SUNGAI CHOH – Setelah hampir sebulan isu tuntutan pemilik tanah di sini yang mendakwa tanah mereka dirampas Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), masih tiada sebarang maklum balas diterima pihak terbabit. Pemiliknya, Habibah Lambeha, 51, berkata, sehingga kini Felcra dianggap berdiam diri dan seolah sengaja mahu isu itu tenggelam begitu sahaja. Bagaimanapun katanya, dia tidak akan sesekali mengaku kalah dan akan terus memperjuangkan haknya sehingga tuntutan itu selesai. “Setelah beberapa minggu disiarkan dalam akhbar, kami masih tak dapat sebarang respons daripada Felcra. “Saya rasa Felcra cuba untuk menyembunyikan sesuatu atau sengaja mahu isu ini senyap begitu sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam. Namun, dia dan suami tetap akan memperjuangkan kes tersebut sehingga segala hak dan tuntutan yang dibuat diperoleh dengan cara serta saluran yang betul. Sementara itu, suami beliau, Haris Fadzilah Shari, 54, berkata, isu itu juga terkandas ekoran wujud tindakan tidak adil daripada peguam yang dilantik. Menurutnya, menjadi harapan mereka selepas melantik peguam, perkara itu dapat diselesaikan dengan baik dan hak mereka dapat dikembalikan. “Tetapi sebaliknya berlaku apabila peguam juga seolah menutup sesuatu dan ada keputusan berbeza selain pernah memutuskan bahawa kes itu selesai. “Bagaimana peguam boleh kata selesai sedangkan apa yang kami inginkan tak dapat sampai sekarang. “Kami mahu hak kami dikembalikan dan Felcra harus bertanggungjawab dalam perkara ini dan tidak hanya berdiam diri tetapi dalam masa yang sama melaungkan lembaga itu membela nasib orang Melayu,” katanya. Haris yakin wujud rundingan dalaman antara peguamnya dengan Felcra sebelum ini kerana kes tersebut pernah dibawa ke mahkamah, namun tidak ada keputusan meyakinkan diperoleh. “Kes ini pernah sampai ke tarikh perbicaraan terakhir, di mana kami dipanggil untuk perbicaraan pada Oktober tahun lalu. “Bagaimanapun sebaik tiba tarikh itu, kami tidak dipanggil untuk masuk ke kandang perbicaraan sebaliknya berlaku rundingan luar antara peguam dan Felcra. “Dan sebaik rundingan selesai, peguam memberitahu kes itu selesai dan Felcra juga menganggap ia selesai tetapi kami teraniaya sampai sekarang,” katanya. Menurutnya, segala kos pembayaran peguam yang mencecah RM5,000 juga ditanggung oleh Felcra termasuk perbelanjaan lain. Jelasnya, berkemungkinan kesungguhan Felcra sehingga sanggup menanggung segala perbelanjaan itu kerana mahu kes selesai begitu sahaja. Sambil mengibaratkan Felcra sebagai ‘Jendalu’, Haris mahu ada pihak yang bangkit memperbetulkan keadaan tanpa sebarang rundingan tersembunyi yang akhirnya memenangkan pihak tertentu dan menindas bangsa sendiri. Haris turut berusaha menyiapkan dan menghantar surat yang menyatakan isi hati dan tuntutannya terhadap tanah berkenaan kepada Perdana Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah dengan harapan nasib terbela. Namun, sehingga kini mereka tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak terbabit. Sinar Harian sebelum ini menyiarkan laporan pemilik tanah di Lot 1627 di Ladang Hulu Choh di sini yang mempersoalkan tindakan Felcra merampas tanah mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan