Sabtu, 5 Disember 2009

BOLASEPAK WANITA MENGAIBKAN MALAYSIA !




VIENTIANE - Skuad bola sepak wanita negara menerima kekalahan mengaibkan pada pembukaan saingan Sukan SEA XXV, Laos apabila dibelasah 14-0 oleh juara bertahan Thailand di padang Universiti Kebangsaan Laos di sini, semalam.
Thailand merobek gawang Malaysia dengan lapan gol pada separuh masa pertama sebelum menambah bakinya di babak kedua.
Penyerang handalan Pitsamai Sornsai dan Suphaphon Kaebaen masing-masing menghasilkan hatrik bagi membantu Thailand mencipta kemenangan besar dalam perlawanan tersebut.
Pitsamai menjaringkan hatrik pada minit ke-24, 55, 84 manakala Suphaphon pula pada minit ke-15, 30 dan minit ke-64.
Gol lain dijaringkan oleh Nisa Romyen (17, 38), Chidtawan Chawong (20), Junpen Seesraum (28), Sunisa Srangtahisong (76), Kwanruethai Kunupatham (50), Sunisa Srangthaisong (76) dan Orathai Srimanee pada minit ke-80.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada penjaga gol Nur Atiqa Abdullah yang banyak menyelamatkan gawang Malaysia daripada terus dibolosi terutama melalui gandingan penyerang lawan Pitsamai dan Nisa.
Pengurus pasukan Malaysia, Alina Cheong berkata, walaupun pasukannya tewas besar, pemain mula menunjukkan peningkatan dengan mengelak daripada dibolosi dengan jaringan lebih banyak.
Menurutnya, pada kejohanan Pra-Sukan SEA September lepas, Malaysia tewas 0-17 kepada Thailand.
"Ketika itu, Thailand hanya menurunkan separuh daripada skuad kebangsaannya.
Hari ini, Thailand menurunkan skuad kebangsaan penuh dan Malaysia berjaya mengurangkan jumlah jaringan," katanya.
Pencapaian terbaik skuad wanita negara ialah memenangi pingat perak pada temasya Sukan SEA 1995 di Chiang Mai, Thailand.
Malaysia akan bertemu Vietnam Ahad ini di gelanggang yang sama.
Acara bola sepak wanita dijalankan secara liga dengan disertai oleh lima negara iaitu Thailand, Myanmar, Vietnam, Laos dan Malaysia. - BERNAMA

Tiada ulasan: