Jumaat, 3 Julai 2009

Kerajaan Negeri Alu-alukan Aduan Curi Pasir Di Selangor

KLANG 2 Julai - Kejadian curi pasir yang semakin kerap dilaporkan oleh pelbagai pihak, termasuk pemimpin Barisan Nasional, boleh membantu Kerajaan Negeri memantau kegiatan berkenaan.
Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini kerana pemimpin terdahulu mempunyai banyak maklumat berhubung kegiatan itu ketika Barisan Nasional mentadbir Selangor.
“Baru kita tahu sekarang ini ramai orang yang curi pasir, tetapi usaha mencuri pasir ini sudah 20 tahun dahulu, mencuri pasir bersama ahli politik, kerajaan terdahulu beri lesen kepada orang-orang untuk ambil pasir sekarang mereka pula yang banyak melaporkan,” katanya.
Tan Sri Abdul Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah agama daerah Klang di Sekolah Rendah Islam Al-Farabi Kg Delek Kiri, Klang, pagi tadi.
Menurutnya, usaha kerajaan negeri dalam merakyatkan ekonomi Selangor, menunjukan kesan positif apabila semua pihak sedar mengenai hak mereka dan melaporkan sebarang penyelewengan kepada pihak berkuasa.
“Bila kita merakyatkan ekonomi dan rakyat faham, pasir adalah hak rakyat , hasil pasir akan disalurkan kepada rakyat melalui program-program yang dijalankan, maka semua orang akan pantau sapa yang curi pasir dan buat laporan, ini adalah usaha kita yang paling bagus,”
Pada majlis ini, Abdul Khalid menyampaikan bantuan kewangan berjumlah 1.5 juta ringgit kepada 24 buah sekolah agama di daerah Klang.
Beliau berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak 6 juta ringgit yang diagih-agihkan kepada sekolah agama di seluruh negeri ini, ada tahun ini.
“Sejumlah 6 juta ringgit telah diperuntukan untuk sekolah agama dan diagihkan mengikut keperluan yang kita nilai, sesetengah itu kita rasakan sudah usang dan tidak layak digunakan di sekolah,” katanya.
Pada majlis ini, Abdul Khalid sempat melakukan upacara meletak batu asas asrama dan bangunan sekolah ini dan melawat bilik-bilik darjah Sekolah Agama Al Farabi, ini.-
@KEMALIA OTHMAN (TVSELANGOR)

Tiada ulasan: