SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak pernah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat dan tiada sebab untuk merasa bimbang dengan usaha UMNO Selangor mengadakan jelajah menjelaskan pembohongan PR terhadap rakyat negeri ini.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali bagaimanapun berkata, usaha UMNO itu dilihat sebagai sesuatu yang semakin terdesak.
Menurutnya, pihaknya percaya yang menentukan pentadbiran di negeri ini bukan UMNO dan BN sebaliknya rakyat keseluruhan.
“Saya tidak bimbang dengan UMNO yang semakin terdesak kerana saya percaya rakyat Selangor matang dan bijak dalam membuat pertimbangan.
“Mereka boleh mengadakan jelajah, boleh memaki hamun melalui media cetak dan elektronik,” katanya sebagai mengulas laporan akhbar ini berhubung UMNO Selangor akan mengadakan jelajah memberi penjelasan pembohongan PR kepada rakyat rentetan pelantikan Azmin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor.
Ujar Azmin, sebaliknya pembohongan dilakukan oleh UMNO sendiri kerana mereka tidak berani berdepan dengan isu nasional.
“Isu prestasi Felda misalnya, mereka tidak berani jawab di Parlimen tetapi menggunakan mahkamah untuk memberi tekanan, gunakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Suara Keadilan. Kenapa gunakan institusi kerajaan untuk sekat kebebasan di negara ini?
“Semua ini kerana mereka gagal menjawab (di Parlimen) dan terpaksa menggunakan tindakan yang pada saya adalah tindakan yang bacul dan tidak matang,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Gombak itu lagi, kejayaan PR di Selangor adalah tidak boleh dinafikan dengan urus tadbir Kerajaan Negeri yang baik dan telus.
“Kerajaan Negeri mengadakan tender terbuka untuk memastikan perancangan lebih baik, bentuk sesi pendengaran awam iaitu SELCAT bagi pastikan pengurusan anak syarikat Kerajaan Negeri adalah telus dan pembentukan satu jawatankuasa Kuasa integriti untuk pastikan kewibawaan
“Kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip dan ini menunjukkan kita amalkan sikap yang cukup terbuka dengan tiada perkara yang kita lindungi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan