Isnin, 6 Julai 2009

PARAH KERETA TERJUNAM MASUK TEBING LOMBONG

KUALA KUBU BHARU – Seorang parah manakala dua lagi cedera apabila kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa terjunam ke tebing berhampiran lombong dekat sini setelah terlanggar pokok pagi, semalam.
Kejadian yang berlaku lebih kurang jam 8.30 pagi itu berpunca daripada kegagalan kenderaan yang dipandu mangsa di selekoh berdekatan Taman Bukit Bujang di sini berikutan jalan yang licin.
Akibatnya, kenderaan mangsa merempuh pokok di tepi jalan sebelum terjunam ke tebing berhampiran lombong di situ.
Seorang mangsa yang hanya mengalami cedera ringan, Ahmad Razali Ismail, 26, berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan daripada Batang Berjuntai ke tempat kerja di Ampang Pechah.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu Nasir, 23, gagal dikawal akibat jalan yang licin lalu merempuh pokok sebelum terhumban ke tepi lombong.
“Seperti biasa kami melalui jalan itu untuk ke tempat kerja tetapi sebab jalan licin Nasir tak dapat kawal kenderaan lalu melanggar pokok pinang di tepi jalan,” katanya yang bekerja di kolam ikan di Ampang Pecah.
Akibat rempuhan kuat itu, kenderaan mangsa remuk dan pemandu bersama seorang lagi penumpang yang duduk di sebelah kanan tersepit.
“Nasir dan Farid tersepit di tempat duduk dan hanya dapat dikeluarkan setelah bomba tiba beberapa minit kemudian,” katanya.
Menurutnya, bomba terpaksa menggunakan alat pemotong bagi mengeluarkan mangsa yang terapit dan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk dikeluarkan.
Mangsa bagaimanapun dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk pemeriksaan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.
Sinar Harian dimaklumkan, Nasir mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian badan termasuk patah tulang pinggul dan kaki.
Sementara itu, Farid, 24, cedera di beberapa bahagian badan dan menerima beberapa jahitan di muka.

Tiada ulasan: