Jumaat, 3 April 2009

OKU TERKORBAN, USAHA UTK SELAMATKAN ANAK GADISNYA

KUALA TERENGGANU - Kasih sayang dan keluhuran hati seorang bapa orang kurang upaya (OKU) untuk menyelamatkan anak gadisnya dan seorang rakan daripada lemas, berakhir dengan tragedi apabila dia tenggelam dibawa arus di Lata Belukar Bukit, Hulu Terengganu, semalam. Malah, kegembiraan perkelahan disertai dua keluarga melibatkan sembilan individu itu pasti mencatatkan sejarah hitam apabila sehingga jam 6.30 petang semalam, mangsa, Che Mohd Abdul Rashid Che Noh, 56, masih belum ditemui. Kejadian malang tersebut dilaporkan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa menyedari anak perempuannya berusia 19 tahun bersama seorang lagi rakan yang seusia hampir lemas ketika mandi di lata berkenaan. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, menyedari kejadian itu mangsa yang bisu cuba membantu kedua-dua gadis itu namun tidak berjaya apabila dia tenggelam dibawa arus. “Anak perempuan mangsa dan juga rakannya terselamat namun mangsa yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu masih hilang dan belum ditemui,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam. Menurutnya, sebaik mendapat maklumat tentang kejadian usaha mencari dan menyelamat mangsa oleh pasukan bomba dari Kuala Terengganu terus dilakukan namun sehingga jam 6.30 petang operasi terpaksa dihentikan seketika. “Keadaan air yang keruh dan hari semakin gelap menyebabkan operasi ditangguhkan dan ia akan dimulakan semula pada jam 8 pagi esok (hari ini),” katanya.

Tiada ulasan: