TEROWONG sempit dan air busuk dari tapak pelupusan sampah berhampiran menjadi satu lagi masalah kepada penduduk dalam menyempurnakan urusan pengkebumian jenazah di tanah perkuburan Islam Bandar Baru Bukit Beruntung.
BUKIT BERUNTUNG 24 Sept. - Penduduk yang tinggal berhampiran tanah perkuburan Islam Bandar Baru Bukit Beruntung menggesa pihak berkuasa sama ada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHL) atau Jabatan Agama Islam Selangor membaiki segera jalan ke tanah perkuburan itu yang rosak teruk.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini, mereka ternyata kecewa dengan sikap tidak peka dan tidak prihatin pihak berkuasa terhadap masalah itu sehingga ia menjadi semakin teruk sekarang ini.
"Bukan baru sebulan dua masalah ini berlaku tetapi ia sudah berlarutan sejak hampir setahun lalu, namun tiada tindakan lanjut dibuat oleh pihak berkuasa.
"Penduduk sudah membuat beberapa aduan tetapi tetap tiada sebarang tindakan diambil," kata mereka.
Seorang penduduk, Yusri Sulaiman, 50, berkata, jalan yang rosak teruk itu memang menyusahkan urusan pengkebumian jenazah dan kelewatan urusan itu selesai sudah menjadi perkara biasa di sini.
Katanya, sepanjang dia menetap di situ, laluan tersebut semakin hari semakin teruk terutamanya pada musim hujan sehingga menyusahkan penduduk untuk menghantar jenazah ke tanah perkuburan.
"Sebelum ini, ada jalan lain yang boleh digunakan untuk ke tanah perkuburan itu tetapi apabila satu projek pembinaan yang dilaksanakan di sini dan ia berhampiran dengan tanah perkuburan itu, maka jalan lama itu ditutup," kata Yusri.
Tambahnya lagi, bila tiba musim hujan, lebih banyak masalah akan timbul dan ada kalanya tayar van yang menghantar jenazah terbenam di dalam lubang.
Bila keadaan itu berlaku, urusan pengkebumian menjadi sedikit kelam-kabut dan terlewat kerana orang ramai perlu membantu menolak van tersebut.
"Sepatutnya, bila kita hendak menghantar jenazah ke tanah perkuburan, kita lakukan dengan perlahan dan berhati-hati kerana tidak mahu 'menyakiti' jenazah tetapi dengan keadaan jalan yang seperti ini, saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi," katanya.
Seorang lagi penduduk, Lely Zainuddin berkata, pernah terjadi urusan pengkebumian yang sepatutnya diselesaikan pada sebelah pagi ditunda pada sebelah petang kerana van jenazah tidak dapat melalui jalan itu.
"Van yang membawa jenazah itu tersangkut berjam-jam disebabkan lopak yang dalam.
"Kerja yang boleh selesai dalam beberapa jam terpaksa ditunda hingga ke petang disebabkan masalah itu," katanya.
Dia menambah, ekoran kejadian itu, kemarahan penduduk semakin meningkat dan mereka membuat aduan kepada pihak berkuasa tetapi sehingga ke hari ini, jalan itu tidak juga dibaiki.
"Majlis Daerah Hulu Selangor perlu membaiki jalan itu dengan segera demi keselesaan penduduk," katanya.
Namun, kata Lely, adalah lebih elok jika MDHL membuat jalan baru ke tanah perkuburan itu supaya orang ramai tidak perlu lagi berkongsi laluan dengan lori sampah dan lori tanah yang turut menggunakan laluan yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan