Isnin, 6 April 2009

Laluan utama selamat dilalui penduduk Kg Mohamad Taib...Sinar harian 6 April 2009 (Isnin)

KAMPUNG MOHAMAD TAIB - Penduduk kampung di sini sudah mampu menarik nafas lega apabila laluan utama memasuki perkampungan mereka yang sebelum ini sering dinaiki air kini dapat dilalui. Keadaan itu diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim yang mengadakan lawatan ke kawasan itu. Menurutnya, laluan itu sudah dapat dilalui seperti biasa dan kerisauan penduduk tidak lagi timbul berikutan usaha pembesaran parit yang dilakukan. “Saya berterima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mengambil tindakan segera atas aduan penduduk dengan melaksanakan kerja pembesaran parit di kawasan ini. “Usaha mereka jelas dapat mengubah persepsi penduduk yang sering dihantui masalah banjir apabila hujan,” katanya. Menurut beliau, banjir di kawasan itu kerap berlaku sehingga air memenuhi laluan utama penduduk ke kawasan perkampungan selain menyukarkan pekerja kilang perindustrian memasukinya. “Tetapi dengan selesainya kerja pembesaran parit oleh JPS, laluan persimpangan ini tidak lagi mengundang banjir, sebaliknya dapat dilalui dengan mudah,” katanya. Masalah banjir di laluan persimpangan itu sudah berlarutan lebih lima tahun dan hanya apabila beberapa desakan dan rundingan dibuat, akhirnya dapat diselesaikan.
Mohd Isa berkata, antara faktor kelewatan penyelesaian terhadap permasalahan itu disebabkan kawasannya yang meliputi tanah milik individu. Bagaimanapun katanya, hasil rundingan dan kesepakatan dicapai bersama pemilik tanah, akhirnya masalah itu dapat diselesaikan. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Exco kerajaan negeri yang sebelum ini hadir meninjau kawasan itu dan bersama-sama memanjangkan permasalahan penduduk sehingga berjaya diselesaikan.
Sementara itu, Ketua MIC Sungai Choh, S Retnam yang turut berada di lokasi memuji tindakan wakil rakyat yang bersungguh-sungguh dan mengambil tindakan tepat menyelesaikan masalah itu. Menurutnya, setelah wakil rakyat digantikan, barulah masalah itu dapat diselesaikan dan laluan itu boleh digunakan seperti biasa. Beliau juga berharap agar JPS sentiasa melakukan pemantauan dan penyelenggaraan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan kawasan itu benar-benar selamat dilalui.
SAS: Kenapa tidak dijemput Ketua Kampong serta Ahli Majlis Daerah sekali melawat... Bila Exco kerajaan negeri melawat ... JPS telah mengambil tindakan ...

Tiada ulasan: