Rabu, 13 Mei 2009

Denda RM20,000 Pemaju Gagal Tubuh JMB

SHAH ALAM, 13 Mei - Kerajaan negeri memberi tempoh sehingga Ogos ini kepada pemaju yang menjalankan projek pembangunan bertingkat untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Join Management Body (JMB).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Pembangunan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata sehingga kini kira-kira 1,000 pemaju di Selangor masih gagal menubuhkan badan pengurusan bersama itu sejak ia diperkenalkan pada 12 April tahun lalu.
Katanya, kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan pada Februari lalu kepada pemaju terbabit dan setakat ini hanya 26 peratus pemaju sahaja yang berbuat demikian.
“Jika mereka (pemaju) masih gagal, mereka mungkin menghadapi tindakan denda sehingga RM20,000 atau RM500 sehari sehingga badan itu ditubuhkan,” katanya kebanyakan pemaju berkenaan melaksanakan projek mereka di Shah Alam, Petaling Jaya serta Subang Jaya.
Iskandar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia di Hotel Grand Blue Wave di sini pagi tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Nor.
Seminar Penguatkuasaan PBT Malaysia yang bermula hari ini disertai peserta dari seluruh negeri yang terdiri daripada pengamal undang-undang, pegawai perancang bandar, arkitek, jurutera serta pegawai penguatkuasa.
Sebanyak 8 kertas kerja bakal dibentangkan sepanjang dua hari seminar berlangsung.
Sementara itu, Mazalan dalam ucapannya pagi tadi berkata seminar itu juga bagi memberi pendedahan dan pemahaman kepada para peserta dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan mengikut lunas-lunas perundangan bagi memelihara kewibawaan PBT sebagai institusi yang mampu menjalankan tugas pengawalan perancangan yang lebih mampan.
“Ia juga menjadi asas rujukan dalam menjalankan penyiasatan, pengkuatkuasaan dan pendakwaan yang efisyen melalui kawalan perancangan yang seragam dan bersepadu,” katanya. - MURIZA ABDUL HAMID

Tiada ulasan: