Khamis, 18 Jun 2009

PELEKAT UTK OKU DI SEMUA PBT !



SHAH ALAM, 15 Jun – Kerajaan Negeri Selangor komited memastikan semua bangunan boleh digunakan dan dikunjungi golongan orang kurang upaya (OKU) tanpa wujud sebarang halangan sama ada bagi urusan peribadi mahupun perkhidmatan kaunter kerajaan di negeri ini.
Ini berikutan ramai OKU lebih gemar memilih untuk berada di rumah berbanding keluar berurusan di luar ekoran suasana persekitaran masyarakat umum yang tiada kesedaran menjaga hak dan membantu golongan ini.
Demikian kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN), Rodziah Ismail pada sidang media selepas merasmikan “Bengkel Selangor Ke Arah Bebas Halangan OKU” di Hotel Grand Bluewave dekat sini pagi tadi.
Bengkel tiga hari tersebut diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada pihak kejuruteraan dan perancang dari seluruh PBT di Selangor tentang kaedah mengaudit, mengenalpasti halangan yang wujud dan membuat perancangan menyediakan kemudahan awam OKU di setiap bangunan dalam kawasan masing-masing supaya akta bangunan dapat aplikasikan untuk kegunaan OKU kelak.
“Kita mengharapkan dalam jangka tiga tahun program ini dapat dilaksanakan sepenuhnya, selepas tempoh itu kita perlu ada perancangan untuk membaikpulih atau menambahbaik kemudahan OKU tersebut terutamanya dalam bangunan-bangunan lama manakala bangunan baru sememangnya diwajibkan melaksanakannya sepertimana dalam Akta Bangunan sedia ada”, kata Rodziah.
Menurutnya selain bangunan, kerajaan negeri juga berhasrat memastikan semua pengangkutan awam di Selangor turut menyediakan kemudahan bagi kegunaan OKU tanpa dikenakan sebarang bayaran untuk ke mana-mana destinasi di Selangor sahaja.
Pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi ini juga turut melancarkan pelekat kenderaan untuk OKU yang bakal dilaksanakan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor secara selaras yang terdiri daripada dua jenis iaitu pelekat kekal dan pelekat mudah alih yang boleh digunakan dalam mana-mana kenderaan.
Sebelum ini, pelekat OKU tersebut sudah digunakan di beberapa PBT seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) namun pelekat kenderaan tersebut tidak seragam dan ini amat menyukarkan golongan OKU untuk memohonnya.
Katanya, pelekat kenderaan OKU tersebut boleh diperolehi di semua PBT berdekatan selewat-lewatnya Julai ini manakala Jabatan Kebajikan Masayarakat pula dalam tempoh sebulan.
“Sekarang ini OKU hanya perlu datang ke PBT yang berdekatan dengan membawa kad OKU dan daftar mereka akan diberikan dua jenis pelekat ini”, ulasnya lagi pelekat tersebut boleh digunakan di semua tempat letak kereta di Selangor sahaja manakala caj tempat letak kereta pula adalah percuma.
Selain itu, pelekat kenderaan ini hanya boleh digunakan oleh OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor mengikut kriteria tertentu sahaja seperti cacat anggota, masalah pembelajaran, kecacatan saraf (Cerebal Palsy) dan mereka yang mempunyai lebih daripada satu kecacatan.
“Buat masa ini kita mengeluarkan hampir 40,000 pelekat kenderaan OKU dan setiap PBT kita bagi 500 set untuk permulaan”, kata Rodziah setiap pelekat tersebut boleh digunakan untuk tempoh dua tahun secara percuma dan sekiranya berlaku kehilangan kad, penggunaan pas bakal digantung selama tiga bulan dan dikenakan denda RM30.00 kepada pemegang pelekat kenderaan.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk melaksanakan pengambilan kakitangan awam dalam kalangan orang kurang upaya sekurang-kurangnya satu peratus (1%) pada masa hadapan.
“Polisi menempatkan 1% OKU dalam mengisi jawatan sudah ada tapi pelaksanaannya masih belum mencapai peratusan yang diharapkan, sebab itu saya sekarang ingin menekankan kepada semua pihak terutamanya agensi kerajaan supaya pengambilan itu perlu diisi segera”, katanya pada masa ini hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja sudah menepati sepenuhnya polisi tersebut.
“Mungkin kita boleh mula dengan operator yang tidak memerlukan pergerakan yang banyak, tugas-tugas yang mudah seperti kaunter pertanyaan dan sebagainya”, tegasnya lagi.
Sehingga kini, sebanyak 20,000 orang kurang upaya sudah berdaftar berada di Selangor.

Tiada ulasan: