SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan tetap mengheret bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ke mahkamah kerana memberi ceramah tanpa tauliah.
Pengarahnya, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, pendakwaan ke atas bekas Mufti Perlis itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Kita akan hadapkan beliau (Dr Mohd Asri) ke mahkamah secepat mungkin atas kesalahan memberi ceramah tanpa tauliah.
“Malah, kita telah memberi arahan kepada pendakwa raya supaya menyelesaikan perkara dan kemungkinan proses pendakwaannya akan dilakukan pada bulan ini juga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kes itu dirujuk mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.
Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
“Kita tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tindakan yang sama juga akan diambil sekiranya didapati individu terbabit menyampaikan kuliah, ceramah atau khutbah tanpa tauliah.
“Kita harap perkara (pendakwaan) ini akan beri pengajaran kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat demikian (mengajar, memberi ceramah atau khutbah) di negeri ini,” katanya.
Ditanya mengenai pertemuannya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis lalu, Mohamed Khusrin berkata, Tuanku Sultan bertitah supaya Jais mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyampaikan kuliah, ceramah atau khutbah tanpa tauliah.
Kelmarin, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan pertemuan Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.
Menurut beliau, pertemuan yang diadakan pada jam 5 petang itu membincangkan beberapa perkara berkaitan agama termasuklah isu ceramah tanpa tauliah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan