Ahad, 29 November 2009

Program Ibadah Korban Perdana Taman Bunga Raya- Ahad 29 Nov 2009



Sebanyak 4 ekor lembu ditumbangkan bersempena Program Ibadah Korban Perdana, Taman Bunga Raya semalam. Majlis dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Dun Batang Kali dengan kerjasama Pejabat Khidmat Masyarakat Taman Bunga Raya dan penduduk sekitar Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
Walaupun julung kali-nya diadakan, acara berlangsung dengan meriah apabila hampir 1,000 penduduk membanjiri padang bola sepak di sebelah Apartmen Mawar dekat sini.
Penyelaras, Pusat Khidmat Rakyat Dun Batang Kali, Sdr Nashruddin Abd Aziz berkata beliau melihat program sebegini bukan sahaja mendidik umat Islam untuk berkorban, malah memberi ruang mengeratkan silaturahim antara masyarakat di sini.
"Saya merasakan amat wajar program ini diteruskan dari tahun ke tahun dan mungkin jumlahnya boleh di tingkatkan lagi bagi memberi penglibatan yang lebih ramai lagi.
“Nilai sepakat yang dilihat pada hari ini memberi mesej baik dalam perjuangan umat Islam di samping menghayati pengertian Hari Raya Korban itu sendiri,” katanya yang turut memuji semangat kerjasama yang ditunjukkan peserta pada hari ini (semalam).
Disebelah petangnya telah berlansung Majlis Penyampaian Sumbangan kepada lebih 120 orang fakir miskin dari sekitar Taman Bunga Raya selepas jamuan petang yang disediakan oleh pengelola program.
Hadir sama, Pengerusi Program, Sdr Abd Malek, Sdr Hamiruddin Parman (Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor), Ustaz Zulkifli Dawam (Pengerusi, Pejabat Khidmat Masyarakat TBR), Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Selangor, Tn Hj Abd Wahid Basri, Pn Mariani (Wanita Prihatin TBR), Shaiful Anuar Sulaiman (Pegawai Khas DUN) dan semua ahli jawatankuasa Pengelola Program (Abd Rahim. Apandi, Ust Fauzi, Wan Ismail, Zamani, Roni dll petugas).
Syabas diucapkan kepada semua tenaga kerja dan penyokong program yang menghasilkan satu kerjasama dan ukhwah yang berkesan dikalangan penduduk sekitar Taman Bunga Raya. Anda semua memang hebat!!





Ceramah sempena program Haj-AlQubra di Mesjid Bdr Utama Ligamas, Batang Kali 28 Nov 2009 (7.30mlm)


Jumaat, 20 November 2009

PENDUDUK DESA MELOR DINASIHATKAN BERPINDAH


Seramai 21 orang penduduk yang berhadapan dengan bahaya tanah runtuh akibat cerun yang runtuh pada 2 hari yang lepas telah bersetuju untuk berpindah selepas menerima nasihat dari pejabat daerah Hulu Selangor melalui surat yang dikeluarkan.
Sdr Nashruddin Abd Aziz selaku Penyelaras Dun Batang Kali bersama dengan Sdr Kamal, Pengerusi Penduduk Desa Melor bersama dengan Sdr Anaz dari syarikat pembinaan yang dilantik oleh JKR telah membuat lawatan dan berdailog dengan sebahagian dari mangsa tanah cerun yang runtuh tersebut.
Turut hadir adalah Sdr Cheah. ahli majlis dan pegawai-pegawai dari pejabat Dun Batang Kali.

Selasa, 17 November 2009

BERNIAGA MELALUI POLITIK !

(dari Biaqpilla.com)
Mengapa ramai orang berebut rebut masuk politik? Mengapa mereka berebut mencalonkan diri mahu jadi pemimpin? Sedangkan apabila sudah jadi pemimpin jadilah dia hamba. Ia itu hamba rakyat? Benarkah ada orang kata siapa ingin glamor dan kaya masok lah politik. Kerana sekarang medan politik sudah jadi macam MLM, tempat skim cari kekayaan.

Tempat skim jadi jutawan,bukan lagi gelanggang perjuangan tetapi sudah jadi gelanggang tempat cari makan.Apabila di conggak conggak jadi PM dapat gaji mahal? Jadi MB pun mahal gaji? Jadi MP pun mahal gaji? Jadi Adun pun mahal gaji? Jadi MP dan Adun Pembangkang pun dapat gaji mahal. Tambahan pula jadi Ketua Bahagian/Cabang, Ketua Pemuda/AMK ? apa yang ada? Itu belum kira lambakkan lain lain “side income”.Gaji? Mereka tidak heran sangat.Tetapi ini lah benda utama yang mereka idam idamkan. Side income” dari sumber “ghaib” !!???.

Politik yang kotor sudah jadi bertambah kotor bagaikan tempat pelacuran, kerana ianya sudah jadi medan politik wang. Modalnya Rakyat. Rakyat di jadikan alat dan tempat di perjudikan.Siapa yang berjaya dalam medan ini seolah olah mendapat ladang yang amat luas. Seolah olah mendapat sebuah kilang yang besar yang tidak putus putus mengeluarkan wang. Di situ dia boleh jadi jutawan tanpa buat kerja. Macam MLM income masok melalui downline. Downline dia siapa? pembodek dan pemberi rasuah!
Orang politik sekarang bukan sahaja bertarung dengan parti lawan.Mereka bertarung sesama sendiri.Bertarung sesama sendiri di dalam parti untuk menguasai parti, kerana di situ pun ada kekayaan tanpa perniagaan dan boleh jadi jutawan. Maka berlakulah tikam kawan sendiri, khianat mengkhianati, jatuh menjatuhkan. Dan di sesetengah negara lain ada bunuh membunuh.
Maka daripada medan politik kotor inilah lahir pemimpin pemimpin negara yang menjaga negara dan rakyat, agama dan bangsa.Maka lahirlah mereka ini sebagai penyangak penyangak negara, agama dan bangsa yang bertauliah! Lahirlah lanun lanun terhormat! Pencuri pencuri berlesen. Mengaut wang rakyat dan negara!
Setiap musim piliharaya rakyat memilih pemimpin mereka, dari parti pilihan mereka agar lahir pemimpin pemimpin pembela rakyat dan cinta agama dan negara, agar nasib mereka terbela. Jawapannya sama juga. Pemimpin baru dari parti yang baru tidak ada beza.
Begitulah nasib rakyat di negara demokrasi. Hanya mengharap dan mengharap.Harapan tidak kunjing tiba. Begitulah terjadi di setiap plihanraya nasib rakyat tetap tidak terbela. Yang senang hanya segelintir. Yang susah dan menderita itulah yang ramai.
Sedangkan pemimpin pemimpin terus jadi kaya melalui perniagaannya di medan politik. Duit dari sumber “ghaib” masuk dan terus masuk! Malang masih lagi yang tak mahu mengaku, duit terus masuk dlm akaun, konon rumah belum berbayar !! Masih yang memegang jawatan tetapi tidak layak, sekarang orang sudah bermaklumat, akaun bank bukan masalah untuk diketahui, berapa yang disimpan, berapa yang orang masukkan..

Isnin, 16 November 2009

TS KHALID - UMNO PUN SOKONG PENTADBIRAN PAKATAN RAKYAT




Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa Tan Sri Muhammad Muhd Taib - bekas menteri besar Umno - mengakui bahawa perubahan dan kepimpinannya yang membuat reformasi di Selangor, menyukarkan parti itu untuk menguasai semula negeri itu.
Khalid yang juga pengerusi PKR negeri mendakwa Mat Taib telah berjumpa dengannya beberapa hari sebelum konvenshyen ini berlangsung.
"Dua tiga hari yang lepas, Tan Sri Muhd Taib datang jumpa saya, dia kata 'Khalid kalau macam ini habis lah kita'.
"Kalau macam ini, bekas menteri besar itu kata, 'wah dalam masa 20 tahun kami memerintah, dalam masa 20 bulan kamu boleh tunjukkan keupayaan PKR. Ini satu penghormatan kepada kita," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menggulung konvensyen PKR Selangor di Dewan Jubli Perak Shah Alam petang ini.
Muhammad Muhd Taib menjadi menteri besar Selangor selama 11 tahun mulai 1986.
Dalam pertemuan itu, beliau mendakwa Muhd Taib(kanan) mahu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk membangunkan rakyat dan ekonomi rakyat luar bandar di negeri itu.
"Tapi kita kata nanti dulu. Saudara tahu tentang reformasi atau tidak. Kalau saudara tidak faham tentang reformasi, nanti saya susah. Kalau orang dalam tidak reti, tambah lagi orang luar," katanya sambil disambut gelak ketawa kira-kira 500 perwakilan.
Dalam ucapannya juga, Khalid juga turut menyentuh mengenai perletakkan ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menjadi 'mesra BN' akhir bulan lalu.
Katanya, tindakan Badrul Hisham itu tidak melemahkan parti itu untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Badrul bila lompat di Pelabuhan Klang, macam kita hilang satu parti. Ia tidak ada kena mengena. Dia hilang pun kita tak tahu. Kita pun tak kisah dia hilang.
"Hendak hilang, hilanglah tak jadi masalah. Itu kekuatan kita. Yang jadi masalah orang yang belah sana... Kalau (Datuk Seri Dr Mohd) Khir Toyo rasa Badrul adalah kawannya, tahap dia (pun) macam Badrullah," katanya mengundang gelak ketawa hadirin sekali lagi.
Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak turut menyentuh kejayaan Pakatan Rakyat mengurus dan mentadbir Selangor dalam usaha untuk merakyatkan ekonomi negeri itu.
Katanya, kejayaan membawa perubahan dalam negeri Selangor telah mendapat pujian rakan dan lawan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat boleh mentadbir negeri ini, hasil usaha bekerja dalam satu pasukan.
"Sokongan menggembirakan daripada rakyat, dan mereka merasakan kita sebahagian daripada mereka.
"Sokongan daripada DAP dan PAS, walaupun ada soal-soal yang cuba melagakan kita, cuba menimbulkan keadaan yang tak tenteram, tetapi kita dapat bekerja dalam satu pasukan," katanya.
Khalid berkata, kejayaan PKR dalam melakukan reformasi di negeri itu akan lebih nyata sekiranya dapat bekerja dalam satu pasukan.

MalaysiaKini/-

Ahad, 15 November 2009

DS ANWAR - PKR AKAN TEMPUR HABISAN TENTANG BN DI SELANGOR



Hari ini berlangsung sudah Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor selepas konvensyen lain di Pulau Pinang dan Perak. Ucaptama DS Anwar pada sebelah pagi diantara lain, DS Anwar berjanji akan menentang habis-habisan BN dan telah memberikan semangat kepada lebih 1500 peserta konvensyen dari 22 cabang-cabang di negeri Selangor. Petangnya DS Anwar berucap di Kota Bharu, dimana beliau mengingatkan tentang pentingnya penyelesaian di dalam parti dan mengatasi kemelut melalui saluran parti di peringkat negeri atau pusat.

Sabtu, 14 November 2009

BERGAMBAR SEBELUM KE KEM SPIES 2 DIKLANG - 14-15 NOV 2009 .



Jangan lupa untuk turut serta ke 
Kem Spies 3 di Ulu Yam 
pada 21-22 Nov 2009 
Terbuka kepada semua pelajar-pelajar tingkatan 1 hingga 4 (Maaf ting 5 sedang berpesta dgn SPM).
Penyertaan dibuka atas siapa daftar dia dapat dulu !!
Bas disediakan dari Tapak Pasar Mlm 
Bkt Sentosa 
bertolak jam 8 pg Sabtu 21 Nov 2009 !
Hubungi 019 329 1967 utk pendaftaran
(sms nama. k/p, tel, alamat)

AGIHAN BANTUAN KERAJAAN TIDAK MENGIRA KAUM, AGAMA DAN BANGSA ..



Shah Alam , 13 November 2009 - Kerajaan negeri dibawah Program Kerajaan Prihatin tidak pernah membezakan dan mengambil kira faktor bangsa, agama dan kaum dalam menyalurkan sebarang bentuk bantuan.
Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata isu perbezaan kaum tidak timbul kerana bantuan yang diberikan samarata.
Terutamanya dalam menangani permasalahan penempatan dikalangan mereka yang tidak berkemampuan dalam memiliki kediaman yang selesa untuk didiami.
“Agihan bantuan yang telah diberikan dan diluluskan sepanjang perlaksanaan program adalah berdasarkan kepada jumlah permohonan yang diterima oleh Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).Setiap permohonan yang diluluskan juga perlulah mematuhi peraturan Kerajaan Prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan kaum,”jelasnya. Dr Xavier berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib pada hari kelima Sidang Dewan Negeri, hari ini.
Menurut Dr Xavier lagi, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) merupakan anak syarikat kerajaan negeri yang memainkan peranan dan bertanggungjawab menjana serta membiayai kos pembinaan semula dan baik pulih rumah dalam Program Kerajaan Prihatin.
Antara anak syarikat kerajaan negeri lain yang bertanggungjawab dalam menunaikan tanggungjawab sosial ini adalah PNSB, PKNS, Lembaga Zakat Selangor(LZS), Worldwide Holdings Berhad dan KDEB.
Perlaksanaan program ini juga menjurus kepada usaha membantu golongan termiskin di Selangor melalui bantuan bina baru dan baik pulih rumah-rumah berdasarkan syarat yang telah ditetapkan.

Jumaat, 13 November 2009

Kerajaan Selangor Turun Sewa PPR Bantu Rakyat Miskin


Kerajaan Negeri Selangor berjaya mengatasi masalah kadar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ditinggalkan Barisan Nasional sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor.


Kadar sewa rumah PPR sebelum ini 124 ringgit sebulan berbanding 250 ringgit selepas Barisan Nasional menaikkan kadar bayaran tersebut akibat kenaikan kos penyelenggaraan sedikit banyak membebankan rakyat miskin di Selangor.
Oleh  itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Ir Iskandar Abdul Samad menjawab pertanyaan ADUN Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor tentang tindakan kerajaan negeri mengatasi kenaikan kos tersebut.
“Pengurangan telah diberikan kepada penyewa yang berpendapatan seisi rumah RM1,500.00 ke bawah tanpa mengira bilangan isi rumah penyewa tersebut. Manakala penyewa lain yang mempunyai pendapatan bulanan seisi rumah melebihi RM1,500.00 sebulan akan dipertimbangkan pengurangan sewa berdasarkan bilangan anak”, katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pembentangan Sidang Dewan Negeri di Shah Alam, hari ini.
Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor dibiayai dan dimiliki Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) manakala pengurusan pengisian unit rumah dan penyelenggaraan pula diserahkan kepada kerajaan negeri.
Tambahnya, hasil kutipan sewa PPR itu nanti digunakan sepenuhnya untuk tujuan penyelenggaraan selain kos-kos sampingan setiap tahun seperti premium insurans kebakaran, pembaikan lif dan kerosakan akibat vendalisme.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga berhadapan masalah kedegilan penghuni PPR untuk menjelaskan sewa rumah bulanan yang tertunggak menyebabkan kos penyelenggaraan terpaksa dipikul pihak berkuasa tempatan Selangor.
Sehubungan itu, Iskandar memperkenalkan mekanisme baru untuk menyelesaikan tunggakan sewa dengan mewujudkan program Komuniti Khidmat Masyarakat di setiap PPR Selangor.
“Penyewa-penyewa yang mempunyai tunggakan sewa yang tinggi akan diwajibkan menyertai program komuniti ini untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bangunan dan kawasan PPR”, katanya.

Rabu, 11 November 2009

Exco Ean Yong - RM64.5 Juta Dikutip Hasil Bayaran Premium Dan Permit Sementara

Sehingga 30 September 2009 sebanyak RM 64.5 juta berjaya dikutip melalui bayaran premium dan permit sementara tanah di sembilan daerah dalam negeri Selangor. Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata,jumlah tersebut diperolehi melalui  Program Pemutihan Kilang Haram. “Pencapaian program pemutihan kilang tanpa kebenaran , sehinggan 30 September 2009 sejumlah 843 atau 35.6 peratus daripada 2,370 kilang tanpa kebenaran yang disenaraikan telah memohon untuk tukar syarat tanah,” katanya. Beliau berkata demikian semasa perbahasan Sidang Dewan Negeri Selagor.
Menurutnya perlaksanaan tindakn penguatkuasaan yang bersesuaian mengikut Kanun Tanah Negara 1965 boleh di kenakan kepada pemilik tanah atau pengusaha kilang yang tidak mengendahkan program pemutihan ini. Katanya kebanyakan kilang-kilang haram di Selangor dibina di atas tanah persendirian dan pemilik kilang telah menyalahguna tanah berkenaan. Selain itu, kilang-kilang haran juga wujud di kawasan secara berkelompok.
Menurut Ean, tindakan yang sama akan dikenakan kepada pelabur-pelabur asing  yang membina kilang haram di negeri Selangor kerana kerajaan negeri tidak mengamalkan dasar pilih bulu. “Tidak kira pelabur luar atau dalam negeri tetap tidak dibenarkan membina kilang-kilang yang terletak di tanah rezab sungai,TNB dan sebagainya,tindakan akan dikenakan kepada mereka,” katanya.

MESYUARAT JWK INDUK PROGRAM HAJ AL-QUBRO



Mesyuarat jawatankuasa induk bagi Program Haj Al-Qubro diadakan semalam, program tersebut akan diadakan pada 28 Nov 2009 (Sabtu) jam 5 petang. Perjumpaan ini telah dihadiri oleh ketua-ketua kampong, nazir mesjid dan pegawai pusat khidmat rakyat dun batang kali. Program korban kali ini akan diadakan di dua tempat di kawasan Dun Batang Kali, yakni di padang Dahlia, Taman Bunga Raya (29 Nov - Ahad) dan di Mesjid Bdt Utama, Ligamas (28 Nov- Sabtu), semua melibatkan JKKK, wakil penduduk dan wakil surau-surau di sekitarnya.
Diharapkan, semoga program kali ini dapat berjalan lancar dan diberkati Allah swt hendaknya.

Isnin, 9 November 2009

PROGRAM SPIES KEDUA PADA 14-15 NOV 2009 DI KEM BUMiSETIA KLANG.


Untuk semua pelajar tingkatan 1 -4
Sila hubungi 019 3291967 
untuk sebarang maklumat lanjut.. 
Bas ada disediakan dari Bukit Sentosa/Bukit Beruntung hingga ke Klang pada 14 Nov (Sabtu) jam 8 pg..
Pendaftaran 50 org peserta awal akan diterima !

Ahad, 8 November 2009

SYABAS BERSETUJU DGN CADANGAN SISTEM MIGRASI

Satu persetujuan telah dicapai bersama Syabas berkenaan hutang-hutang penduduk rumah bertingkat seperti pangsapuri dan kondominium.
Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor telah mewajibkan migrasi dari meter pukal kepada meter individu. Tetapi hutang yang tertunggak pada akaun meter pukal merumitkan proses migrasi.

Walau bagaimanapun setelah perbincangan diadakan bersama Syabas, hutang tertunggak pada akaun meter pukal ini akan dipindahkan kepada akaun individu penduduk.

Contohnya jika sebuah blok pangsapuri berhutang RM50,000 pada akaun meter pukal maka migrasi tidak dapat dilakukan sehingga hutang ini dibayar. Tetapi dengan polisi baru ini, migrasi masih boleh dilakukan dengan memindahkan hutang ini kepada setiap unit di dalam blok tersebut. Walau bagaimanapun, pemaju, JMB atau MC mesti mempunyai rekod hutang-hutang bagi setiap unit. Mungkin ada unit yang berhutang RM100, mungkin ada yang RM1,000 dan mungkin ada yang tidak berhutang langsung.

Setelah hutang-hutang itu dipindahkan kepada penduduk maka proses migrasi boleh dilakukan. Dengan meter individu, penduduk boleh menikmati air percuma untuk 20 meter padu pertama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Bagaimana pula dengan penduduk yang enggan membuka akaun individu dengan Syabas?
Perkara ini selalunya menimbulkan masalah kerana Syabas memerlukan persetujuan 100 peratus (consent) sebelum migrasi dapat dilakukan. Ini selalu berlaku bagi unit yang disewakan atau mereka yang enggan membayar hutang kepada Syabas.
Penyelesaiannya adalah dengan membenarkan JMB atau MC membuka akaun bagi pihak unit-unit yang enggan itu. Dengan itu, setiap unit mempunyai akaun meter individu sama ada di atas nama pemilik atau JMB atau MC.
Apa akan jadi jika penghuni unit-unit di bawah JMB atau MC enggan membayar bil air mereka kepada JMB atau MC?
Adakah JMB atau MC akan membayar kepada Syabas untuk mereka?
Mungkin tidak. Maka ini bermakna bekalan air ke unit mereka akan dipotong oleh Syabas.
Kalau sebelum migrasi jika ada penduduk yang tidak membayar bil mereka, bekalan air kepada seluruh blok akan dipotong. Tetapi dengan migrasi, hanya mereka yang enggan membayar akan dipotong bekalan air.
Penyelesaian yang diusahakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor ini lebih adil dan berupaya menyelsaikan masalah yang telah membelengu penduduk sejak bertahun-tahun.


Yb Iskandar Samad

NEGERI SEMBILAN MUNCUL JUARA PIALA MALAYSIA SELEPAS 61 TAHUN..



SELEPAS 61 tahun menanti, Negeri Sembilan akhirnya berjaya muncul juara Piala Malaysia 2009 dengan menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir, malam tadi.
Selepas tiga kali mencuba, baru tahun ini Negeri Sembilan yang dibimbing oleh Wan Jamak Wan Hassan dapat menebus kegagalan tewas kepada Perak dan Perlis pada tahun 2000 dan 2006 lalu.

DR ASRI KE MAHKAMAH ...

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan tetap mengheret bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ke mahkamah kerana memberi ceramah tanpa tauliah. 
Pengarahnya, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, pendakwaan ke atas bekas Mufti Perlis itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat. 
“Kita akan hadapkan beliau (Dr Mohd Asri) ke mahkamah secepat mungkin atas kesalahan memberi ceramah tanpa tauliah. 
“Malah, kita telah memberi arahan kepada pendakwa raya supaya menyelesaikan perkara dan kemungkinan proses pendakwaannya akan dilakukan pada bulan ini juga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 
Menurutnya, kes itu dirujuk mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003. 
Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. 
“Kita tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tindakan yang sama juga akan diambil sekiranya didapati individu terbabit menyampaikan kuliah, ceramah atau khutbah tanpa tauliah. 
“Kita harap perkara (pendakwaan) ini akan beri pengajaran kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat demikian (mengajar, memberi ceramah atau khutbah) di negeri ini,” katanya. 
Ditanya mengenai pertemuannya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis lalu, Mohamed Khusrin berkata, Tuanku Sultan bertitah supaya Jais mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyampaikan kuliah, ceramah atau khutbah tanpa tauliah. 
Kelmarin, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan pertemuan Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi. 
Menurut beliau, pertemuan yang diadakan pada jam 5 petang itu membincangkan beberapa perkara berkaitan agama termasuklah isu ceramah tanpa tauliah.

Sabtu, 7 November 2009

SOLAT HAJAT PERDANA UTK PELAJAR SPM 2009 -MESJID NEGERI SHAH ALAM JUMAAT 6 NOV 2009





Ustaz Harun Din Al Hafiz bersama lebih 2000 pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM tahun ini, bersolat hajat beramai-ramai.. Selepas solat hajat, Dr Tengku Asmadi telah menyuntik semangat pelajar-pelajar dan memberikan tips persediaan peperiksaan yang tinggal kurang dari 2 minggu..

Selasa, 3 November 2009

PKR HULU SELANGOR PRIHATIN KEPADA ANAK YATIM PIATU



BUKIT SENTOSA – Kesedihan dilalui empat beradik yatim piatu di Taman Bakawali di sini mendapat perhatian pemimpin masyarakat tempatan.
Anak yatim berkenaan yang baru kehilangan ayah seminggu lalu akibat sakit jantung mendapat sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas daripada Pusat Khidmat Masyarakat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dewan Pemuda Pas Hulu Selangor, Persatuan Penduduk dan jawatankuasa Masjid As-Salam.
Pengerusi Pusat Khidmat yang juga Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Mohd Nashruddin Abd Aziz berkata, bantuan dihulurkan sebagai tanggungjawab dan bukti keprihatinan PKR dalam membela nasib golongan kurang berkemampuan.
“Kami memahami kesedihan dialami empat beradik ini kerana setelah setahun kehilangan ibu, ayah mereka pula kembali ke rahmatullah.
“Diharap dengan sumbangan tidak seberapa ini bersama perhatian yang diberikan akan memberi sedikit keceriaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan itu di rumah anak yatim berkenaan.
Nashruddin berkata, Pusat Khidmat Masyarakat menyumbangkan wang tunai RM1,000 berserta barangan asas.
Sementara, Dewan Pemuda Pas bersama jawatankuasa Masjid As-Salam menyumbangkan RM400 dan RM100 daripada persatuan penduduk.
Nashruddin berkata, keprihatinan semua pihak dalam membantu anak yatim berkenaan bukti kesungguhan dalam membela nasib golongan kurang berkemampuan.
Menurutnya, semua pihak wajar mencontohinya dan mengambil langkah sama dalam membantu mereka.
Sementara itu, kakak kepada empat beradik itu, Mareta Zainal Abidin, 19, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terharu dengan perhatian serta sumbangan diberikan.
Dia yang masih menuntut dalam jurusan perakaunan di Kolej Asa, Rawang akan tetap meneruskan pengajiannya dan berusaha membela nasib adik-adiknya.
“Saya amat terharu dengan perhatian yang diberikan dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu.
“Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa anda semua,” katanya yang tidak dapat menahan sedih.
Menurut Mareta, arwah ayahnya adalah seorang bekas anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berpangkat Sarjan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Menurutnya, ayahnya mengidap penyakit jantung dan meninggal dunia setelah diserang ketika selesai mandi.
“Kini kami hanya bergantung kepada bapa saudara yang tinggal di Pulau Pinang. Bermula minggu hadapan, bapa saudara saya akan mengambil adik-adik untuk dibawa tinggal bersama di sana.
“Saya terpaksa menghabiskan pengajian yang berbaki tujuh bulan lagi dan menetap sementara di rumah ibu angkat di sini,” katanya.

YB SABAK BERNAM DIHADAPKAN KE MAHKAMAH HARI INI..

Mereka adalah antara lima orang yang diseret ke muka pengadilan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melancarkan pendakwaan besar-besaran terhadap ahli politik dan pembantu mereka di Selangor berhubung kesalahan rasuah.
Menurut kenyataan SPRM Ahli Parlimen dan pembantunya itu ditangkap atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran palsi semasa menjadi ADUN Selangor.

Isnin, 2 November 2009

TS Khalid mahukan Jais berikan penjelasan munasabah berkenaan Dr Asri.. siapa yg punyai kuasa berkenaan islam di Selangor !


Shah Alam , 2 November 2009 - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS memberi penjelasan munasabah mengenai isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat hari ini, Tan Sri Khalid berkata, langkah ini perlu kerana pelbagai persoalan dan pertikaian timbul berhubung cara penahanan itu dibuat.
Katanya, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa JAIS memiliki kuasa yang bebas dari kekangan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor, masih menyiasat kes Dr Asri yang dikatakan mengajar agama tanpa tauliah.
Khalid menggesa Jais supaya memberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat Selangor yang terkesan dengan penangkapan Dr Asri.
Pasukan penguatkuasa JAIS dengan bantuan polis malam tadi menahan Dr Asri di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.
Dr Asri yang dituduh mengajar agama tanpa tauliah ketika itu sedang memberi ceramah kepada lebih 300 hadirin.
Penahanan ini menarik perhatian umum kerana Dr Asri adalah bekas Mufti Perlis.
Sementara itu, dalam satu sidang akhbar petang tadi Pengarah Jais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan terhadap Dr Asri akan disegerakan.
Dr Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan.
“Kita telah pun menerima banyak aduan tentang kegiatan Dr Asri ini sejak beberapa tahun yang lalu dan kita memang telah beberapa kali cuba mengambil tindakan dan kali ini kami berjaya dan beliau akan didakwa selepas kertas siasatan itu siap,’katanya.
Bekas Mufti Perlis itu akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.
Khusrin Munawi menafikan pendakwaan ini bermotifkan politik. Pihaknya bertindak mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.
Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.
“Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat ceramah di negeri Selangor ini dinasihatkan agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan diminta menghormati undang-undang dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dimana semua pihak tidak terkecuali ,dimana sahaja didalam negeri Selangor ini perlu mendapatkan tauliah dari Jabatan Agama Islam,”jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Jais, petang tadi.
Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabbi,Datuk Khusrin berkata ia tidak sesuai untuk dijelaskan sekarang, memandangkan siasatan masih dijalankan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian hari ini yang mendakwa Jais menyiasat bekas mufti Perlis ini kerana menyebarkan ajaran Wahabbi.

Dr Asri mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya tampil dan mengemukakan bukti.(ShakiraBuang-TvSela
ngor)