HULU SELANGOR: Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Hulu Selangor, semalam, mengarahkan 33 keluarga yang menetap di Taman Desa Melor, Serendah, dekat sini berpindah dengan segera berikutan ancaman tanah runtuh. Sejak beberapa hari lalu, beberapa rekahan dikesan di cerun bukit di kawasan terbabit selain mendapan tanah. Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Dahlan, berkata jurutera bahagian cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengesahkan bahawa tebing setinggi 250 meter berdekatan rumah penduduk di taman itu cenderung untuk runtuh pada bila-bila masa akibat gelungsuran tanah.
"Pagi semalam (kelmarin) saya bertemu Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan perkara ini. Bertindak atas masalah ini, jawatankuasa bencana menasihatkan 33 keluarga di Jalan Melor 10 dan 10B berpindah segera. "Kami menyediakan kemudahan seperti lori untuk mengangkut barang keperluan penduduk yang ditempatkan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Tasik Teratai, Serendah mulai esok (Sabtu), jam 10 pagi," katanya di sini semalam. Berita Harian difahamkan, ada rekahan sebesar 10 meter pada ketinggian 75 meter dari bawah tebing yang dibina itu dan ia membahayakan penduduk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan