Sabtu, 4 Julai 2009

JKKK DAERAH HULU SELANGOR DAPAT KOMPUTER

KUALA KUBU BHARU – Usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kredibiliti dan keberkesanan penyampaian serta penyebaran maklumat kepada masyarakat kini diperluas menerusi pemanfaatan sepenuhnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Untuk itu, semua JKKK diperlengkap dengan kemudahan komputer dan bekalan teknologi siber untuk sebarang urusan pentadbiran dan lain-lain. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, usaha itu kini diperluas ke daerah Gombak dan Hulu Selangor di mana seramai 446 ketua kampung keseluruhannya diberikan set komputer masing-masing. “Ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan segala mesej dan maklumat dapat disalurkan terus kepada rakyat. “Selain itu, kaedah ini juga mampu melicinkan lagi proses urus tadbir sesebuah jawatankuasa di setiap kampung,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Sijil dan Komputer kepada JKKK di sini. Sebanyak 96 set komputer diserahkan kepada kesemua JKKK di dua daerah terbabit yang kesemuanya menelan belanja hampir RM1.82 juta. Hadir sama di majlis itu, Pegawai Daerah Gombak, Huzaini Samsi dan Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan. Rodziah berkata, usaha itu juga mampu mendidik setiap ketua kampung untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat dan kaedah menyampai dan menyebar maklumat lebih tertumpu kepada sistem dalam talian. “Kita juga percaya, melaluinya wujud budaya disiplin dalam kerja dan tanggungjawab yang di�laksa�nakan selain memu�dahkan setiap ketua kam�pung memperoleh ma�k�l�u�mat mengenai kera�jaan negeri dengan segera, tepat dan benar,” katanya. Menurutnya, sehingga kini lima daerah telah menerima peruntukan itu termasuk Klang, Petaling Jaya dan Hulu Langat dan usaha itu akan diperluas ke semua JKKK dalam Selangor. Beliau juga mencadangkan supaya setiap JKKK mewujudkan laman web rasmi bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan. Langkah itu juga berkesan dalam memudahkan pihak lain mengekses seterusnya dapat mengetahui perkembangan sesebuah kampung selain mengetahui lokasi menarik di kampung terbabit untuk tujuan pelancongan dan sebagainya. Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Hulu Rening, Mohd Yusof Sarman, 60, memuji usaha Kerajaan Negeri sambil menyifatkan langkah itu bakal membawa negara ke era lebih maju. Menurutnya, langkah itu amat berkesan dalam mendekatkan pemimpin dengan rakyat sekali gus memudahkan rakyat berurusan terus dengan pihak berkenaan.

Tiada ulasan: