BUKIT BERUNTUNG – Usaha membentuk pelajar berdisiplin perlu bermula dari peringkat awal dan menjadi tanggungjawab semua pihak dalam melaksanakannya. Bagi menggalas tanggungjawab itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruntung, mengambil langkah seawalnya menerapkan ciri itu dalam diri pelajar. Penyelaras Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah terbabit, Md Fuzi Abd Lateh berkata, melalui Kursus Kepimpinan dan Motivasi Pengawas, ia diharap dapat mencapai hasrat itu sekali gus melahirkan pelajar bertanggungjawab. “Ibu bapa dan guru sememangnya menyedari usaha dan tanggungjawab membentuk disiplin pelajar perlu bermula pada peringkat awal. “Oleh demikian, kami memikirkan perlunya satu pendekatan proaktif diambil dalam mencapai matlamat itu,” katanya. Beliau yang juga Penyelaras kursus tersebut berkata, pelbagai pengisian dan aktiviti dirangka melalui kursus sehari itu bagi memastikan mesej dan input yang ingin diterapkan diterima baik pelajar. Menurutnya, antara aktiviti itu termasuklah pendedahan mengenai kaedah pengurusan perhimpunan dan pengisian ceramah pengurusan serta motivasi oleh guru dan kaunselor.
Seramai 105 murid Tahun 2 hingga 6 terlibat dalam kursus anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling, Badan Disiplin dan Pengawas SK Bukit Beruntung yang dikendalikan seramai 30 fasilitator terdiri daripada guru sekolah terbabit. Guru Besar SK Bukit Beruntung, Abd Ghani Md Hassan hadir merasmikan kursus dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada peserta terlibat. Hadir sama, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Suzanah Md Amin dan Penolong Kanan Ko-kurikulum, Hasanah Ali.
Md Fuzi berkata, kursus itu bukan sahaja mampu membentuk disiplin malah melahirkan pelajar yang memiliki daya kepimpinan yang unggul. “Kami yakin kursus ini dapat merealisasikan hasrat sekolah dalam melahirkan pelajar yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab. “Dalam masa yang sama pelajar juga dapat di lentur dengan budaya positif agar sentiasa peka terhadap tugas yang diamanahkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan