Rabu, 8 April 2009

JAB PENDAFTARAN JANGAN BUBARKAN BALKIS


SHAH ALAM, 8 April - Berikutan surat kepada Jabatan Insolvensi Malaysia mengenai status dana RM9.9 juta kepunyaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Selangor (Balkis), Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Jabatan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor, Pemegang Amanah Balkis dan Ahli-ahli Balkis di mahkamah.
Walau bagaimanapun, menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, sebelum mengambil tindakan undang-undang, pihaknya akan meminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor untuk membatalkan keputusan meluluskan pembubaran badan itu.
“Jabatan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor sepatutnya mengambil kira pihak terlibat memberi sumbangan kepada Balkis termasuk kerajaan negeri dan anak-anak syarikat sebelum meluluskan pembubaran Balkis.
“Sekiranya Jabatan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor enggan berbuat demikian, kita akan membawa perkara ini ke mahkamah,” kata Tan Sri Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco petang tadi.
Turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.
Tetuan Fernandez & Selvarajah telah dilantik bagi mewakili kerajaan negeri dalam kes sumbangan yang diterima oleh Balkis.
Kerajaan negeri pada 6 April lalu telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Insolvensi Malaysia berkenaan kedudukan dana Balkis berjumlah RM9.9 juta yang disumbangkan kerajaan negeri dan anak-anak syarikatnya. Kerajaan negeri juga menggesa agar dana itu dikembalikan semula kepada kerajaan negeri jika benar dana tersebut di bawah Jabatan Insolvensi Malaysia.
Sekretariat AkhbarKerajaan Negeri Selangor

Tiada ulasan: