Ahad, 21 Disember 2008

Rasuah RM50 'tiket' ke penjara

SHAH ALAM 16 Dis. - Seorang penganggur yang dikatakan berkali-kali menawarkan rasuah dan memaksa seorang anggota polis supaya menerima suapan RM50 sebagai dorongan agar tidak disaman kerana kesalahan melanggar lampu isyarat, hari ini dihukum penjara 14 hari dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim M. Gunalan ke atas Catur Cahyong Hadi Suyanto, 35, adalah yang paling minimum seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang rasuah.
Catur mengaku salah menawarkan imbuhan RM50 kepada anggota polis berketurunan Iban, Muhammad Ashraff Philip Abdullah pada pukul 9.45 pagi, 14 Oktober lalu di kawasan berhampiran pintu gerbang Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung dekat sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.
Hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak kurang 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 (mana satu yang lebih tinggi) jika disabitkan dengan kesalahan.
Fakta kes menyebut, Catur yang ketika kejadian memandu kereta Proton Iswara bernombor pendaftaran WDG 7374 berwarna biru gelap telah menghala dari Bukit Sentosa ke Rawang. Catur tidak memberhentikan kenderaannya sedangkan lampu isyarat ketka itu berwarna merah.
Selepas ditahan, Catur telah memaksa pengadu menerima imbuhan yang ditawarkannya. Walau pun anggota polis berkenaan menasihatinya berkali-kali bahawa perbuatan merasuah adalah salah di sisi undang-undang namun Catur tidak mengendahkannya.

Tiada ulasan: