Jumaat, 23 Januari 2009

Ahli Majlis Perlu Jadi Pemantau Integriti PBT - Abdul Khalid

Tuesday, 20 January 2009 SHAH ALAM, 20 Januari - Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu berperanan sebagai pemantau terhadap integriti dan akauntabiliti institusi itu.

Menurut beliau, ahli majlis boleh mendapatkan pandangan dan maklum balas dari orang ramai mengenai sebarang penyelewengan oleh mana-mana anggota majlis.

“Betapa pentingnya ahli majlis memahami peranan dan tanggungjawab tersedia serta tidak melampaui batas-batas yang ditetapkan.

“Ahli majlis perlu mempunyai sikap-sikap diplomasi, kompromi, persefahaman dan permuafakatan dalam pelaksanaan pentadbiran serta pengurusan dengan majlis,” katanya pada majlis perjumpaan khas dengan ahli majlis PBT bagi penggal 2008/2009 di Dewan Jubli Perak dekat sini petang tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Abdul Khalid berkata semua ahli majlis seharusnya bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa mengira latar belakang dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Tambahnya, ahli-ahli majlis yang dilantik daripada pelbagai komponen, termasuk golongan profesional, orang kurang upaya (OKU), ahli badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik, seharusnya menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Beliau berkata walaupun tempoh pelantikan mereka hanya satu tahun, mereka boleh dipertimbangkan semula untuk menyambung perkhidmatan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.

“Tujuan penetapan tempoh ini dibuat adalah untuk memberi peluang kepada calon-calon lain supaya dapat menyumbang tenaga dan memperkembangkan idea-idea baru kepada PBT,” katanya.

Abdul Khalid berkata kelancaran tugas PBT sebagai institusi yang paling dekat dengan rakyat bergantung kepada peranan dan komitmen ahli majlisnya.

"Justeru, setiap ahli majlis perlu menyampaikan perkhidmatan dengan cekap, telus dan berintegriti, bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi kepentingan rakyat,”

Tiada ulasan: