Rabu, 13 Mei 2009

YB ISA ADUN BATANG KALI DIANTARA DIDAKWA MELANGGAR HAK KEBEBASAN DUN..

SHAH ALAM – Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Selangor memanggil lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk menghadiri pembelaan kerana didakwa melanggar hak kebebasan dewan berkenaan. Speaker Dewan, Teng Chang Khim berkata, keputusan mengenai sesi pendengaran diadakan semalam hanya dapat diberikan selepas mesyuarat kedua berhubung pertuduhan berkenaan dilakukan pada 19 Mei depan. “Kami akan mengadakan mesyuarat sekali lagi untuk menyempurnakan siasatan dan membuat rumusan jawatankuasa terhadap pertuduhan yang dibuat ke atas kelima-lima ADUN berkenaan pada minggu depan,” katanya selepas mempengerusikan pendengaran pertuduhan berkenaan di sini, semalam. Kelima-lima yang dipanggil ialah ADUN Sungai Panjang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; ADUN Sabak, Datuk Warno Dogol; ADUN Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar; ADUN Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim dan ADUN Dengkil, Datuk Marsum Paing. Chang Khim berkata, kesalahan yang dilakukan adalah salah seorang daripadanya gagal menghadirkan diri sebagai saksi di pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan dituduh kerana membuat kenyataan yang menyentuh integriti Dewan. “Empat lagi ADUN yang dipanggil dituduh kerana membuat kenyataan menyerang Selcat dan dengan itu menyentuh hak dan kebebasan Dewan. Jika bersalah mereka boleh diperintahkan memohon maaf, atau diberi teguran secara terbuka, atau boleh diberi amaran atau boleh digantung kerja atau boleh digantung gaji,” katanya. Menurutnya, tiada hukuman penjara akan dikenakan terhadap kelima-lima ADUN berkenaan kerana kesalahan mereka dirujuk di bawah Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor. “Saya terkejut dengan kenyataan Dr Khir bahawa peruntukan untuk penjara tiga tahun lebih kejam daripada hukuman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), saya rasa UMNO perlu menghantar beliau ke sekolah politik semula. “Kami tidak mengenakan Enakmen Penghinaan Dewan 2008 kerana beliau masih lagi ahli Dewan sebaliknya dirujuk kepada Jawatankuasa Khas di bawah Seksyen 70 Peraturan-peraturan Tetap,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Khir bahawa Enakmen Penghinaan Dewan 2008 yang membawa hukuman penjara tiga tahun dan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 lebih kejam daripada ISA.

Tiada ulasan: