fasa pertama dan kedua, namun reaksi yang diterima daripada pihak kontraktor tidak memuaskan.
Sehubungan itu, jelas beliau, kementerian sekali lagi memperbaharui sistem berkenaan dengan mewujudkan fasa ketiga dan keempat dalam usaha menghapuskan sistem permohonan melalui borang.
Menurut beliau, pada fasa ketiga ini, para kontraktor boleh terus melihat senarai kuantiti serta dibenarkan untuk terus memasukkan harga secara luar talian di JKR.
Bagi fasa keempat, katanya, ia membabitkan proses pembukaan dan penilaian tender, kedua-dua fasa ini berbeza dengan fasa pertama dan kedua iaitu hanya membuka proses pengiklanan dan penjualan serta pembelian.
"Diharap dengan pembaharuan sistem e-tender ini, ia akan lebih telus sekali gus membangunkan sistem pembinaan pemerolehan simpanan kebangsaan (CPR).
"Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kos penggunaan kertas dalam penyediaan dokumen tender untuk kontraktor dan mengurangkan harga dokumen tender yang dijual," katanya.
Sementara itu, Mohd. Zin memberitahu, sehingga Februari lalu, sebanyak 4,373 kontraktor kelas F daripada 17,000 yang aktif telah mendapat tawaran projek daripada kontraktor utama yang melibatkan nilai RM860 juta.
Beliau menjelaskan, semua kontraktor yang ditawarkan itu telah melalui proses pelaksanaan kementerian di bawah pekeliling dan arahan pentadbiran, iaitu setiap kontrak yang berharga RM10 juta, 10 peratus daripadanya perlu diagihkan kepada kontraktor kelas F.

Tiada ulasan: