Ahad, 15 Februari 2009

Selangor rampas takhta


PEMAIN Perlis, Badrul Azam Zamri (kiri) diasak keras pemain Negeri Sembilan, Mohd. Rahman Zabul pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam tadi. Perlis menang 1-0. - Mingguan\Faizal Abu Hassan

KUALA LUMPUR - Selangor kembali menerajui takhta Liga Super selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas KL Plus pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Dua gol daripada Mohd. Amri Yahyah (m-27, 54) dan satu menerusi Amirul Hadi Zainal (m-72) sudah cukup untuk membolehkan pasukan bimbingan K. Devan itu menyingkirkan Negeri Sembilan daripada puncak liga.
Gol tunggal KL Plus pula dijaringkan Norhafiz Zamani Misbah (m-58) tetapi sudah terlambat untuk menyekat Selangor meraih tiga mata berharga itu.
Kejayaan Selangor itu turut dibantu kekalahan 0-1 Negeri Sembilan kepada tuan rumah, Perlis pada perlawanan di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Gol kemenangan Perlis dijaringkan Ahmad Fakry Saarani (m-16) sekal igus mengecewakan pasukan pelawat yang kini ketinggalan tiga mata di belakang Selangor.
Turut memintas Negeri Sembilan ialah Kelantan yang kini berkongsi 15 mata sama dengan Selangor selepas membenam Terengganu 3-2 di Stadium Sultan Mohd. Ke- IV, Kota Bharu.
Kelantan bagaimanapun terpaksa menghuni tangga kedua liga hanya kerana perbezaan jaringan sahaja dengan Selangor.
Kuala Muda Naza pula mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Pulau Pinang pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Zulhissham Jamaluddin mencipta hatrik apabila menjaringkan ketiga-tiga gol tuan rumah pada minit ke-44, 54 dan 76 manakala gol tunggal pelawat dijaringkan S. Veenod (m-57).
Kedah meneruskan kebangkitan daripada permulaan hambar awal musim apabila menewaskan UPB-MyTeam 1-0 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya.
Begitu juga dengan Perak yang mencatat kemenangan serupa ke atas Johor FC pada perlawanan di Stadium J-Corp Pasir Gudang, Johor.
Satu lagi perlawanan menyaksikan Pahang yang bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1.

Tiada ulasan: