Khamis, 4 Mac 2010

DR HALIMAH ALI - JWK KHAS TANGANI MASALAH SOSIAL DI SELANGOR

SHAH ALAM – Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor telah mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk menangani masalah-masalah yang timbul kesan daripada sistem sosial yang semakin rosak dan hilang arah. Pengerusinya, Dr Halimah Ali berkata, inisiatif berkenaan diambil bagi mengelakkan kejadian sadis yang menimpa kanak-kanak malang, Syafia Humairah Sahari, 3, berulang.
Menurutnya, banyak pihak marah dan sedih apabila kejadian tidak berperikemanusiaan seumpama itu berlaku tetapi malangnya tidak ramai yang benar-benar mahu memainkan peranan berkesan untuk mencegah dan mengatasi malah terbabit.
“Apa yang kita lihat ini adalah jelmaan luaran masalah rumit dan kompleks di dalam individu, keluarga serta masyarakat.
“Kita hanya melihat bahagian atas bongkah ais tetapi bahagian lebih besar tidak nampak di permukaan air dan begitulah juga permasalahan yang kita hadapi dalam menangani gejala sosial ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, penumpuan dan perhatian hanya diberikan kepada laporan dramatik sensasi sahaja tanpa membedah siasat punca-punca sebenar serta mengenal pasti faktor pendorongnya.
Adun Selat Klang itu berkata, semua pihak seharusnya memainkan peranan dan ibu bapa perlu memahami erti sebenar menjadi ibu serta bapa. Katanya, keluarga terdekat pula seharusnya memahami bagaimana mereka boleh menyumbang atau menghalang kaum keluarga daripada terjebak dalam perkara maksiat dan mungkar.
“Institusi pendidikan mesti mengkaji semula adakah silibus, sistem pengajaran dan pembelajaran mereka berkesan dalam mencegah serta menangani penyakit sosial.
“Adakah pelajar berjaya dididik untuk menjadi manusia yang mempunyai hala tuju hidup yang jelas, syakhsiyyah terbaik dan kemahiran hidup yang mencukupi.
“Adakah masyarakat sedar bahawa iklan, program televisyen, internet dan rakan sebaya mampu mencorakkan pemikiran masyarakat khususnya daripada golongan muda,” katanya.
Menurut beliau, sistem nilai yang sentiasa ditonjolkan kepada masyarakat melalui media massa juga memberi impak besar kepada hidup seseorang terutama yang bersifat pasif. Katanya, pihak pemerintah dan pemimpin juga harus proaktif memainkan peranannya dan beliau berharap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak pengurusan masjid, surau, ketua-ketua komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pendidikan memainkan peranan masing-masing.
Dr Halimah berkata, sekolah-sekolah agama juga harus menekankan aspek bagaimana mengamalkan akhlak dan syariat Islam dalam kehidupan bukan hanya secara akademik dan teori.
Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor berkata, Kerajaan Negeri dan persekutuan harus serius menangani masalah kepincangan sistem kemasyarakatan itu.

Tiada ulasan: