Rabu, 8 April 2009

EAN YONG : AHLI MAJLIS TIDAK TAHU PERANAN

SUBANG JAYA – Ada segelintir Ahli Majlis yang masih tidak cekap dalam memainkan peranan serta tidak memahami tugas dipertanggungjawabkan kepada mereka,kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pem-bangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah. Beliau yang mengulas tindakan beberapa Ahli Majlis dalam satu Mesyua-rat Penuh Majlis Perban-daran Subang Jaya (MPSJ), baru-baru ini berkata, mereka (Ahli Majlis berkenaan) tidak sepatutnya mempersoalkan sekiranya ada wakil rakyat membuat aduan atau pertanyaan di Dewan. Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk bertanya dan meminta penjelasan berhubung sesuatu isu daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) berkaitan sekiranya mereka mempunyai sebarang kemusykilan. “Selepas itu, apa yang perlu dilakukan adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memberi maklumbalas berkenan hal dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Exco yang memegang portfolio itu. “Tetapi bukannya mempersoalkan mengapa ADUN berkenaan bertanya itu dan ini di dalam Dewan berkenaan hal yang menyentuh kepada peranan Majlis,” katanya. Hian Wan yang juga ADUN Seri Kembangan berkata, apa yang sepatutnya berlaku adalah sekiranya menerima aduan daripada ADUN atau Ahli Parlimen, mereka bagi pihak MPSJ perlu memberi penjelasan. “Mereka juga tidak sepatutnya meminta ADUN memberi penjelasan semula berkenaan perkara yang dipersoalkan di dalam Dewan “Malah saya kecewa ada Ahli Majlis yang tidak memahami fungsi mereka di dalam Majlis yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata, demikian selepas ada Ahli Majlis yang meminta penjelasan berkaitan kenyataan seorang ADUN yang meminta Exco kerajaan negeri menyiasat sekiranya wujud unsur rasuah dalam pemberian lesen kepada pengusaha premis di kawasan MPSJ. Kenyataan ADUN dari sebuah kawasan bukan MPSJ itu bagaimanapun menyentuh perasaan beberapa Ahli Majlis yang meminta wakil rakyat memberi penjelasan mengapa mereka menyuarakan hal itu di dalam Dewan. Bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan ADUN berkenan hanya meminta exco berkaitan menyiasat kaedah pemberian lesen itu dan tidak mengeluarkan sebarang tuduhan rasuah kepada mana-mana individu. Dalam perkembangan lain Hian Wah berkata, Ahli Majlis dan ADUN juga sepatutnya memberi kerjasama dalam menyelesaikan masalah rakyat di bawah kawasan MPSJ. Kata Hian Wah, Ahli Majlis juga tidak sepatutnya menjaga zon masing-masing sahaja kerana ia akan menjejaskan reputasi kerajaan negeri. “Pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan jika Ahli Majlis mempunyai sikap begitu ia akan menjejaskan imej kerajaan Pakatan Rakyat. “Walaupun menerima aduan di luar kawasan zon, mereka sepatutnya menerimanya malah tidak menyalahkan Ahli Majlis di zon berkenaan,” katanya kerana mendakwa ada di antara penduduk yang tidak tahu Ahli Majlis mana perlu dirujuk mereka. Turut hadir, ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Tiada ulasan: