Rabu, 22 Julai 2009

Peruntukan Wajib Diberikan.. tidak perlu dua pejabat pembangunan negeri di Selangor..

SHAH ALAM, 21 Julai - Hanya peruntukan yang wajib bakal disalurkan kepada Kerajaan Selangor, manakala peruntukan lain pula dijangka disalurkan terus kepada lima pejabat pembangunan daerah yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.
Demikian kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan (ICU) Negeri Selangor, Dato’ Noh Omar ketika mempengerusikan mesyuarat pertamanya di Shah Alam, hari ini.
Menurutnya, setelah Pakatan Rakyat mengambil alih jentera Barisan Nasional dalam pembangunan negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan dengan melantik pegawai daerahnya sendiri bagi tujuan yang sama.
“Oleh kerana dia sudah tukar kita punya jentera, sebab itu kerajaan persekutuan sebagai ownership kepada peruntukan ini, kita wujudkan jentera kita sendiri, memang duit kita melalui HDO, melalui pegawai pembangunan negeri, di bawah pegawai pembangunan negeri, kita pun ada kita punya dipanggil penghulu kita, di bawah penghulu kita bawah federal kita pun ada pejabat daerah kita sendiri, di negeri Selangor ada sembilan daerah, kita ada wujudkan lima pejabat daerah, jadi tiap-tiap daerah ada dua pejabat daerah, kita ada lima, mereka ada sembilan lah, jadi semua duit yang diperuntukkan kerajaan Barisan Nasional dia akan melalui pembangunan negeri, pembangunan negeri pula akan melalui DO-DO kita sendiri”, kata Dato’ Noh Omar kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, Shah Alam pagi tadi.
Noh berkata, peruntukan dalam Perlembagaan yang wajib disalurkan terus kepada kerajaan negeri adalah berbentuk per kapita rakyat dan penyelenggaraan jalan negeri.
Pada mesyuarat itu, Noh turut menyerahkan waran Kerajaan Persekutuan untuk Guru-guru KAFA Negeri Selangor melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjumlah RM9.2 juta, iaitu bayaran bagi enam bulan pertama tahun ini.
Selain itu, katanya kerajaan pusat juga akan menyalurkan tiga lagi peruntukan bagi membiayai elaun imam, pegawai penyelaras masjid daerah dan guru-guru takmir yang mengajar di masjid berjumlah RM4.28 juta.
“Keseluruhan duit yang dibayar kepada kerajaan negeri Selangor oleh JAKIM dalam empat kategori ni ialah sebanyak 22.9 juta”, jelas Noh lagi.
Mengenai cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar Selangor mempunyai hanya sebuah pejabat pembangunan negeri, Noh berkata pejabat persekutuan tidak ditanggung oleh kerajaan negeri.
“Tak pa laa, kalau tak perlu kenapa dia susah, bukan kita ambil duit dia, kita tak ambil duit kerajaan negeri pun, kita sewa bangunan kita sendiri, apa kena mengena, dia nak duit kerajaan persekutuan salur pada dia, besok kita salur pada lain pula dia buat”, tegas Noh mahu Menteri Besar Selangor tidak mencampuri urusan pejabat pembangunan tajaan Kerajaan Pusat.
Semalam, Tan Sri Andul Khalid Ibrahim berkata, Selangor tidak harus mempunyai dua pejabat pembangunan kerana ia akan membazirkan wang rakyat.
“Tidak perlu ada dua pejabat untuk pembangunan negeri Selangor, dua pejabat maknanya pejabat yang dikelolakan oleh kerajaan persekutuan dan pejabat yang dikelolakan oleh kerajaan negeri. Tak perlu untuk Selangor saya tak tahu untuk negeri lain tapi untuk Selangor tidak perlu kerana dia merugikan wang rakyat because the overhead cost is double”, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Shah Alam, semalam. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

Tiada ulasan: