Rabu, 15 Julai 2009

AHLI MAJLIS TIDAK DIPILIH SEMULA - PROTES

KUALA KUBU BHARU – Keputusan tidak adil dan tiada penjelasan rasmi antara yang dipersoal dan dibangkitkan penduduk berhubung perlucutan jawatan seorang bekas Ahli Majlis, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) di sini. Kira-kira 60 orang mewakili pelbagai parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berhubung perkara itu. Mereka rata-rata tidak berpuas hati mengapa seorang bekas Ahli Majlis yang disifatkan berkaliber, bertanggungjawab, mesra dan prihatin dengan keperluan serta kehendak rakyat tidak dipilih untuk menganggotai barisan baru Ahli Majlis MDHS untuk sesi akan datang. Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor, E Sundehnadewan, 42, antara yang menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung perkara itu. Beliau mempersoalkan mengapa tiada surat pemberitahuan atau perbincangan dibuat kepada setiap Ahli Majlis sebelum pelantikan baru diputuskan. “Tindakan itu menimbulkan tanda tanya dan rasa tidak puas hati penduduk di tambah dengan keputusan penyingkiran seorang ahli majlis yang mempunyai potensi dan cukup bertanggungjawab,” katanya dalam satu sidang media khas bersama Sinar Harian yang turut dihadiri bekas Ahli Majlis, Rajoo Naidu di sini, semalam. Sundehnadewan mendesak supaya satu kenyataan bertulis disediakan yang menyenaraikan sebab mengapa Rajoo tidak dilantik semula menganggotai Ahli Majlis untuk sesi 2009/10. Sementara itu, ahli DAP, Peter Yap, 57, menyifatkan tindakan melucutkan jawatan Rajoo sebagai tidak adil dan tidak munasabah sehingga mendorong penduduk kawasan itu mengeluarkan kenyataan melalui media. Menurutnya, Rajoo seorang pemimpin yang baik dan mesra malah telah melaksanakan banyak program untuk rakyat tempatan. Wakil Makkal Sakti, KG Segaran, 40, berkata, Rajoo seorang Ahli Majlis yang rajin dan aktif dalam menganjurkan program kemasyarakatan. “Kriteria penilaian melalui prestasi yang dinyatakan Menteri Besar juga perlu diambil kira kerana prestasi Rajoo cukup baik dan amat membanggakan kami. “Sebab itu kami tidak berpuas hati dengan tindakan menyingkirkan beliau daripada menyandang jawatan itu,” katanya. Manakala seorang lagi ahli PKR, Hanifah Sinan, 63, yang kecewa dengan pengguguran Rajoo mahu supaya pelantikan baru dibuat terhadapnya bagi mengisi tiga lagi kekosongan yang ada. Terdapat juga desakan supaya Exco bertanggungjawab turun padang meninjau sendiri aktiviti dan prestasi Ahli Majlis yang benar-benar melaksanakan tugas dan tidak sewenangnya menyenaraikan ahli baru hanya atas sebab mahu menjaga kepentingan tertentu.

Tiada ulasan: