Khamis, 14 Mei 2009

DAILOG PENDUDUK BERSAMA PEGAWAI DAERAH NOR HISHAM DAHLAN


SERENDAH – Hasrat penduduk Kampung Tok Pinang di sini untuk melihat perkampungan mereka diletakan dalam kelompok Kampung Tradisi, akan tercapai sebaik di senarai dalam program pembangunan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Hasnor Puteh berkata, kemungkinan itu dikuatkan lagi setelah dialog bersama pegawai daerah seakan mendapat lampu hijau.

Sesi dialog bersama Pegawai Daerah, Nor Hosham Dahlan mungkin merealisasikan hasrat itu memandangkan beliau juga setuju dengan usul yang kami kemukakan. “Beberapa fokus utama pembangunan yang kami senaraikan dilihat mampu diterima dan dimasukkan dalam cadangan membentuk Kampung Tradisi,” katanya pada Majlis Dialog Pegawai Daerah bersama JKKK yang turut dihadiri penduduk kampung. Hasnor berkata, antara fokus utama pembangunan itu termasuklah ekonomi, keselamatan, agama, kebajikan dan penambahbaikan sistem infrastruktur. “Kita akan memberi fokus utama kepada pembangunan infrastruktur terlebih dahulu memandangkan kawasan penempatan kami mundur dari aspek itu. “Selain dikenali sebagai Kampung Tok Pinang, kampung ini juga disebut sebagai kampung bawah jambatan. “Maka menjadi hasrat kami mengubah tanggapan itu kepada yang lebih positif atau sekurang-kurangnya dapat di senarai sebagai Kampung Tradisi,” katanya. Menurut Hasnor lagi, Kampung Tok Pinang adalah antara kampung termundur di daerah itu dan memerlukan perhatian serius kerajaan untuk dibangunkan. Dengan kepadatan penduduk seramai 178 orang dan antara masyarakat yang diklasifikasikan sebagai miskin bandar, Kampung Tok Pinang sememangnya perlu dibangunkan dan diberi perhatian sewajarnya.

Pada dialog yang berlangsung selama lebih kurang tiga jam itu, Hasnor turut membangkitkan masalah jalan yang uzur selain ketiadaan laluan khas ke kampung terbabit. Selain itu, beliau menggesa Pejabat Tanah supaya mengenal pasti status beberapa tanah lapang yang terbiar untuk dibangunkan selain masalah sistem perparitan. Sementara itu, Nor Hisham berkata, fokus pembangunan yang dinyatakan penduduk akan dinilai sebaiknya sebelum sebarang cadangan dibuat. Menurutnya, kerjasama daripada JKKK kampung sekitar kawasan ini juga wajar memberi kerjasama dalam memastikan hasrat pembangunan bukan saja di kampung terbabit malah kesemua 12 perkampungan tradisi di daerah ini.

Tiada ulasan: