PROF. Datuk Hamdan Adnan telah membangkitkan satu tuntutan yang amat adil tentang penyembelihan beramai-ramai penduduk Batang Kali, Hulu Selangor oleh tentera British lebih 60 tahun lalu.
Tindakan ganas oleh tentera British itu adalah dalam rangka membasmikan gerakan bersenjata komunis dalam tahun 1948.
Penduduk yang dibunuh itu, 24 orang kesemua – dikatakan orang awam yang tidak bersenjata. Apakah mereka terlibat atau tidak dengan komunis, mereka adalah tidak bersenjata.
Britain pun tidak bertindak demikian kejam dalam menghadapi gejala komunis dalam negerinya. Dalam keadaan mereka tidak bersenjata dan tidak melawan apabila mereka diserbu, maka zalim bagi mana-mana pihak bertindak membunuh orang awam seperti itu.
Pembunuhan seperti itu perlu dikutuk. Kutukan itu bukan kerana tentera itu British atau ia tentera kerajaan yang berkuasa, tetapi pembunuhan sembarangan ke atas awam di mana-mana pun adalah dikutuk.
Samalah keadaannya dengan tindakan tentera Amerika dan bersekutu Nato di Iraq dan Afghanistan yang dikatakan dalam menentang keganasan Islam lalu membunuh orang awam di merata-rata tempat.
Peristiwa di Batang Kali itu tidak pernah mendapat pembelaan keadilan. Tuntutan masyarakat khususnya dari keluarga mangsa terus dibangkitkan tetapi tidak pernah dilayan dengan adil oleh kerajaan penjajah yang terus berada di Tanah Melayu hingga tahun 1957 apabila tanah jajahan itu merdeka.
Kerajaan merdeka mungkin lupa dan melupakan kecelakaan itu tetapi keluarga mangsa tidak pernah melupakannya dan mereka terus ingat dan menuntut keadilan.
Tuntutan itu bukan sekadar mahukan ganti rugi, tetapi mahukan satu pengajaran keadilan supaya kekejaman seperti itu tidak dilakukan di mana-mana dan oleh sesiapa jua. Jika keadilan itu telah diberikan dulu, maka tentulah tentera Amerika yang ke Iraq dan ke Afghanistan tidak mengulangi apa yang British buat di Batang Kali dulu.
British hingga ini telah berlepas tangan dan kedaulatan Malaysia pula tidak berbuat apa-apa bagi membela rakyatnya yang jadi mangsa kezaliman itu. Mungkin mereka komunis, tetapi mereka adalah orang awam yang tidak bersenjata ketika mereka dibunuh.
Dan jika pun mereka simpatisan komunis, maka layanannya bukan dengan membunuh mereka tanpa senjata dan tanpa diberi keadilan membela diri.
Kerajaan British mungkin tidak selesa jika ia dibangkitkan oleh kerajaan Malaysia, tetapi ia adalah tuntutan keadilan yang balasannya tidak akan luput selama ia tidak diselesaikan secara adil.
Britain mengahadapi lebih banyak tuntutan keadilan yang lebih besar dari pembunuhan 24 orang di Batang Kali itu. Maka tidak terlalu berat baginya untuk melayan tuntutan itu jika kementerian luar Malaysia membuka semula failnya.
Kerajaan baru Britian pimpinan David Camaron, seperti yang dibangkitkan oleh Prof. Datuk Hamdan, telah membuat tuntuan maaf terbuka kepada keluarga dan penduduk Ireland Utara yang dibunuh tentera British pada 30 Januari 1970.
Kerajaan baru itu tidak mahu dilihat menggelapkan segala dirasakan tidak adil dalam sejarah lalu, maka ia mengambil sikap terbuka dan tindakan sewajarnya bagi menjernihkan suasana dan yang terpenting ialah ia mahu melihat keadilan dapat dilakukan.
Tanpa mahu menyenggong British, maka kesilapan tenteranya semasa menjajah Tanah Melayu dulu, perlu disebutkan bahawa adanya tindakan kezaliman tenteranya yang terpaksa dibayar oleh kerajaan British.
Tuntutan paling adil tidaklah terus menghukum Britain tanpa adanya penyiasatan. Cadangan supaya kejadian itu disiasat adalah langkah yang terbaik. Tindakan yang diambil nanti tidaklah dilihat sebagai langkah mahu mendera dan memalukan Britain tetapi keadilan didahulukan sebelum penalti dikenakan.
Kalau rakyat yang dibunuh 24 orang itu dinafikan keadilan sebelum dibunuh, maka tidaklah dendam yang serupa dikenakan pula kepada kerajaan British sekarang. Adakan penyiasatan bersama Malaysia dan Britain dalam penyembelihan itu.
Kemudian Britain tidak terlalu berat membayar ganti darah kepada keluarga mangsa. Tidak semestinya mereka dikenakan membayar sekian ribu paun atas setiap jiwa yang dibunuh, tetapi dengan permintaan maaf yang terbuka atas kesalahan itu serta tawaran kemudahan belajar dan biasiswa kepada anak cucu cicit mangsa mengikut peruntukan yang selayaknya.
Ia sebenarnya bukan satu denda tetapi ia dilihat satu bayaran muhibbah tentang hubungan baik antara kedua bangsa. Dan ia juga satu pengajaran kepada mana-mana tentera asing yang datang ke sebuah wilayah yang bukan sebahagian dari kedaulatannya.
Yang dibangkitkan oleh Prof. Datuk Hamdan dan rakan-rakannya adalah dalam rangka menegakkan keadilan bahawa manusia itu adalah sama baik.
@subky latif/harakahdaily