Jumaat, 6 Februari 2009

Bukit Sentosa - Masalah Bumbung Belum Selesai......


Sinar Harian - 5 Feb 2009 Khamis


BUKIT SENTOSA – Penantian lebih tujuh tahun penduduk di beberapa kawasan penempatan sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung bagi melihat bumbung kediaman pangsapuri mereka dibaiki masih terus menjadi persoalan kepada penduduk di sini. Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Pangsapuri Sri Cempaka, Mohamad Zainuddin Yeob berkata, pihaknya serius memperjuangkan perkara itu hingga mengundang kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco bertanggungjawab, Iskandar A Samad nyata masih belum menemui jalan penyelesaian. “Penduduk di sini terus kecewa dengan dengan apa yang berlaku seolah tidak diambil peduli pihak bertanggungjawab. “Ada yang datang tetapi hanya meninjau dan melihat keadaan bumbung yang sudah diketahui keuzurannya, tetapi sampai sekarang sebarang pembaikpulihan pun tidak dilakukan,” katanya. Sinar Harian turut mendapatkan komen daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim mengenai perkara itu dan maklum balas diberikan juga kembali kepada peranan serta tanggungjawab penuh kerajaan negeri yang memerintah sekarang. “Ini tanggungjawab kerajaan negeri dan mereka tidak boleh lepaskan. Mereka sudah melihat dan melakukan lawatan beberapa kali tapi tidak tahu mengapa sampai sekarang masih tidak ada sebarang pemulihan dilakukan,” katanya. Menurutnya, kerajaan negeri sengaja melengah-lengahkan perkara itu dan cuba bermain politik. Kerajaan negeri katanya, tidak serius dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk dan tidak menunaikan manifesto yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya umum lalu. “Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah ada laporan dan pendekatan sesuai yang boleh dirujuk dan digunakan untuk membaikinya kerana kita sudah lakukan sebelum peralihan berlaku. “Tetapi terpulanglah kepada kerajaan negeri sama ada mereka serius mahu meneruskannya atau tidak,” katanya. Menurutnya, sekiranya kerajaan negeri benar-benar serius mahu melaksanakannya, sudah lama perkara ini selesai, tetapi sikap lengah mereka menyebabkan ia berlarutan.

Sementara itu, ketika Sinar Harian menghubungi Exco bertanggungjawab, Iskandar A Samad, beliau juga ada jawapan untuk meredakan kembali keadaan itu. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan itu berkata, kerajaan negeri sudah selesai melakukan kajian mengenai perkara itu. Menurutnya, hasil kajian yang dilakukan oleh Architect Centre, salah sebuah syarikat di bawah Pertubuhan Arkitek Malaysia telah menetapkan beberapa keputusan tetapi beliau tidak dapat maklumkan keputusan itu sebelum memperolehnya secara rasmi. “Kita sudah buat proposal dan selepas ini akan memanggil konsultan untuk membuat tender terbuka. “Setelah sebulan tender dikeluarkan maka kita akan laksanakan pembinaan baru bumbung terbabit dengan kos RM7 juta untuk seluruh kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa. “Kita juga telah memperoleh semua nama penduduk yang perlu dipindahkan sementara kerja-kerja pembaikpulihan itu dilakukan kelak,” katanya.

Tiada ulasan: