Ahad, 15 Februari 2009

Nasi lemak, teh tarik makanan warisan

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIMtarmizi.rahim@utusangroup.com.my
KUALA LUMPUR 14 Feb. – Seratus jenis makanan kegemaran rakyat Malaysia termasuk nasi lemak, nasi kerabu, char kuetiau Pulau Pinang, kari kepala ikan, akok serta tapai diumumkan sebagai Warisan Kebangsaan 2009 hari ini.
Pengisytiharan mengenainya dilakukan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Victoria Institution di (VI) sini hari ini.
Keseluruhannya, terdapat 172 butiran yang diumumkan sebagai Warisan Kebangsaan merangkumi Tapak Warisan - monumen atau bangunan, arkeologi dan alam semula jadi; Objek Warisan - artifak, kerja seni, manuskrip, lagu rakyat, puisi, tradisi lisan, tarian dan seni mempertahankan diri; serta Tokoh Orang Hidup.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie juga mengumumkan bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria kini dikenali semula sebagai Victoria Institution, iaitu nama asal yang diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.
Selain itu, turut diumumkan sebagai Warisan Kebangsaan ialah Dewan Tunku Canselor dan Panggung Eksperimen serta Bangunan Canselori di Universiti Malaya (UM) iaitu antara yang dikategorikan dalam kategori Tapak Warisan.
Bagi kategori Objek Warisan antaranya ialah tulisan jawi, dikir barat, gasing dan congkak.

Tiada ulasan: