Khamis, 2 April 2009

Siti Aishah mahu kesnya menjadi iktibar rakyat Malaysia


KANGAR: Siti Aishah Hamid, wanita Malaysia yang dibebaskan daripada penjara di Pakistan tiba di rumahnya di Kampung Permatang Pauh dekat sini hari ini dengan tekad baru iaitu untuk tidak mudah tertipu lagi.

Wanita kurang upaya berusia 44 tahun itu juga berazam untuk memulakan semula perniagaan kedai runcit yang ditinggalkannya selepas merengkok dalam penjara di Karachi, Pakistan hampir setahun lalu.

Siti Aishah yang menghidap penyakit tulang rapuh (SLE) berharap kesnya menjadi iktibar kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak tertentu.

"Saya tidak menduga akan terperangkap dengan kes ini, katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pelbagai pihak yang membantunya pulang ke negara ini.

Siti Aishah berkata, sepanjang dipenjarakan di Karachi sejak 24 April tahun lalu, beliau mengalami kehidupan harian yang jauh berbeda malah kerinduan terhadap negara ini terutama kepada suami, Jaafar Noor, 44, dan seluruh anggota keluarganya amat terasa.

Siti Aishah mendakwa turut ditahan bersamanya di penjara itu ialah empat lagi rakyat Malaysia, dua berketurunan Melayu dan dua India namun beliau enggan menyatakan nama-nama mereka.

Beliau sepatutnya dibebaskan pada 24 April ini tetapi telah dibebaskan sebulan lebih awal kerana didapati berkelakuan baik, tidak sihat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dengan pihak berkuasa penjara.

Pada 7 April tahun lalu, beliau menaiki bas dari stesen bas ekspres Kangar menuju Pudu Raya sebelum dijemput ke lapangan terbang dan dari situ, beliau mula mengalami pengalaman yang tidak pernah terfikir dalam hidupnya.

Beliau tidak mengambil kisah apabila pakej percutian ke Singapura telah ditukar serta merta ke Pakistan, tempat yang lebih jauh dan lebih indah dan dijanjikan akan berada di negara itu selama empat hari.

Selepas empat hari berlalu, Siti Aishah ingin pulang namun hasrat itu ditolak oleh "penganjur" dengan alasan ada lagi rakyat Malaysia yang belum tiba dan setelah menunggu selama dua minggu, permintaannya untuk pulang dipenuhi.

Episod hitam bermula apabila beliau ditahan oleh pihak berkuasa di lapangan terbang antarabangsa Jinnah di Karachi semasa ingin pulang kerana di dalam beg soleknya ditemui heroin seberat 950 gram.

"Saya tidak tahu bila dadah itu diletakkan dalam beg itu namun pihak berkuasa Pakistan tetap menahan saya meskipun saya telah beritahunya. Telefon bimbit saya juga dirampas," katanya.

Beliau berkata, semasa tiba di KLIA pagi semalam, bahagian Narkotik mengambil kenyataan daripada adiknya selama beberapa jam. BERNAMA

Tiada ulasan: