Sabtu, 6 November 2010

Mustaffa Kamil Ayub: JPP Pemilihan 2010 mesti telus dan ada integriti

Nov 04, 2010
Proses pemilihan Parti KEADILAN telah bermula pada 29 Oktober 2010, namun apa yang kita harapkan untuk memperolehi satu sistem pemilihan yang adil dan telus daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) semasa mengendalikan proses pemilihan amatlah mendukacitakan.
Kita juga pernah menyuarakan bantahan sebelum ini, dalam peringkat proses pencalonan dan pemilihan cabang terhadap JPP, disebabkan banyaknya berlaku masalah dan ketidakseragaman dalam melaksanakan syarat dan peraturan pertandingan yang sepertimana yang ditetapkan oleh JPP itu sendiri. Secara jelasnya, walaupun terdapat banyak bantahan yang telah dikemukakan, sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan dan keputusan yang diambil oleh jawatankuasa tersebut, walaupun terdapat syarat dan peraturan tidak yang secara jelas tidak dipatuhi.
Permasalahan ini terus berlarutan sehingga ke proses Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat yang sedang berlaku dan akan berakhir pada 21 November 2010 nanti, ketelusan terhadap JPP ini terus dipertikaikan oleh pelbagai pihak, dengan beberapa insiden, salah laku yang telah berlaku secara jelasnya, di mana terdapat kaedah pengendalian tidak bersikap profesional dan bersifat condong sebelah pihak. Ini termasuk, soal penjumlahan undi yang diumumkan tidak konsisten, terutamanya keputusan yang melibatkan kedudukan Jawatan Timbalan Presiden.
Justeru, bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti yang berlandaskan keadilan untuk semua, kami mohon supaya status JPP ini digantung dan proses pemilihan parti ditangguhkan sehingga kita yakin sepenuhnya badan atau Jawatankuasa Pemilihan ini mengambil tindakan yang proaktif membaiki kelompangan yang ada. Tindakan ini perlu, supaya ianya tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dalam proses Pemilihan Parti 2010 seterusnya.
Kami juga telah menyiapkan satu memorandum cadangan bagi penambahbaikan JPP untuk diserahkan kepada Presiden KEADILAN dan Pengerusi JPP.
Kami juga menegaskan, bentuk tindakan yang kami lakukan ini adalah kerana kami meletakkan kepentingan parti itu di atas, malah juga untuk menjaga keharmonian dan kepentingan parti ini. Hasrat baik pendekatan parti untuk memberi kuasa memilih kepada kepada setiap anggota pastinya tergugat dan terhalang, sekiranya badan atau jawatankuasa yang dilantik tidak dapat berperanan dengan sebaiknya. Kita tidak mahu anggota parti sendiri ditipu dan dizalimi oleh kerana kepentingan pihak tertentu, sepertimana apa yang kita perjuangkan untuk memberi keadilan untuk semua. Suara anggota akar umbi mestilah dikembalikan dalam KEADILAN.

"KESINAMBUNGAN PERJUANGAN"
"KEMBALIKAN SUARA RAKYAT"
*Kenyataan media oleh Mustaffa Kamil Ayub selaku Naib Presiden Keadilan dan calon Timbalan Presiden Keadilan.

Tiada ulasan: