SHAH ALAM – Peranan dan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) yang semakin besar menuntut pekerjanya untuk lebih tekun, beretika dan berintegriti dalam menjalankan tugas. Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail berkata, bagi menjana kecemerlangan sesuai dalam era baru, setiap kakitangan perlu melakukan anjakan paradigma dan berusaha melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai bagi meningkatkan kualiti kerja masing-masing. “Kita harus sedar bahawa kualiti kerja yang dicari bukanlah satu keadaan yang statik malah akan terus berubah. “Oleh itu, kita tidak seharusnya berpuas hati serta menjadi amat selesa dan leka dengan tahap dicapai malah perlu mengejar kualiti sepanjang masa,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2008 di sini. Hadir sama, YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md Ikhsan, Pegawai Daerah, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Orang Besar Daerah, Datuk Aman Shah Mohd Shahar. Pada majlis itu, seramai lima kakitangan MDHS menerima Pingat Jasamu Dikenang (PJK) daripada Sultan Selangor, lima penerima yang bersara termasuk telah meninggal dunia serta 21 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Tukiman berkata, cabaran lebih besar pada hari ini adalah untuk menukar cara bekerja dari menjalankan tugas rutin kepada peranan yang lebih besar sebagai pekerja berilmu yang sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran baru. Menurutnya, sebagai kakitangan kerajaan dalam PBT, mereka perlu bijak meramal perubahan yang akan berlaku dan berani membuat pertimbangan dan keputusan serta sanggup menghadapi risiko. “Saya merasa cukup gembira sebenarnya pada hari ini kerana kita sekali lagi berjaya mengadakan majlis yang melambangkan pengiktirafan jabatan kepada anggota pekerja dan pencapaian individu cemerlang. “Anugerah sebenarnya membawa tanggungjawab dan cabaran baru bukan setakat mengekalkan kecemerlangan malah usaha-usaha ke arah itu perlu dipertingkatkan bagi menjana idea-idea baru ke arah mencapai tahap yang lebih tinggi. “Dalam kita mengejar hasrat ini, kita perlu meningkatkan etika dan integriti. Anugerah sebegini juga diharap dapat menjadikan inspirasi dan motivasi kepada yang lain,” katanya. Dalam pada itu, Tukiman turut melahirkan penghargaan kepada MPSJ selaku ‘abang angkat’ PBT yang sentiasa berada bersama MDHS dalam menyelesaikan segala perkara. Beliau berkata, kecemerlangan dan kejayaan MPSJ selama ini sehingga diiktiraf sebagai antara PBT terbaik di Malaysia sangat dikagumi wajar dijadikan contoh. Justeru, beliau berharap dengan wujudnya jalinan baik itu, MPSJ terus memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman bersama MDHS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan