Ahad, 10 Mei 2009

Orang Ramai Dijemput Hadir HBPB

SHAH ALAM, 7 Mei - Kerajaan Selangor akan menganjurkan Program Hari Bertemu Pelanggan Bersepadu (HBPB) peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri selama dua hari bermula 9 dan 10 Mei ini di Selayang Mall, Selayang.
Program pertama yang diadakan bagi tahun 2009 merupakan salah satu usaha kerajaan negeri mendampingi rakyat untuk mendapatkan maklum balas serta aduan daripada orang awam selain memberi khidmat nasihat dan informasi terkini kepada rakyat tentang perkara yang berkaitan jabatan atau agensi terlibat.
Seluruh warga Selangor, penduduk setempat dan kawasan sekitar dijemput hadir ke program ini yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 8 malam.
Sementara pada 10 Mei pula kaunter-kaunter akan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Sebanyak 20 booth ruang kaunter dan pameran akan disediakan yang melibatkan 22 jabatan serta agensi kerajaan Selangor antaranya Ibupejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Pejabat Pilihan Raya Selangor, Jabatan Pertanian Negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Selain itu, soalan kuiz serta pameran juga disediakan oleh beberapa jabatan dan agensi bagi menceriakan pengunjung yang hadir dalam program ini.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat serta pendftaran bagi program-program di bawah Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Anak Pekerja Ladang, Pusat Khidmat Krisis Sehenti, serta pendaftaran program Ibu Tunggal Selangor.

Tiada ulasan: