Ahad, 21 Disember 2008

MDHS arah pemaju baiki jalan kubur

HULU SELANGOR 9 Okt. - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah mengarahkan pemaju yang membangunkan kawasan menuju ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung supaya membaiki laluan masuk ke tanah perkuburan itu yang kini rosak teruk.
Yang Dipertuanya, Tukiman Nail berkata, pemaju tersebut bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan laluan itu kerana ia digunakan oleh lori-lori yang keluar masuk ke kawasan projek mereka.
Beliau berkata, MDHS memandang serius kerosakan teruk jalan masuk ke tapak perkuburan tersebut kerana ia akan menyukarkan urusan pengkebumian jenazah.
"Sebelum ini, pihak MDHS telah mengarahkan pemaju yang berkenaan untuk menyelenggara jalan tersebut yang rosak teruk semasa musim hujan tetapi pemaju itu dilihat masih belum melakukannya.
"Kita akan bertindak tegas terhadap pemaju itu kerana laluan itu penting kepada penduduk di situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai keluhan penduduk Bukit Beruntung terhadap kerosakan teruk jalan yang menghala ke tanah perkuburan itu.
Penduduk mendakwa, jalan yang rosak teruk itu menyebabkan banyak urusan pengkebumian terlewat disempurnakan.
Tukiman menjelaskan, laluan ke tapak perkuburan menjadi rosak teruk bukan sahaja kerana digunakan oleh lori pemaju terbabit tetapi juga lori sampah yang mahu ke tapak pelupusan sampah di kawasan berhampiran.
"Jalan itu juga digunakan oleh kontraktor yang sedang membina sebuah pasar raya dan juga menjadi laluan sementara oleh kontraktor pelebaran Lebuh raya Utara Selatan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan pemaju terbabit menambak dan meratakan semula laluan tersebut dan memastikan ia berada dalam keadaan yang memuaskan sepanjang masa.

Tiada ulasan: