BATANG KALI – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini membuktikan bahawa mereka mampu membawa perubahan dan pembangunan di daerah ini. Beliau berkata, hasil pembangunan itu kelak akan dijadikan bukti bahawa Daerah Hulu Selangor juga mampu membawa perubahan dan pembangunan selaras dengan hasrat rakyat serta kerajaan. “Buktikan kemampuan PBT dengan hasil pembangunan di kawasan ini dan dalam masa yang sama pihak lain perlu memberi sokongan dan perancangan tambahan untuk pembangunan yang lebih mapan. “Tetapi, sekiranya hasrat atau perancangan yang disusun tidak menepati kehendak atau aspirasi kerajaan, tidak sepatutnya PBT dipersalahkan,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke Tapak Semaian Spirulina di Kampung Hulu Rening di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Rodziah Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari; Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) Tukiman Nail. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pertubuhan Warisan Anak Melayu (WAM) Kuala Kubu Bharu yang mahu Anugerah Penyapu ditarik balik secara rasmi oleh Kerajaan Negeri. Bagaimanapun, menurut Abdul Khalid, penarikan rasmi itu tidak wajar dilakukan kerana tindakan itu hanya sia-sia dan tidak menguntungkan sesiapa. Menurutnya, adalah lebih baik rangsangan pembangunan dilakukan dan bukannya dengan memberikan anugerah penyapu. “Bagi saya, sekiranya wujud kekurangan atau kepincangan dari aspek pengurusan sesebuah pentadbiran, maka perlu ada usaha untuk membantu. “Kita perlu kerjasama dengan mereka dan bukan dengan memburukkan mereka atau memberikan penyapu,” katanya. Menurutnya, negara sudah sampai ke satu zaman yang memerlukan pemimpin dan rakyatnya untuk sama-sama memikirkan nilai tambah yang boleh disumbangkan. :Katanya, pemberian penyapu mungkin seronok dari segi politik tetapi tidak dari segi pembangunan. “Dalam pengurusan sumber manusia perlu ada rangsangan dan bukan dengan menunjukkan kesalahan seseorang kerana ia akan memburukkan lagi keadaan. “Jadi, kita perlu buat pelaksanaan. Kalau kita tidak tahu, individu pertama yang bertanggungjawab adalah ketua. Ketua mesti tahu cara penyelesaiannya,” katanya. Semalam, Sinar Harian mengeluarkan kenyataan WAM yang mendesak supaya kerajaan negeri menarik balik pemberian Anugerah Penyapu yang diberikan mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo secara rasmi. Desakan penarikan itu perlu dibuat bagi membersihkan semula nama baik PBT selain melupuskan tanggapan umum mengenai jolokan ‘sial’ terhadap pegawai, kakitangan dan penduduk di daerah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan