Rabu, 27 Mei 2009

Majlis Daerah Hulu Sgr dapat 2 Bintang dlm Sistem Rating PBT Selangor..


SUBANG JAYA, 26 Mei – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor meraikan media massa terhadap sumbangannya dalam pelaporan berita dan rencana yang positif terhadap penambahbaikan tadbir urus dan sistem penyampaian PBT negeri ini.
Sesungguhnya media massa berperanan penting dalam usaha meyakinkan rakyat terhadap kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir urus negeri Selangor melalui penyampaian maklumat yang betul kepada masyarakat.
Demikian kata Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Majlis Malam Pengharagaan PBT Bersama Media dan Pelancaran Zon Bersih PBT Selangor di Grand Selangor Ballroom, Hotel Sheraton di sini malam tadi.
Selain itu, pada majlis tersebut turut meraikan kejayaan PBT Selangor memperolehi taraf empat bintang sempena Sistem Star Rating PBT (SSR-PBT) bagi tahun 2008 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada awal tahun ini dan Pelancaran Program Zon Bersih PBT Negeri Selangor.
Sebanyak empat PBT memperolehi taraf empat bintang, antaranya Majlis Perbandaran Subang Jaya (84.40), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (80.50), Majlis Bandaraya Shah Alam (80.10) dan Majlis Perbandaran Klang (76.20).
Taraf tiga bintang dianugerahkan kepada lima PBT iaitu Majlis Perbandaran Kajang (74.95), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (70.70), Majlis Daerah Kuala Langat (68.75), Majlis Perbandaran Selayang (67.30) dan Majlis Perbandaran Sepang (65.60) manakala taraf dua bintang pula dimenangi dua PBT, antaranya Majlis Daerah Hulu Selangor (58.80), Majlis Daerah Kuala Selangor (52.75) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (50.85).
Kriteria pemilihan SSR-PBT tersebut dinilai dari segi tahap pencapaian sistem penyampaian perkhidmatan, peningkatan daya saing, kecekapan dan keberkesanan organisasi yang merangkumi pengurusan (30%), perkhidmatan teras (35%), pengurusan pelanggan (15%) dan penyertaan komuniti dan pandangan penduduk (20%).
“Kriteria tersebut tertumpu kepada pencapaian dalaman oleh PBT, hanya tidak lebih daripada 20 peratus kiraan tersebut diambil kira pandangan dan pendapat pengguna (orang awam).
“Oleh sebab itu saya meminta kementerian (KPKT) untuk memberi juga keutamaan tentang servis penilaian pengguna dan penerima perkhidmatan PBT sebagai satu alat untuk menilai kejayaan PBT tersebut”, ulas Abdul Khalid.
Dalam pada itu, program Zon Bersih yang diilhamkan Eksko Selangor, Ronie Liu Tian Khiew itu bertujuan memupuk kesedaran kebersihan setempat dalam komuniti masyarakat di samping mengenalpasti satu kawasan paling kotor di setiap kawasan PBT untuk diwartakan zon bersih dalam tempoh setahun.
Pada majlis tersebut, PBT yang memperolehi taraf empat bintang menerima momento dan sijil penghargaan manakala tiga dan dua bintang pula menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor.
Turut menerima sijil penghargaan, wakil media massa.
Hadir sama, Ahli Eksko Selangor, Yaakob Sapari dan Ean Yong Hian Wah.

Tiada ulasan: