Isnin, 25 Mei 2009

BERITA RINGKAS: RAGUT DI TAMAN RASA UTAMA - SINAR HARIAN 25 MEI 2009

TAMAN RASA UTAMA – Segak, bersih dan bergaya, itulah gambaran wajah peragut yang dapat diberikan mangsa sewaktu menceritakan bentuk fizikal suspek. Siti Maizura Mat, 36, berkata, dia tidak menyangka bentuk fizikal yang cantik seperti itu sebenarnya wajah peragut yang meragut dia bersama seorang lagi rakannya. Lebih menyedihkan apabila mendapati kesemua empat suspek Melayu dan masih muda berusia lingkungan 20 dan 21 tahun. Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama rakannya, Arina Che Omar, 33, sedang berbual di hadapan rumah untuk menjemputnya ke majlis bacaan Yasin di surau berdekatan. Bagaimanapun, dia terkejut sebaik didatangi empat suspek yang menunggang motosikal dan berhenti secara melulu di hadapan mereka. “Pada mulanya kami tidak merasa sebarang keadaan yang mencurigakan walaupun melihat suspek membuat satu pusingan sebelum berhenti di hadapan kami. “Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila suspek bertindak memegang kuat tangan saya sambil mengacukan parang sebelum bertindak kasar merampas kesemua barangan kemas saya,” katanya ketika ditemui di rumah Arina semalam. Maizura berkata, ketika kejadian dia duduk di atas motosikalnya bersama anaknya, Wan Hanis Afifah Mior Zainal Abidin, 3 yang diletakan di hadapan. Terkejut menyaksikan detik itu, Wan Hanis Afifah menangis ketakutan, namun tidak diapa-apakan. Menurut Maizura, dia agak terkejut dengan kejadian itu yang berlaku terlalu pantas sehingga melesapkan barangan kemas seperti rantai, gelang dan cincin termasuk telefon bimbit, beg duit yang mengandungi wang tunai, kad pengenalannya dan dua anaknya serta beberapa kad bank. Menurutnya, dia sempat meminta supaya suspek menyerahkan kad sim dalam telefon bimbitnya sekiranya mahu mengambil telefon berkenaan, namun tidak dihiraukan. Dalam kejadian lebih kurang jam 10.40 pagi itu, mangsa dikatakan sedang berbual lalu didatangi empat suspek yang dengan pantas mengeluarkan senjata tajam dan mengugut mangsa menanggalkan kesemua barang kemas yang ada. Disebabkan terkejut dan ketakutan, mangsa hanya mampu berdiam diri dan membiarkan suspek merampas kesemua barangan kemas milik mereka.

Tiada ulasan: